Perutusan sulung Ismail Sabri: ‘Merdekakan negara dari pandemik COVID-19’

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak rakyat “memerdekakan negara” dari pandemik COVID-19 yang telah menjangkiti 1.7 juta orang dan mengorbankan lebih 16,000 nyawa setakat semalam.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak rakyat “memerdekakan negara” dari pandemik COVID-19 yang telah menjangkiti 1.7 juta orang dan mengorbankan lebih 16,000 nyawa setakat semalam.

Perdana Menteri juga amat berharap hasil kerjasama seluruh lapisan masyarakat, sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini menjadi yang terakhir disambut dalam suasana peperangan melawan pandemik COVID-19.

“Marilah kita memerdekakan negara kita daripada pandemik ini, daripada kegawatan ekonomi dan daripada ketidakstabilan politik,” kata beliau dalam perutusan sempena sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-64 hari ini.

Ini kali kedua Malaysia meraikan sambutan Hari Kebangsaan dalam persekitaran yang dihimpit oleh pandemik COVID-19 yang paling buruk di Malaysia dan di dunia. Pandemik sudah memasuki bulan ke-20 hari ini

Ucapan khas sulung beliau selaku Perdana Menteri disampaikan malam tadi. Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan minggu lepas.

Ismail Sabri juga mengajak seluruh rakyat, yang beliau namakan sebagai “Keluarga Malaysia” agar segera mendapatkan vaksin sebagai satu ikhtiar dalam menyokong pemulihan negara.

Kata beliau, vaksin sudah terbukti memberi impak positif, terutama dalam usaha memerangi wabak berkenaan.

“Berpandukan data dan fakta, yakinlah bahawa hanya melalui kerjasama penuh daripada semua pihak, peperangan melawan pandemik COVID-19 akan berakhir dengan kemenangan,” ujar beliau lagi.

Dalam perutusannya, beliau juga mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama membulatkan tekad bagi memulihkan negara.

Perdana Menteri berkata, situasi pandemik COVID-19 yang dihadapi negara pada hari ini adalah cabaran yang belum pernah ditempuhi mana-mana kepemimpinan dan kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, beberapa cabaran serentak, iaitu wabak penyakit dan kegawatan ekonomi, menyebabkan kestabilan politik negara dan di seluruh dunia tergugat.

“Sempena Hari Kemerdekaan ini, kita perlu terus berjuang memerangi pandemik COVID-19 sebagai musuh yang paling utama,” kata beliau sambil menambah, “kKejayaan ini akan membolehkan kita membuka jalan pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu.”

Tambah beliau: “Ekonomi wajar dipulihkan, kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan, manakala keyakinan pelabur harus dikembalikan.”

Sambutan Hari Kebangsaan kali ini bertemakan ‘Malaysia Prihatin’.

Perutusan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Hari Kemerdekaan ke-64