Polis klasifikasi semula kejadian serang pengawal keselamatan sebagai kes bunuh

Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid

KUALA LUMPUR: Polis telah mengklasifikasikan semula kejadian seorang pengawal keselamatan yang diserang ketika sedang bertugas di kolam renang sebuah kondominium di Ipoh, Perak pada Disember lalu sebagai kes bunuh susulan mangsa meninggal dunia Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya telah merujuk semula kes berkenaan kepada pihak pendakwa raya hari ini dengan mencadangkan pertuduhan yang lebih tinggi dikenakan kepada suspek.

“Polis mengklasifikasikan semula kes ini pada hari mangsa tersebut meninggal dunia di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

“Kes ini masih lagi menunggu arahan selanjutnya daripada pihak pendakwa raya,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan malam tadi, yang dipetik oleh BERNAMA.

Sabtu lepas, Mior Faridalathrash berkata, susulan insiden pada 29 Dis itu, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, dan suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Januari lepas kerana mendatangkan kecederaan parah, dan kes akan disebut semula pada 9 Sept ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada tindakan suspek yang tidak berpuas hati terhadap pengawal keselamatan itu kerana cuba menghalang anak suspek daripada menggunakan kolam renang yang tidak dibuka kepada orang ramai ketika itu.

Bagaimanapun, Mior Faridalathrash berkata, pengawal keselamatan terbabit meninggal dunia di rumahnya pada Jumaat dan hasil bedah siasat oleh pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh mendapati punca kematian disebabkan jangkitan pada paru-paru (Sepsis).

Ahli keluarga pengawal keselamatan berkenaan bagaimanapun tidak berpuas hati dan mendakwa punca kematian adalah disebabkan kejadian pukul tahun lepas.

Dua hari lalu, bekas Menteri Sumber Manusia, M. Kulaseragan meminta polis mengklasifikasikan semula kes tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, individu berkenan perlu dikenakan tuduhan membunuh susulan kematian mangsa.