Kadar pengangguran kekal 3.3 peratus, pasaran pekerjaan dalam trend naik

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran pekerjaan negara kekal dalam trend menaik, sejajar dengan kedudukan ekonomi negara yang terus meningkat dan selari dengan perkembangan ekonomi global.

KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran di Malaysia kekal 3.3 peratus dengan jumlah penganggur pada Januari 2024 terus menurun kepada 567,300 orang.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran pekerjaan negara kekal dalam trend menaik, sejajar dengan kedudukan ekonomi negara yang terus meningkat dan selari dengan perkembangan ekonomi global.

Kata beliau, tenaga kerja pada Januari 2024 menunjukkan peningkatan yang berterusan iaitu bertambah sebanyak 0.1 peratus kepada 17.05 juta orang berbanding 17.03 juta orang pada Disember lalu.

“Kadar penyertaan tenaga kerja pada bulan itu tidak berubah iaitu pada 70.2 peratus, seperti pada bulan lalu.

“Trend positif ini didorong oleh peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur menurun,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Uzir juga berkata, bilangan penduduk bekerja terus meningkat, dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.48 juta orang berbanding Disember lalu iaitu 16.46 juta.

Majoriti penduduk bekerja pada Januari 2024 adalah dalam kategori pekerja, merangkumi 75.2 peratus, kata beliau.

Menurut beliau, kategori itu menunjukkan peningkatan kecil iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada sejumlah 12.39 juta orang berbanding 12.38 juta pada Disember lalu.

“Kategori penduduk bekerja sendiri terus mencatatkan trend peningkatan pada bulan itu, naik sebanyak 0.3 peratus kepada 3.01 juta orang,” kata beliau.

Beliau berkata, mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan kekal meningkat, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan & minuman; dan pengangkutan dan penyimpanan.

“Trend yang sama juga dilihat dalam bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembuatan, Pembinaan serta perlombongan dan pengkuarian pada bulan Januari 2024.

“Bilangan penduduk bekerja dalam sektor pertanian juga kembali meningkat pada bulan tersebut berbanding bulan lalu,” kata beliau.