JOHOR BAHRU: Melakar detik bersejarah, Grasp Software Solutions Sdn Bhd, perintis dalam penyelesaian teknologi perisian dan teknologi maklumat, memperkenalkan Sistem Pengurusan Kuil yang pertama di Malaysia.
Inisiatif itu memperkenalkan era baharu pendigitalan dan automasi di presmis kerohanian, dan menggabungkan mesin kios kendiri dan App untuk kegunaan pengurusan dan pengunjung kuil.
Ia merupakan pelaksanaan kios kendiri dan App pertama yang bersepadu di rumah ibadat beragama Hindu di Malaysia.
Revolusi total, holistik dan bersepadu dalam sistem pengurusan kuil itu bermula di Arulmigu Rajamariamman Devasthanam di sini, yang berusia lebih 110 tahun, dengan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Johor, K. Raven Kumar, hari ini.
Pengarah Grasp Software Solutions, Dr Govindaraj Selvam berkata, sistem tersebut yang terdiri daripada 50 fungsi buat masa sekarang dibangunkan untuk merevolusikan pengurusan dan perkhidmatan yang disediakan di kuil-kuil di Malaysia melalui pelaksanaan sistem automasi, mesin kios sendiri, dan apllikasi berkaitan, yang merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Melalui sistem itu, kata beliau, pihaknya menyediakan satu sistem pengurusan yang komprehensif termasuk aktiviti-aktiviti yang berkaitan sembahyang, tempahan kemudahan dewan, penerimaan sumbangan derma, bil-bila bahan (BOM), sistem inventori, perakaunan, sistem sumber manusia, pendaftaran ahli, pengurusan harta, pengurusan tanah perkuburan, simpanan dokumen, penyiaran melalui WhatsApp/e-mel, dan tempahan dalam talian.
“Di bawah sistem ini, pada hari ini kami memperkenalkan mesin kios kendiri dan App di dalam premis kuil. Para penganut boleh menggunakan kios untuk pelbagai perkhidmatan di rumah ibadat secara tanpa tunai,” kata beliau lagi.
Perisian Sistem Pengurusan Kuil akan dibangunkan mengikut keperluan setiap kuil, kata beliau pada majlis pelancaran kios dan App di Arulmigu Rajamariamman Devasthanam, petang ini.
Menurut Govindaraj, menyediakan pengurusan yang cekap dan berkesan akan mengurangkan beban kerja manual di pihak pengurusan kuil.
Sehubungan dengan itu, jelas Govindaraj, sistem tersebut akan menyediakan ruang untuk pengurusan kuil dengan telus dan profesional, selain membolehkan setiap dokumen, seperti perakunan dan bayaran, diurus dengan tersusun.
“Kami berterima kasih kepada Raven Kumar kerana meluangkan masa untuk melancarkan sistem ini yang telah lama ditunggu-tunggu oleh pengurusan kuil di Malaysia.
“Kami yakin pendekatan ini akan menambah baik sistem pengurusan kuil di Malaysia dalam pelbagai cara dan peringkat pengurusan pada masa hadapan, dan bergerak seiring dengan keperluan inovasi teknologi semasa,” kata beliau.
Beliau berkata, sebagai kuil utama dan premis warisan bersejarah di bandar raya Johor Bahru, keputusan pengurusan Arulmigu Rajamariamman Devasthanam memilih premis mereka untuk majlis pelancaran sistem tersebut merupakan satu detik yang amat signifikan, dan bakal mencipta sejarah baharu dalam pengurusan kuil.
“Oleh itu, kami berbangga untuk memulakan langkah bersejarah ini di sini, di Johor Bahru, dan seterusnya memperkenalkan sistem ini ke seluruh Malaysia,” kata Govindaraj.
Dalam pada itu, Presiden Arulmigu Rajamariamman Devasthanam, V. Raja Selan berkata, “saya juga berbangga untuk mengumumkan pelancaran sistem App dan Kios Rajamariamman kami sendiri, dan mesin layan diri untuk kemudahan upacara sembahyang, yang merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.”
“Arulmigu Rajamariamman Devasthanam, kuil utama di Johor ini mengambil langkah yang signifikan dalam melakukan transformasi aspek pengurusan daripada manual kepada sistem atau platform digital dan automasi, pendekatan yang kreatif dan inovatif, sekali gus menyediakan keselesaan yang berkualiti kepada para penganut dan pengunjung ke kuil ini.
“Ini merupakan langkah awal ke arah membawa perubahan yang menyeluruh dan bersepadu dalam mengguna pakai teknologi generasi terkini dan membawa wajah baharu dalam sistem pengurusan kuil,” kata beliau yang turut berkongsi bahawa pihaknya akan mengambil langkah susulan untuk memperkenalkan teknologi virtual reality atau realiti maya (VR) dalam beberapa bulan lagi.
Raja Selan menambah, Arulmigu Rajamariamman Devasthanam juga bakal mencipta sejarah sebagai kuil pertama di Malaysia memperoleh ISO 9000, sijil kualiti pengurusan, pada bulan Mei ini.