KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat Malaysia bahawa kemerdekaan itu bukan hanya bererti mengganti pimpinan Inggeris kepada rakyat Malaysia.
Sebaliknya menurut beliau, kesaksamaan dan kelangsungan hidup rakyat juga perlu diberi perhatian dalam menterjemahkan erti sebenar kemerdekaan yang dikecapi selama ini.
Dalam perutusan menerusi video bertajuk “Memaknai Sebuah Amanah Kemerdekaan” sempena Hari Kemerdekaan ke-64, Anwar berkata, yang lebih penting pada hari adalah kesaksamaan dan pemerataan peluang ekonomi kepada semua rakyat di negara.
“Ini yang harus kita nilai pada hari kita menyambut kemerdekaan di negara kita,” kata beliau sambil bertanya, “apakah kita benar-benar mencatat kebebasan?”
“Apakah kita mahu dapat melahirkan pemimpin-pemimpin yang tidak menggondol kekayaan, memunggah khazanah untuk kepentingan mereka, keluarga mereka?” kata beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau pada masa sama mempersoal sama ada kemerdekaan ini memberi jaminan taraf hidup, pengagihan ekonomi serta kekayaan yang adil kepada rakyat jelata.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk tidak mensia-siakan kepayahan perjuangan kemerdekaan seiring usaha membawa perubahan melalui kemerdekaan negara.
Perutusan video penuh sempena Hari Kemerdekaan ke-64 Datuk Seri Anwar Ibrahim