Steven Sim: 3 strategi Kementerian Sumber Manusia memperkasa Mahkamah Perusahaan

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengadakan lawatan ke Mahkamah Perusahaan Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. – Foto ihsan FB Kementerian Sumber Manusia

KENYATAAN MEDIA: Mahkamah Perusahaan Malaysia adalah sebuah tribunal yang merupakan badan tunggal berperanan untuk memutuskan kes-kes yang melibatkan pembuangan kerja, perjanjian kolektif dan pertikaian perusahaan di antara majikan, pekerja dan kesatuan-kesatuan sekerja yang berkaitan.

Mahkamah Perusahaan Malaysia telah ditubuhkan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177].

Salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri Sumber Manusia di bawah Kerangka Strategik Malaysia MADANI yang melibatkan Mahkamah Perusahaan Malaysia ialah reformasi Mahkamah Perusahaan Malaysia dan Mahkamah Buruh di mana fokus utama adalah:

a) Memendekkan tempoh masa proses pengadilan

b) Mengurangkan kes-kes tertunggak di Mahkamah Perusahaan Malaysia dan Mahkamah Buruh

c) Menambah baik fasiliti dan kemudahan di kedua-dua Mahkamah

Sebagai permulaan, inisiatif mempercepatkan penyambungan semula lima Pengerusi MPM yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang iaitu:

  • Amrik Singh Harcharan Singh
  • Eswary Maree
  • Augustine Anthony
  • Paramalingam J. Doraisamy
  • Syed Noh Said Nazir @ Syed Nadzir

Penyambungan semula kontrak pengerusi-pengerusi ini diharapkan dapat mempercepatkan pengendalian kes-kes dan secara langsung akan meningkatkan penyelesaian kes-kes di Mahkamah Perusahaan Malaysia.

Maklumat terkini yang diterima oleh Kementerian Sumber Manusia bahawa tempoh pelantikan secara kontrak pengerusi-pengerusi Mahkamah Perusahaan telah ditambah baik daripada yang asal selama dua tahun kepada kontrak bertempoh 2 + 2 tahun.

Ini merupakan sebagai salah satu kaedah untuk mengoptimumkan perkhidmatan pengerusi-pengerusi, di samping memberi tempoh jaminan pekerjaan untuk melaksanakan tugas lebih efisien dan efektif.

Sebelum ini, tempoh kontrak pengerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia adalah selama dua tahun sahaja dan ini menjadi sejarah kejayaan di Kementerian Sumber Manusia di mana
tempoh kini ditambah baik menjadi 2 + 2 tahun.

Keputusan ini telah dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara semalam.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia juga telah membuat semakan dengan Pejabat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) memandangkan keputusan perlu diangkat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) selaku Pihak Berkuasa Melantik.

Penyerahan surat pada hari ini adalah surat asal iaitu kontrak dua tahun terlebih dahulu dan surat kontrak bertempoh 2 + 2 tahun tersebut akan diserahkan setelah kelulusan
JPA diperoleh.

Seterusnya, bagi memperkasakan Mahkamah Perusahaan Malaysia, akan dilangsungkan Kolokium Reformasi Perundangan dan Pengurusan Mahkamah Perusahaan Malaysia dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri akan diadakan pada 28 dan 29 Februari ini di Putrajaya.

Antara pembentang kertas yang akan dijemput ke kolokium ini ialah BHEUU, JPM, Majlis Peguam Negara dan daripada para majikan, kesatuan sekerja serta wakil-wakil dari sektor awam dan
industri.

Dari segi kemudahan dan infrastruktur, MPM bercadang untuk menaiktaraf Sistem Perekodan Digital (SPD) bagi mempercepatkan penyalinan transkrip dan berkeupayaan membuat Janaan Transkrip Segera.

Untuk makluman, Sistem Perekodan Digital (SPD) ialah sistem perekodan audio, video dan penghasilan digital nota transkrip dalam versi bahasa Inggeris dan bahasa Melayu yang telah dibangunkan dan digunakan di MPM sejak tahun 2013.

SPD telah ditambah baik secara berfasa bermula:

Fasa 1 (2013-2015): melibatkan lapan Mahkamah di Kuala Lumpur dan empat di Mahkamah Cawangan (Johor, Perak, Sabah dan Sarawak)

Fasa 2 (2018-2020): melibatkan lapan Mahkamah di Kuala Lumpur dan empat unit SPD Mudah Alih (yang ditempatkan di MP Pulau Pinang (dua unit), MP Sarawak (satu unit) dan MP Kuala Lumpur (satu unit) yang berkeupayaan untuk membuat Persidangan Video.

Fasa 3 (2023-2024): menaik taraf SPD sedia untuk membuat auto tagging.

Nota: Kenyataan media dikeluarkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim pada 23 Februari 2024