Oleh Datuk Mohamed Shafie Bp Mammal
PANDANGAN: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong atas kesudian beliau hadir dan bertemu sendiri dengan ahli kesatuan di pejabat UNI-MLC pada Selasa lalu. Pihak UNI-MLC sangat berbesar hati dan gembira menerima kunjungan beliau yang dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia pada bulan lalu. Ini merupakan kunjungan pertama daripada Menteri Sumber Manusia sendiri sejak UNI-MLC ditubuhkan pada tahun 2000.
Secara peribadi pula, sepanjang 45 tahun saya aktif bersama kesatuan sekerja, ini pertama kali saya melihat seorang Menteri Sumber Manusia begitu proaktif dan menyokong kuat kesatuan sekerja.
Kunjungan ini jelas menunjukkan kesungguhan dan komitmen Steven Sim yang tekad untuk mengangkat martabat pekerja di Malaysia seperti yang disebut beliau pada sidang media pertama setelah menggalas tugas sebagai Menteri Sumber Manusia. Kunjungan ini memberikan satu harapan besar kepada pihak kesatuan dalam mengangkat dan membela nasib pekerja-pekerja dalam negara ini. Pihak UNI-MLC akui pelantikan Steven Sim sebagai Menteri Sumber Manusia adalah satu pilihan sangat tepat yang dilakukan oleh Perdana Menteri.
UNI-MLC amat berbesar hati apabila Steven Sim memberi jaminan untuk memanggil semula Mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) yang sepatutnya diadakan dua kali setahun. Kali terakhir NLAC diadakan adalah pada Julai tahun 2022.
UNI-MLC juga menzahirkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Steven Sim yang menaikkan geran bagi Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) sehingga RM20,000 bermula tahun ini berbanding tahun lepas sebanyak RM10,000. UNI-MLC percaya dengan kenaikan ini akan lebih banyak program dan aktiviti dapat diadakan bagi membantu ahli kesatuan dan pekerja dalam negara ini.
Selain itu, Dasar Sumber Manusia yang sedang diusahakan oleh Steven Sim juga dilihat bakal membawa penambahbaikan yang besar untuk nasib pekerja dalam negara ini. Pihak kesatuan UNI-MLC akan memberi sokongan sepenuhnya kepada semua dasar yang akan diperkenalkan yang akan membela nasib pekerja dalam negara ini.
Datuk Mohamed Shafie Bp Mammal ialah Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)