KUALA LUMPUR: Had maksimum permohonan geran untuk kesatuan sekerja dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM20,000, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan memperkasa pengurusan kesatuan sekerja.
“Pemberian geran PHEKS berkenaan adalah tertakluk pada syarat yang ditetapkan,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan.
Dua Jawatankuasa ditubuhkan bagi tujuan penilaian permohonan iaitu Jawatankuasa Teknikal PHEKS dan Jawatankuasa Panel Penilai/Pelulus PHEKS, kata beliau.
Selain itu, kata beliau, peruntukan untuk Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) dinaikkan kepada RM5.8 juta pada tahun ini berbanding RM2.6 juta tahun lalu.
Katanya, ia selaras dengan pendirian kementeriannya untuk berdiri bersama pekerja yang menjadi tonggak kepada ekonomi negara, sekali gus memerlukan kesatuan sekerja terus didukung dan diperkasa.
Steven Sim berkata Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) akan mempromosi geran dan program di bawah PHEKS kepada semua kesatuan sekerja melalui Pejabat Negeri JHEKS di seluruh negara selain sesi taklimat secara bersemuka serta pengiklanan di laman sesawang jabatan, iaitu jheks.mohr.gov.my.
“Justeru, semua kesatuan sekerja disaran untuk menyertai inisiatif yang akan dilaksanakan pada tahun ini,” kata beliau lagi.
Keputusan menaikkan geran untuk kesatuan sekerja juga diumumkan ketika mengadakan lawatan ke pejabat Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) kelmarin.