Vaksin satu juta PPV WTCKL: ‘Satu capaian luar biasa’, kata Pengarah Eksekutif

Pengarah Eksekutif WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim menunjukkan tanda bagus pada majlis suntikan kesejuta di PPV WTCKL yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam. – Sumber FB Dr Irmohizam Ibrahim

KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim menyifatkan pemberian vaksin yang kesejuta di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega WTCKL semalam sebagai “satu pencapaian luar biasa” dalam usaha mengawal jangkitan COVID-19.

“Pusat Pemberian Vaksin Mega World Trade Centre Kuala Lumpur (PPV Mega WTCKL) telah berjaya mencapai pemberian dos vaksin AstraZeneca yang kesejuta pada hari ini.

“Ini adalah satu pencapaian yang luar biasa dalam kita bersama-sama mencapai imuniti berkelompok,” kata beliau dalam catatan Facebook beliau.

Menurut beliau, ia satu pencapaian yang sangat membanggakan dan tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan, Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) dan seluruh tenaga kerja anggota petugas di PPV Mega WTCKL.

PPV Mega WTCKL beroperasi sejak 16 Mei lalu. Ia merupakan pusat bagi vaksin AstraZeneca.

“Saya juga menghargai tenaga kerja warga WTCKL yang turut bersama dalam melancarkan pergerakkan vaksinasi,” kata beliau lagi.

Tambah beliau, “kita masih belum menang dan terdapat banyak lagi yang kita perlu lakukan untuk mencapai imuniti berkelompok di negara kita bagi menlindungi masyarakat daripada wabak COVID-19.”

Majlis suntikan kesejuta itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Suntikan disempurnakan oleh Datuk Dr. Hishamshah Mohd Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan & Sokongan Teknikal).

Turut hadir Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir.

Perdana Menteri pada sidang media mengumumkan bahawa kadar vaksin keseluruhan di Lembah Klang sudah mencapai 89.5 peratus, yang akan membolehkan kerajaan mengkaji untuk memindahkan Lembah Klang ke fasa kedua Pelan Pemulihan Nasional (PPN).

Dos pertama membabitkan sebanyak 6,824,193 dos, iaitu bersamaan 110.7 peratus melebihi penduduk Kuala Lumpur ini. Bagi dos kedua iaitu dos lengkap, seramai 5,518,094 iaitu 89.5 peratus sudah menerimanya.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 12,342,247 dos pertama dan kedua sudah diberikan kepada warga Lembah Klang setakat kelmarin.