KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Ketua Pengarah Lembaga Penggalakkan Pelancongan, Datuk Seri Dr Ammar Abd Ghapar tidak dipecat, sebaliknya hanya diturunkan pangkat sebagai timbalan ketua pengarah kerana gagal berkhidmat dengan berkesan.
Menurut Tiong, Ammar sudah diberikan banyak peluang namun gagal mencapai tahap prestasi yang diharapkan oleh kementeriannya.
“Saya memang sudah bagi banyak kali peluang dan nasihat… (kata) buat terbaik untuk negara kita. Tapi Saya tak tahu (jika) dia tiada idea atau tidak tahu macam nak buat (jalankan tugas).
“Kalau anda tak boleh lakukan memang saya akan tukar. Saya tidak pecat (Ammar), saya turunkan pangkat dia saja,” kata beliau ketika ditemui ketika program Hari Kraf Kebangsaan di sini, hari ini.
Tiong mendakwa Ammar antara lain gagal menarik kemasukan pelancong asing, antaranya dari China, ke Malaysia seperti yang disasarkan.
“Dia tak boleh merancang…dia tak berhubung dengan negara luar (untuk tarik pelancong). Siapa boleh (buat kerja) saya beri (jawatan), yang tak boleh, turunlah,” kata beliau.
Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992. Seksyen 10 akta itu memberi kuasa kepada Menteri Pelancongan untuk melantik ketua pengarah dengan terma dan syarat ditentukan oleh menteri sendiri.
Menurut Tiong, Pengarah Kanan Promosi Antarabangsa (Asia & Afrika), yang kini memangku jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), P Manoharan akan menggantikan Ammar.
Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (KPPLPPM) menyifatkan tindakan pemecatan Ammar, didakwa ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa Isnin ini, sebagai satu “perkara serius”.
Presidennya, Alwi Shakir Abdullah berkata, pihaknya amat terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara tersebut yang tular di media sosial baru-baru ini.
“Berpegang pada prinsip tatakelola yang baik serta kebajikan seseorang yang berstatus pekerja, KPPLPPM berpandangan isu ini merupakan satu perkara yang serius terhadap penjawat awam…,” kata beliau.
Alwi menambah, perkara itu amat serius kerana berdasarkan tarikh surat dikeluarkan serta tarikh kuat kuasa surat iaitu lima hari adalah amat singkat, sekali gus mengundang imej dan persepsi yang tidak baik terhadap mana-mana pihak yang menghadapi situasi yang sama.
CUEPACS pula menegaskan pihaknya amat terkesan dengan isu-isu yang berlaku pada masa kini dan berharap tampuk kepimpinan negara dapat mengimbangi keadaan ini supaya tidak menjadi barah kepada penjawat awam.
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat berkata, kongres itu merasakan perlu ada pihak ketiga yang menjadi penasihat dalam memastikan situasi yang adil lagi saksama dapat dipraktikkan pada masa hadapan sebelum sesuatu keputusan dilaksanakan.
Katanya, jika pengguna boleh pergi ke bahagian tribunal pengguna untuk menyelesaikan permasalahan mereka maka bagi penjawat awam juga ada baiknya jawatankuasa yang bersifat sebagai pihak ketiga diwujudkan.
Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, bidang kuasa untuk melantik dan menamatkan perkhidmatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia adalah di bawah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
Menurut beliau, perkara itu telah dijelaskan dalam Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992.
“Sebenarnya bidang kuasa untuk melantik Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia adalah di bawah kuasa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, di bawah Akta 481 iaitu kuasa menteri untuk melantik dan menamatkan perkhidmatannya.
“Kadang-kadang kita perlu beri penjelasan kepada rakyat kerana saya difahamkan isu ini berlaku dan ditularkan, dalam surat pewartaan yang dikeluarkan mengatakan ia di bawah bidang kuasa menteri berkenaan, jadi apa-apa penjelasan adalah daripada menteri terbabit,” kata beliau di Kompleks Sukan Kuala Selangor.