100 hari pertama: MTUC yakin komitmen Steven Sim kemudi Kesuma

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong ketika menggulung perbahasan peringkat kementeriannya di Parlimen pada 27 Mac lalu. – Foto ihsan Kementerian Sumber Manusia

Oleh Mohd Effendy Abdul Ghani

PANDANGAN: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengambil kesempatan ini sebagai satu penghormatan kepada Steven Sim dalam mencapai 100 hari pertama sebagai Menteri Sumber Manusia Malaysia, kami mengucapkan penghargaan terima kasih dan syabas atas 100 hari berlalu.

Seratus hari berlalu, langkah pasti, demi negara, Steven Sim berbakti di Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), dengan visi baharu, membina masa depan, dengan semangat yang baharu. Dari HRD Corp ke setiap pejabat, menyemai benih kemahiran, tanpa henti bergerak. Martabat pekerja, dijunjung tinggi, dalam setiap dasar, keadilan disigi. Kepimpinan yang berwawasan, membawa harapan, Untuk Malaysia maju, tanpa sebarang keciciran. Seratus hari pertama, bukanlah akhir, Namun permulaan, untuk lebih banyak capaian.

Tahniah Steven Sim atas dedikasi. Semoga terus berjaya dalam setiap aspirasi.

Kita semua berdiri, menyokong penuh demi masa depan sumber manusia, yang lebih cerah dan subur lagi harmoni. Teruskan usaha, dalam memajukan negara. Ini kerana kepimpinan YB amat kita hargai dan cintai seluruh rakyat Malaysia.

Harapan MTUC terhadap kepimpinan Steven Sim sebagai Menteri Sumber Manusia adalah tinggi, terutama dalam mengangkat martabat pekerja dan memperkasakan pembangunan modal insan negara. Beliau telah menunjukkan komitmen untuk meningkatkan kemahiran pekerja dan menjaga kebajikan mereka tanpa mengira kaum dan agama.

Konsep 3K yang diterapkan amatlah tepat dan bersesuai di mana ia memberi fokus terhadap “Kebajikan, Kemahiran serta Keberhasilan”. MTUC yakin dengan memberi tumpuan terhadap kebajikan seperti gaji minimum, gaji progresif serta meningkatkan perlindungan sosial pekerja melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sangat dapat membantu menjaga serta menambah kebajikan pekerja.

MTUC percaya dengan pendekatan yang diambil oleh Steven Sim telah mula memberikan keyakinan dalam kalangan pekerja dan kesatuan sekerja sebagai satu permulaan yang baik untuk pekerja, rakyat dan negara.

Penumpuan terhadap kemahiran juga antara perkara penting dan signifikan bagi menyediakan pekerja berkemahiran tinggi dengan penonjolan TVET amat memberi kesan jangka panjang terhadap kemahiran pekerja malahan dengan inisiatif Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) yang telah dinaikkan sehingga RM5.8 juta akan dapat membantu kesatuan sekerja menjalankan program, latihan dan inisiatif yang dapat meningkatkan kemahiran kesatuan sekerja dalam menyokong kepentingan pekerja khasnya.

MTUC yakin dengan penumpuan terhadap kebajikan dan kemahiran pekerja akan dapat meningkat keberhasilan bersama kepada semua pihak – pekerja, majikan dan kerajaan.

MTUC senantiasa bersedia dalam keterlibatan sepenuhnya bersama-sama Kesuma dalam memacu ke arah meningkatkan martabat serta memperkasakan kaum pekerja di Malaysia dan pada masa yang sama, hubungan baik yang telah terjalin antara MTUC dan kementerian perlu dikekalkan pada tahap yang optimum agar warga kerja di Malaysia memperoleh limpahan kemakmuran negara selaras dengan prinsip Malaysia Madani.

Nota: Mohd Effendy Abdul Ghani ialah Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)