MCW syor 6 cara kukuh integriti anggota PDRM

Keratan akhbar yang memetik kenyataan Ketua Polis Negara mengenai kejadian melibatkan jenayah dan salah laku dalam kalangan segelintir pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia. – Foto ihsan FB PDRM

Oleh Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

PANDANGAN: Bagaimana Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh mengembalikan integriti pasukan selepas terlalu banyak dibelenggu isu jenayah, rasuah dan salah guna kuasa sejak kebelakangan ini?

Perlu diakui bahawa perlakuan segelintir kecil anggota PDRM kebelakangan ini benar-benar menjejaskan imej PDRM.

Malah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah mennyatakan dengan jelas bahawa rasuah di Malaysia ini sudah bersifat sistemik telah menyerap dalam seluruh sistem pentadbiran, penguatkuasaan dan perancangan, hatta perundangan serta keadilan.

PDRM mesti lebih tegas dalam usaha mengembalikan integriti pasukan dengan menekankan kepentingan integriti dalam perkhidmatan anggotanya dan meningkatkan serta mempelbagaikan usaha membanteras rasuah.

Cara terbaik yang mungkin sesuai untuk membanteras masalah ini adalah dengan meningkatkan latihan dan kesedaran tentang integriti dalam kalangan anggota polis, meningkatkan pengawasan dalaman termasuklah penggunaan segera kamera badan serta melaksanakan prosedur pelaporan dan siasatan yang telus terhadap aduan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Apa yang perlu dilakukan PDRM?

  1. PDRM perlu mengutamakan nilai integriti dalam setiap tahap operasi dan pengurusan. Ini termasuk pendedahan kepada latihan dan penekanan pada tatakelakuan yang betul.
  2. Sistem pemantauan dalaman yang sedia ada perlu diperkasakan untuk mengesan dan mengendalikan kes rasuah serta penyalahgunaan kuasa dengan lebih tuntas.
  3. Membentuk mekanisme pelaporan aduan yang lebih telus dan amanah bagi anggota PDRM dan juga orang awam untuk melaporkan sebarang ketidakpatuhan atau kesalahan.
  4. Tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana anggota yang terlibat dalam kesalahan atau kesalahan tingkah laku, tanpa mengira pangkat dengan menyiarkannya di televisyen awam sebagai amaran kepada semua anggota lain.
  5. PDRM perlu melibatkan komuniti tempatan dalam aktiviti pencegahan jenayah dan menggalakkan penglibatan awam dalam pelbagai program yang bersesuaian.
  6. PDRM mesti fokus meningkatkan kebajikan anggota pada semua peringkat bagi memastikan mereka dapat bertugas dengan selesa serta merancang penambahbaikan perkhidmatan PDRM melalui teknologi terkini dan aplikasi strategik demi masa depan negara.

Adakah ada keperluan mendesak untuk kerajaan menguatkuasakan Rancang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC)?

Idea penubuhan IPCMC tidak lagi berbangkit kerana telah ditukar kepada Akta IPCC (2020) iaitu Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis. Jawatankuasa suruhanjaya itu yang telah dilantik sejak tahun lepas sewajarnya memainkan peranan aktif untuk menanggani isu salah laku anggota polis yang kelihatan semakin berleluasa kebelakangan ini.

Mereka perlu mengambil langkah proaktif dalam mengembalikan integriti anggota PDRM dengan seberapa segera yang boleh. IPCC pasti boleh berfungsi dengan berkesan jika mereka dapat menguatkuasakan dapatan hasil penyiasatannya tanpa perlu mengemukakan syor kepada mana-mana pihak, Beberapa kelemahan dan kekurangan punca kuasa IPCC perlu segera diatasi.

IPCC perlu menjadi mekanisme bebas dan berobjektif untuk membantu mengembalikan imej PDRM secara holistik dan seterusnya memberikan keyakinan kepada masyarakat bahawa setiap aduan terhadap anggota polis ditanggani dengan sewajarnya. Setiap tindakan IPCC perlu diuar-uarkan untuk makluman masyarakat dengan telus.

Nota: Pendirian yang dinyatakan oleh badan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)