KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyambut baik langkah “bersejarah” Menteri Sumber Manusia, Steven Sim menambah baik tempoh kontrak pengerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia.
Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, dalam konteks pergerakan buruh negara, kongres itu melihat ia sebagai satu usaha baik di pihak kerajaan dalam memastikan kes-kes pertikaian dapat berjalan dengan lancar dan teratur.
“Tempoh masa untuk menyelesaikan sesuatu pertikaian seringkali menjadi isu utama bagi pekerja. Dengan penambahbaikan tempoh kontrak dari dua tahun ke empat tahun ini menjadikan kes-kes ini lebih cepat diselesaikan.
“Sekalung tahniah diucapkan kepada Steven Sim selaku Menteri Sumber Manusia kerana melakar sejarah dalam membuat penambahbaikan ini,” kata beliau sambil berkata, MTUC “menyokong penuh akan penambahbaikan ini yang merupakan sejarah di mana ia telah meningkatkan tahap jaminan pekerjaan bagi Pengerusi Mahkamah Perusahan.”
Mohd Effendy berkata, dengan konsep 3K yang diterapkan oleh Steven Sim iaitu Kebajikan Pekerja, Kemahiran Pekerja serta Keberhasilan Pekerja, usaha itu selari dengan tindakan penambahbaikan tempoh kontrak tersebut.
Katanya, langkah tersebut harus berterusan agar dapat mengoptimumkan perkhidmatan, mengekalkan kesinambungan dalam membimbing dan pengurusan tugas lebih efisien dan efektif serta tidak langsung akan menggalakkan lebih ramai potensi peguam perhubungan perusahaan untuk menggalas tanggungjawab serta kerjaya sebagai pengerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia.
“MTUC juga menyambut baik usaha pihak Kementerian Sumber Manusia untuk memperkasakan Mahkamah Perusahaan dalam menambah baik Sistem Perekodan Digital yang berupaya memudahkan urusan di Mahkamah Perusahaan.
MTUC mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada kesemua pengerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia yang telah disenaraikan dan selamat maju jaya dalam perkhidmatan ini.
“Tahniah juga kepada Kementerian Sumber Manusia yang tidak henti untuk melahirkan idea dalam agenda mereformasikan perburuhan negara,” kata beliau.
Pengumuman Steven Sim
Hari ini, Steven Sim mengumumkann bahawa tempoh pelantikan pengerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia kini ditambah kepada empat tahun berbanding dua tahun sebelum ini.
Kata beliau, langkah itu adalah pembaharuan ke arah jaminan perkhidmatan dan bagi memastikan kelancaran proses mahkamah.
“Pengerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia akan diberi tempoh lantikan bukan hanya dua tahun tetapi terus ditambah dua tahun lagi, menjadikannya empat tahun.
“Ini mengurangkan penundaan proses pelantikan pengerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia yang baharu,” kata beliau selepas majlis penyerahan watikah penempatan semula secara kontrak pengerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia di Wisma Pertubuhan Keselamatan Sosial.
Beliau juga mengumumkan lima pengerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia baharu iaitu Amrik Singh, Eswary Maree, Augustine Anthony, Paramalingam Doraisamy dan Syed Noh Said Nazir @ Syed Nadzir.
Beliau berkata, sebelum ini antara aduan sering diterima oleh pemegang taruh adalah lantikan pengerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia terlalu singkat dan proses lantikan serta pembaharuan lantikan mengambil masa terlalu lama.
“Ia bukan sahaja melengahkan perjalanan mahkamah malah menyebabkan ketiadaan jaminan perkhidmatan yang munasabah,” katanya.
Katanya, ketika ini Mahkamah Perusahaan Malaysia mempunyai 20 pengerusi termasuk Yang Dipertua, manakala dua lagi pengerusi baharu dalam proses lantikan.
Komen Presiden UNI-MLC
Sementara itu, Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal juga menyokong penuh kenyataan Steven Sim untuk menyambung tempoh kontrak pengerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia.
Kata beliau, keputusan itu menjadi sejarah kejayaan di Kementerian Sumber Manusia memandangkan tempoh perkhidmatan kini ditambah baik menjadi “2 + 2 tahun.”
“UNI-MLC menyifatkan pembaharuan yang berani dilakukan oleh Menteri Sumber Manusia sudah tentu telah mengambil kira semua aspek khususnya kes-kes yang berlanjutan di Mahkamah Perusahaan yang memerlukan perhatian serius daripada pengerusi Mahkamah Perusahaan.
“Dengan adanya pembaharuan ini, sudah tentu pengerusi Mahkamah Perusahaan akan dapat menyediakan kerangka penyelesaian kes-kes secara lebih efisyen di Mahkamah Perusahaan dan ini juga menjadi satu dorongan serta sokongan kepada Pengerusi Mahkamah Perusahaan sekali gus akan dapat meningkatkan produktiviti,” kata beliau.
Sehubungan dengan itu, kata beliau, UNI-MLC yakin jika tiga perkara lain diberi perhatian yang serius bagi tujuan penyelesaian kes yang dirujuk ke Mahkamah Perusahaan, dan “sudah tentu satu pembaharuan akan dapat memberi manfaat kepada pekerja, majikan dan juga kerajaan.”
Tiga perkara itu ialah memendekkan tempoh proses pengadilan, mengurangkan kes-kes tertunggak di Mahkamah Perusahaan Malaysia dan Mahkamah Buruh, dan menambah baik fasiliti dan kemudahan di kedua-dua mahkamah
“UNI-MLC memuji tindakan Steven Sim yang sanggup membuat perubahan nilai tambah dan ini merupakan satu sejarah di dalam Kementerian Sumber Manusia.
“UNI-MLC yang mempunyai 106 buah kesatuan gabungan dengan keahlian sebanyak 350,000 ahli yang sentiasa mempraktikkan falsafah ‘smart partnership’ menyokong penuh di atas nilai tambah 2 + 2,” kata beliau.