Perangi rasuah: Surat terbuka Rasuah Busters kepada MP

Surat terbuka Rasuah Busters yang ditandatangani oleh 14 anggota Pasukan Teras gerakan kempen itu.

KUALA LUMPUR: Gerakan kempen Rasuah Busters yang diperkenalkan awal tahun ini, hari ini mengelurkan rayuan meminta kesemua wakil rakyat, terutama Ahli-ahli Parlimen supaya menjadikan “Penghapusan Rasuah Sebagai Agenda Negara”, sebagai salah satu agenda penting di Parlimen.

“Ayuh kita jadikan penghapusan rasuah sebagai agenda ketiga negara seiring dengan pengendalian isu ekonomi dan Covid-19,” kata Rasuah Busters dalam surat terbuka yang disiarkan dalam akhbar Sinar Harian hari ini.

Rasuah Busters berkata, pihaknya akan memberi jaminan untuk meneruskan usaha-usaha yang telah dilaksanakan dan Yang Berhormat boleh meletakkan “kepercayaan ke atas kami tanpa sebarang keraguan dalam usaha Yang Berhormat membanteras rasuah.”

“Kami berjanji untuk berganding bahu bersama Yang Berhormat dengan penuh dedikasi untuk mencapai matlamat bersama – membanteras rasuah – dengan efektif dan secara holistik. secara cekap dan berkesan.

“Namun, bagi menjayakan usaha #RasuahBusters bersama Yang Berhormat membanteras rasuah, kami memerlukan kepimpinan Yang Berhormat di peringkat Parlimen.

“Kami amat berharap agar Yang Berhormat akan bersungguh-sungguh membawa cadangan ini ke Parlimen,” kata Rasuah Busters.

Rasuah Busters merupakan satu gerakan kempen antirasuah yang terdiri daripada lebih 300 organisasi teguh dengan jutaan ahli dan penyokong.

KANDUNGAN PENUH SURAT TERBUKA

Penghapusan rasuah sebagai agenda ketiga negara

Secara asasnya, #RasuahBusters merupakan ejen dan rakan seperjuangan di peringkat akar umbi yang berupaya membantu Yang Berhormat menjadikan negara kita lebih berjaya.
KEPADA Ahli-ahli Parlimen yang dihormati:-

Ketua Pasukan kami adalah Datuk Hussamuddin Yaacub. Kami adalah hati nurani Negara. Matlamat kami adalah mudah dan jelas – menghapuskan rasuah di Malaysia sama ada rasuah besar mahupun kecil, konvensional dan bukan konvensional serta di sektor awam dan juga swasta.

RasuahBusters adalah gabungan yang terdiri daripada lebih 300 organisasi teguh dengan jutaan ahli dan penyokong. Manakala 14 ahli Pasukan Teras yang bertandatangan di bawah bertindak sebagai penyelaras dan pemudah cara.

Secara asasnya, #RasuahBusters merupakan ejen dan rakan seperjuangan di peringkat akar umbi yang berupaya membantu Yang Berhormat menjadikan negara kita lebih berjaya.

Oleh itu, Yang Berhormat boleh mengharapkan sokongan dan dedikasi daripada kami. Marilah kita sama-sama menetapkan matlamat untuk menjadikan Malaysia antara 10 negara teratas bebas rasuah dalam masa yang terdekat.
Kami pasti bahawasanya Yang Berhormat juga berkongsi harapan dan impian yang sama dengan kami.


Kami juga yakin inilah salah satu sebabnya Yang Berhormat menceburi bidang politik, iaitu untuk berkhidmat dan membina Malaysia yang lebih telus dan lebih baik serta bersih daripada rasuah.

Bagaimanapun, kami amat memerlukan sokongan Yang Berhormat, iaitu dokongan Yang Berhormat untuk menjadikan pembanterasan rasuah sebagai salah satu daripada teras tumpuan pada waktu ini, selain isu ekonomi dan COVID-19

Dengan menjadikan pembanterasan rasuah sebagai salah satu teras utama, kita akan dapat memberi perhatian yang sewajarnya ke atas aspek-aspek yang lain seperti penggubalan Undang-Undang Pembiayaan Dana Politik dan Akta Antilompat Parti serta pembaharuan struktur institusi negara.

Sukacita ingin kami maklumkan bahawa #RasuahBusters sudah pun memulakan inisiatif-inisiatif pada peringkat akar umbi.

Kami telah menyusun atur gabungan kami kepada kumpulan-kumpulan tertentu yang diberi mandat dan tanggungjawab untuk menangani isu-isu yang spesifik di bawah kempen #MalaysiaTanpaRasuah, #BisnesTanpaRasuah, #BeliaBenciRasuah dan #PilihanrayaTanpaRasuah.


Besar kemungkinan, Yang Berhormat juga telah pun melihat kempen-kempen kesedaran kami seperti Kempen Mak Kata Jangan, Merdekakan Kami Daripada Rasuah dan Apa Dah Jadi (Sampai Sekarang Rasuah Lagi)?.

Kami, #RasuahBusters berhasrat untuk bekerjasama, bersama dan melalui Yang Berhormat, para Ahli-ahli Parlimen Malaysia yang dihormati sekalian. Justeru, kami akan saling terus berhubung dengan Yang Berhormat.


Kami memberi jaminan untuk meneruskan usaha-usaha yang telah dilaksanakan dan Yang Berhormat boleh meletakkan kepercayaan ke atas kami tanpa sebarang keraguan dalam usaha Yang Berhormat membanteras rasuah.

Kami berjanji untuk berganding bahu bersama Yang Berhormat dengan penuh dedikasi untuk mencapai matlamat bersama – membanteras rasuah – dengan efektif dan secara holistik.


Namun, bagi menjayakan usaha #RasuahBusters bersama Yang Berhormat membanteras rasuah, kami memerlukan kepimpinan Yang Berhormat di peringkat Parlimen.

Kami amat berharap agar Yang Berhormat akan bersungguh-sungguh membawa cadangan ini ke Parlimen.

Ayuh kita jadikan penghapusan rasuah sebagai agenda ketiga negara seiring dengan pengendalian isu ekonomi dan COVID-19.

Sekian, terima kasih.

Merdekakan Malaysia Daripada Rasuah.

PASUKAN TERAS RASUAH BUSTERS

  • DATUK HUSSAMUDDIN YAACUB
  • SHAH HAKIM ZAIN
  • HARMANDAR SINGH
  • ANAS ZUBEDY
  • NURHAYATI NORDIN
  • FARAH HUSSAMUDDIN
  • RICHARD DEVARAJ
  • DATUK DR RAIS HUSIN
  • G MANIMARAN
  • CHIEW RUOH PENG
  • JONSON CHONG
  • ROZAID ABDUL RAHMAN
  • MARHAINI YUSOFF
  • FAZRUL ISMAIL