Menteri Sumber Manusia umum National Training Week 2024, berlangsung 24-30 Jun

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong (dua dari kiri) mengumumkan tarikh penganjuran National Training Week (NTW) 2024 pada majlis yang diadakan di ibu negara hari ini. Foto ihsan HRD Corp.

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong hari ini mengumumkan tarikh penganjuran National Training Week (NTW) 2024.

Majlis pelancaran pengumuman tarikh itu yang diadakan di ibu negara turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia yang baru, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud dan Presiden Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman. Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood juga hadir.

Dianjurkan oleh HRD Corp di bawah naungan Kementerian Sumber Manusia, NTW merupakan satu minggu yang penuh dengan acara latihan serta aktiviti yang menghimpunkan organisasi dan individu dari pelbagai latar belakang dan industri untuk mengalami peluang pembelajaran dan Pembangunan di seluruh negara.

Latihan ditawarkan oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia secara percuma di pelbagai lokasi serta melalui pelbagai mod dan platform pembelajaran.

NTW 2024, yang akan berlangsung sepanjang 24 hingga 30 Jun 2024, merupakan kesinambungan kepada NTW 2023 yang mendapat sambutan amat menggalakkan.

Diadakan pada Mei tahun lalu, NTW yang dilancarkan buat pertama kali itu telah melebihi hampir semua sasaran awal pelaksanaan apabila berjaya menyediakan lebih dari 21,000 kursus latihan percuma kepada lebih daripada 129,000 rakyat Malaysia di samping mencatatkan lebih daripada 503,000 jam latihan.

Pada tahun ini, Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp akan sekali lagi mengambil tanggungjawab dalam menggerakkan pentas pembangunan modal insan tempatan, meneraju NTW 2024.

Dengan mengekalkan matlamat yang sama untuk menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia, NTW 2024 menetapkan sasaran lebih besar dengan 150,000 pendaftaran di seluruh negara, dengan tumpuan yang lebih besar kepada program latihan percuma dalam lima teras iaitu kemahiran hidup, kemahiran masa depan, kreativiti dan inovasi, kewangan, dan pembangunan mampan. Teras ini dipilih berdasarkan keperluan bakat dan industri Malaysia.

Dalam ucapannya pada majlis pelancawan awal, Steven Sim berkata, setiap tahun, HRD Corp memberi manfaat kepada 82,000 PKS daripada 1.2 juta PKS di Malaysia.

“Oleh itu, kami mahu PKS yang lain yang tidak berdaftar untuk turun mendapat manfaat pada minggu latihan kebangsaan ini. NTW yang diadakan pada tahun lepas telah melatih lebih 129,000 rakyat Malaysia menerusi pelbagai kursus latihan dengan rekod jam latihan lebih 503,000 jam,” kata beliau.

Untuk NTW 2024, beliau mensasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 150,000 pendaftaran sepanjang minggu. Pada masa yang sama, beliau turut berharap agar NTW akan memberi tumpuan kepada kualiti latihan yang disediakan dan menetapkan standard emas untuk industri latihan.

“Fokus utamanya untuk menanamkan semangat pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan semua rakyat Malaysia, membina persekitaran latihan serta pembangunan yang kondusif dan kolaboratif, memperkukuh ekosistem peningkatan kemahiran, penyesuaian semula kemahiran, dan pemahaman terhadap pelbagai kemahiran bagi jurulatih dan peserta latihan adalah penting ketika kita berusaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia melalui kemahiran dan pengetahuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra-Pelancaran NTW 2024, di sini.

Sementara itu, Shahul berkata, ketika HRD Corp memperkenalkan NTW tahun lalu, organisasi tersebut memiliki satu tujuan utama; untuk memberikan akses kepada peluang pembelajaran dan pembangunan percuma kepada semua rakyat Malaysia, tanpa memandang latar belakang, usia, kemahiran, pengalaman, atau pengetahuan mereka.

“Saya bangga menyatakan, keberhasilan inisiatif ini dapat dicapai dengan sokongan, komitmen, dan dedikasi daripada semua pihak sama ada dari kementerian, agensi kerajaan, institusi pendidikan, organisasi masyarakat, majikan berdaftar, pelatih, penyedia pelatih, dan lain-lain.

“Terima kasih atas sokongan anda. Saya berharap anda sudi bekerjasama dengan kami lagi tahun ini demi memastikan program pembelajaran dan pembangunan yang lebih tinggi impaknya untuk semua rakyat Malaysia,” kata beliau.

Semasa majlis tersebut, Menteri Sumber Manusia dan Ketua Eksekutif HRD Corp turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 15 Rakan Acara Satelit Utama serta enam Rakan Pembelajaran Maya NTW 2023. Sijil tersebut merupakan tanda penghargaan kepada rakan strategik yang aktif menyumbang kepada kejayaan NTW 2023.

HRD Corp kini sedang aktif mencari rakan kongsi dan kolaborator untuk NTW 2024. Pihak yang berminat boleh menghubungi HRD Corp menerusi e-mel: taskforce@nationaltrainingweek.gov.my atau laman web https://www.nationaltrainingweek.gov.my/