JPA: Tambah baik gaji sektor awam diumum dalam Belanjawan 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 2/2024 yang turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, semalam. – Foto ihsan FB JPA

KUALA LUMPUR: Keputusan penambahbaikan sistem struktur gaji kakitangan awam dijangka diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2025 tahun ini, demikian menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan, JPA berkata, cadangan penambahbaikan itu akan dimuktamad dan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri selewat-lewatnya pada awal suku kedua tahun ini untuk kelulusan.

Kenyataan itu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 2/2024 yang turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Ia menambah, mesyuarat tersebut telah membincang dan menimbang inisiatif penambahbaikan dalam Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) terutama berkaitan dengan aspek meningkatkan pendapatan boleh guna penjawat awam.

“Penambahbaikan pendapatan boleh guna penjawat awam merupakan satu daripada fokus dalam pemerkasaan modal insan perkhidmatan awam untuk memangkin peningkatan produktiviti penjawat awam bagi merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, Perdana Menteri turut memberikan penekanan kepada elemen-elemen pembaharuan perkhidmatan awam seperti pendigitalan sistem perkhidmatan, kerjasama strategik yang holistik serta pendekatan keseluruhan negara (whole-of-Nation).

Ia bagi memacu peningkatan kecekapan, keberkesanan dan profesionalisme perkhidmatan awam dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta negara.

JPA juga berkata, penjawat awam di segenap lapisan perkhidmatan masih boleh mengemukakan cadangan penambahbaikan sistem saraan sedia ada meliputi segala aspek perkhidmatan melalui portal semakan saraan yang telah dilancarkan sejak 7 Ogos 2023 di pautan semakansaraan.jpa.gov.my sebelum 1 Mac 2024.

Pada 19 Januari lalu, Anwar Ibrahim menerima Laporan Interim 1 Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan penuh SSPA akan dibuat sepenuhnya bermula 2025.

Bagi tujuan itu, kajian berhubung sistem saraan itu dijalankan secara menyeluruh, yang memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam.

Ia menerusi penggunaan teknologi dan kemahiran modal insan, prestasi penjawat awam dari aspek produktiviti yang mewajarkan gaji setimpal kepada penjawat awam, kesejahteraan penjawat awam dalam menangani kos sara hidup dan kemampanan fiskal negara dalam membiayai perbelanjaan berkaitan perkhidmatan awam.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menyifatkan pentadbiran Anwar sebagai kerajaan yang berani kerana berupaya melaksanakan kajian SSPA.

Katanya, isu penyelarasan gaji penjawat awam bukan perkara baharu dan sudah lama dibincangkan selain tiada kenaikan sejak hampir 12 tahun lalu.

“Pagi tadi saya bersama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) berbincang dengan Perdana Menteri mengenai apa yang kita akan bawa kepada Jemaah Menteri.

“Ini menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin, beri keutamaan kepada kebajikan penjawat awam dan sebenarnya ini bukan perkara baharu, lama dah kita bincang, sebab itu saya lihat kerajaan yang ada hari ini paling berani melaksanakan perkara ini,” katanya pada majlis amanat 2024.

Dalam pada itu Mohd Zuki berkata, kenyataan berkaitan kajian SSPA akan dikeluarkan oleh KPPA dalam tempoh terdekat.

“Insya-Allah KPPA akan umumkan dapatan awal daripada kajian ini dan insya-Allah jika diizinkan ia tertakluk kepada KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan), bila kerajaan akan laksanakan apa tuntutan yang dimohon kita selaku penjawat awam,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya kajian terbabit selesai dan dimuktamadkan kerajaan, penjawat awam perlu membalas budi dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Ia juga sejajar dengan hasrat Perdana Menteri yang mahukan reformasi dalam kalangan penjawat awam untuk ketika perkhidmatan.

“Perdana Menteri tanya KPPA, ada tak kemungkinan penjawat awam yang tak ‘perform’, kita tamatkan perkhidmatan, sampai tahap macam itu Perdana Menteri tanya.

“Jika sektor swasta buat macam itu, tiga hari tak datang kerja, dah boleh ‘terminate’, tapi kalau kita tiga bulan tak datang kerja pun, beberapa kali mesyuarat diperlukan untuk selesaikan hal ini.

“Jadi inilah perkara yang Perdana Menteri mahu kita lihat iaitu transformasi dalam perkhidmatan awam,” katanya.