SPCAAM syor warga emas B40, M40 bekerja dikecualikan cukai pendapatan

Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) percaya langkah-langkah perlu diambil untuk memastikan pekerja berusia kumpulan B40 dan M40 sekurang-kurangnya wajar mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna dalam tangan.

Oleh J Solomon

PANDANGAN: Empat tahun selepas pandemik COVID-19 melanda negara, kita masih merasai kesannya.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, empat pengeluaran khas diluluskan ketika pandemik COVID-19 mengakibatkan 71 peratus pencarum aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berusia 55 tahun ke bawah tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk bersara melepasi garis kemiskinan.

KWSP menjangkakan ahlinya perlu terus bekerja untuk tambahan empat hingga enam tahun bagi membina semula simpanan yang dikeluarkan ketika pandemik.

Secara lazimnya, apabila pekerja mencapai usia persaraan 60 tahun, mereka dijangka mampu menikmati kehidupan yang tenang dan santai. Setelah melaksanakan kewajipan menjaga keluarga dan negra, wajarlah mereka kini mengharapkan negara dan keluarga pula memainkan peranan menjaga mereka.

Bagaimanapun harapan ini terjejas dalam era pascapandemik.

Dalam landskap ekonomi tempatan dan global panscapandeik yang begitu mencabar, warga emas kita dari kumpulan B40 dan M40 berkemungkinan perlu terus bekerja walaupun telah mencapai usia persaraan 60 tahun, bukan sahaja untuk menjaga diri sendiri, malah juga keluarga mereka.

Melihat keadaan ini, mereka akan bekerja dengan dibelenggu kerugian.

Selepas usia 60 tahun, seorang pekerja tidak lagi dilindungi oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Sumbangan KWSP oleh majikan juga dikurangkan kepada empat peratus.

Memandangkan ketiadaan perlindungan sosial, dan pengurangan simpanan pada masa hadapan, Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) percaya langkah-langkah perlu diambil untuk memastikan pekerja berusia kumpulan B40 dan M40 sekurang-kurangnya wajar mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna dalam tangan.

Jika warga emas kita tidak dapat bergantung sepenuhnya kepada kerajaan untuk menjaga mereka, sekurang-kurangnya negara patut membolehkan mereka menjaga diri sendiri.

Sebagai satu kumpulan, pekerja B40 dan M40 menghabiskan kebanyakan usia dewasa mereka dengan turut menggalas bebam mereka.

Mereka bukan sahaja telah memainkan peranan menyumbang terhadap pembangunan dan kelestarian negara, malah turut membayar menyumbang daripada segi cukai pendapatan.

Di usia senja, setidak-tidaknya negara dapat membantu mereka pula dengan membenarkan mereka menyimpan pendapatan untuk diri sendiri tanpa meminta mereka terus menyumbang ke arah penyelenggaraan dan pembangunan negara lagi.

Memandangkan keadaan ini, SPCAAM merayu dan menggesa kerajaan Anwar mengecualikan cukai pendapatan bagi pekerja-pekerja kumpulan B40 dan M40 yang terus bekerja selepas usia 60 tahun.

J Solomon ialah Presiden Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM)