Autoriti kawal selia kembali ke Sabah selepas 40 tahun, Pengerusi beri jaminan SESB kekal komited perkasa bekalan elektrik

Pengerusi SESB, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (tengah) menunjukkan buku The SESB Story – Kisah SESB selepas melancarkannya di Kota Kinabalu, hari ini. Bersama beliau Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Ts. Mohd Yaakob Jaafar (kanan) dan Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat, Khadijah Sutrisnoh.

SEDUTAN UCAPAN: Pada hari ini, kita akan menyaksikan pelancaran sebuah buku yang amat penting dan signifikan bagi SESB, dalam menerokai masa depan yang sangat mencabar, tetapi amat meyakinkan bagi setiap pemegang taruh, terutama para pengguna yang mengharapkan bekalan elektrik yang ‘reliable’ sepanjang masa. Saya secara peribadi amat yakin dengan keupayaan dan kebolehan SESB. SESB berada di landasan yang cukup membina dan positif dalam memenuhi keperluan para pengguna.

Percayalah! SESB akan lakukan dan mampu untuk lakukan.

Buku berjudul The SESB Story atau Kisah SESB ini menyajikan satu gambaran holistik mengenai perjalanan berliku-liku sebuah entiti utiliti tenaga elektrik di Sabah, yang ditubuhkan pada tahun 1957 di bawah Ordinan yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lembaga Letrik Sabah (LLS), yang telah memainkan peranan dan fungsi yang agak unik di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Sabah sebelum ia diserahkan kepada pusat.

Meskipun pengurusan sektor elektrik sepatutnya berada dalam senarai persekutuan selepas pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, tetapi sektor ini kekal berada di bawah Kerajaan Negeri sehingga tahun 1983, iaitu selama 20 tahun. Satu persoalan yang masih belum ada jawapan konkrit sehingga kini. Sepanjang tempoh dua dekad itu, lipatan sejarah menjadi bukti kepada siri ujian, cabaran dan isu sebenar yang dilalui oleh kita dalam soal sama ada kita telah dapat membangunkan dan telah mampu menikmati bekalan elektrik yang berkualiti di Sabah.

Pada tahun 1982, disebabkan oleh kekangan sumber kewangan dan keperluan untuk merancakkan pembangunan sektor bekalan elektrik sejajar dengan kemajuan di wilayah-wilayah lain di Malaysia, Kerajaan Negeri telah meminta Kerajaan Persekutuan supaya mengambil balik kuasa kawal selia sektor bekalan elektrik. Cadangan itu menjadi realiti pada 1 Januari 1984 menerusi penggubalan Akta Lembaga Letrik Sabah. LLS menjadi sebuah agensi persekutuan.

Ada sedikit kemajuan. Tetapi, siri ujian, cabaran dan isu ini berterusan sehingga membawa kepada keputusan Kerajaan Pusat menswastakan LLS pada September 1998. LLS dikenali sebagai Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), sehingga ke hari ini.

Pengerusi SESB, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (tiga dari kanan) melancarkan buku The SESB Story – Kisah SESB di Kota Kinabalu hari ini.

Sejarah berulang

Selepas empat dekad, kuasa mengawal selia menguruskan kemudahan kuasa pengurusan bekalan elektrik akan dikembalikan kepada Kerajaan Negeri Sabah. Perkara ini akan dibahaskan di DUN yang akan mengadakan sidang khas pada 3 Januari 2024 – dalam tempoh satu minggu lagi.

Langkah memindahkan kuasa kawal selia itu satu sejarah. Sejarah berulang kembali. Tetapi, dalam erti kata sebenar, kita mempunyai cabaran besar untuk menjayakan sasaran setelah kembalinya kuasa menguruskan SESB. Sama ada kita akan berjaya atau sebaliknya, bergantung kepada seratus peratus berada di tangan kita.

Kita perlu melihat apakah mekanisme yang terbaik, model dan formula paling terbaik yang perlu dan boleh dilaksanakan untuk Sabah. Selepas ini, kita akan bertanggungjawab sepenuhnya dan tidak boleh menuding jari ke arah mana-mana pihak. Kita perlu sedar bahawa SESB adalah sebuah entiti perniagaan yang dipacu perniagaan dan harus berdiri sendiri tanpa bergantung kepada subsidi Kerajaan.

Perlu diakui bahawa dalam tempoh 25 tahun penswastaan SESB, banyak kemajuan telah dicapai terutama sekali dalam pembinaan grid penghantaran dan pengagihan. Kini, kecuali Ranau, Telupid dan Tongod, semua pekan dan bandar di Sabah sudah pun disambung ke sistem grid. Namun demikian, SESB masih berhadapan dengan pelbagai cabaran baharu dalam menguruskan sektor bekalan elektrik di Sabah.

Lima cabaran utama SESB

Saya hendak berkongsi lima cabaran utama SESB pada hari ini.

Pertamanya, cabaran yang paling kritikal ialah aspek kelestarian kewangan. SESB bergantung sangat dengan Subsidi Sokongan Tarif (TSS) daripada Kerajaan Persekutuan untuk kekalkan tarif di bawah kos penjanaan dan penghantaran bekalan elektrik. Pada tahun 2022 sahaja TSS telah mencecah RM862 juta. Satu jumlah yang cukup besar, sekali gus menunjukkan kita perlu mengambil tindakan proaktif dan strategik dengan segera, dan secara konstruktif untuk memastikan setiap pelosok Negeri Sabah dibekalkan tenaga elektrik secara konsisten, berkualiti tinggi dan berlestari. Pada hari ini, SESB menjual elektrik pada kadar purata tarif asas 34.52 sen seunit elektrik (sen/kWj), jauh lebih rendah berbanding kos purata penjanaan – iaitu 43.83 sen/kWj. Perbezaan kadar ini mengakibatkan kerugian purata sebanyak 10 sen/kWj bagi setiap unit elektrik yang dijual. Tentunya, subsidi bukanlah penyelesaian yang mampan. Tanpa TSS dan sebagai sebuah perniagaan, SESB adalah technically insolvent.

Keduanya, kelestarian kewangan SESB. Demi kelestarian sektor tenaga elektrik di Sabah, adalah penting untuk kita merangka hala tuju yang jitu bagi mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana pihak termasuklah subsidi Kerajaan. Untuk tujuan ini, adalah kritikal bagi SESB untuk memiliki keupayaan penjanaan elektrik sendiri, sekurang-kurangnya beban utama ataupun base load yang dijana dan dimiliki sendiri oleh SESB sebanyak 700 MW.

Ketiganya, cabaran strategik utama dalam memastikan bekalan kuasa yang berdaya harap ke semua kawasan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Namun demikian, terdapat daerah-daerah utama daripada sudut sosioekonomi seperti Ranau dan Telupid yang masih belum disambungkan ke Grid Sabah. Hal ini memberi implikasi yang besar kepada penyaluran dan penyediaan bekalan elektrik ke kawasan-kawasan terbabit. Cabaran ini juga merupakan satu keutamaan bagi SESB.

Keempatnya, SESB sedang bekerja keras untuk menangani margin rizab yang pada masa sekarang dalam lingkungan 12 peratus. Kedudukan ini tidak mencapai sasaran 30 peratus yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa khususnya dalam menetapkan amalan utiliti berhemat. Kapasiti rizab yang terhad menyebabkan bekalan kuasa terdedah kepada ketegangan atau gangguan bekalan semasa waktu puncak atau gangguan yang tidak dijangka. Hal ini berpotensi mengakibatkan ketiadaan bekalan elektrik, yang merupakan satu keadaan yang sukar dan tidak diingini oleh pengguna. Sebagai entiti utiliti elektrik yang utama di Sabah, SESB mempunyai tanggungjawab dalam memastikan integriti bekalan elektrik kukuh sepanjang masa.

Kelimanya, cabaran mengurangkan Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI). Nilai SAIDI pada masa sekarang adalah sekitar 274.43 minit berbanding 4,109 minit pada tahun 2005, 424 minit (tahun 2013) dan 302 minit (tahun 2022). Banyak kemajuan telah dicapai dalam soal nilai SAIDI, tetapi SESB bekerja keras untuk terus mengurangkannya. Bagi menjamin keperluan bekalan elektrik yang boleh diharap dan diyakini ke semua kawasan dan di seluruh Sabah, SESB menyasarkan untuk mengurangkan SAIDI sehingga 100 minit menjelang tahun 2030. Jurang antara angka ini memerlukan persoalan introspektif iaitu bagaimana SESB boleh mengukuhkan rangka kerja dalaman bagi mengekalkan sumber tenaga yang lancar dan berdaya harap. Jawapannya terletak pada potensi bekalan tenaga kerja dan sumber yang belum diterokai dalam menjana operasi SESB.

Laluan seterusnya adalah mencabar, tetapi kami beriltizam untuk mengatasi halangan ini dan memastikan masa depan tenaga yang cerah dan mampan untuk Sabah. Sehubungan dengan itu, bagi membolehkan SESB membentuk dasar tenaga yang memenuhi keperluan dan aspirasi Sabah, SESB komited dalam memastikan sumber tenaga yang stabil dan ‘reliable’ untuk rakyat Sabah.

Kepentingan pengguna adalah keutamaan SESB iaitu menyediakan bekalan elektrik yang berkualiti tinggi dan berdaya harap. SESB akan melabur hampir RM5 bilion sepanjang 10 tahun akan datang bagi menyediakan infrastruktur penjanaan, penghantaran dan pembahagian berkelas dunia demi satu objektif utama – menjamin sekuriti tenaga elektrik, pada kos efektif dan mampu dimiliki oleh semua.

SESB ada siri cabaran yang telah saya sebutkan tadi. SESB ada kekangan.

Yang pentingnya, SESB ada solusi dan penyelesaian. Pokoknya, SESB tidak boleh melakukan dengan sendiri. Kami memerlukan sokongan dan dokongan semua pihak – agensi kawal selia, Suruhanjaya Tenaga Sabah atau ECoS, Suruhanjaya Tenaga Malaysia, kementerian berkaitan di peringkat negeri dan pusat, IPP dan orang ramai selaku pengguna setia SESB. Untuk melihat landskap bekalan elektrik yang berintegriti dan berwibawa, dan demi Negeri Sabah yang maju, kita perlu berganding untuk bergerak bersama SESB. Ini termasuklah sistem yang utuh dan governans yang padu.

Selaku Pengerusi SESB, rakyat Sabah yang diberikan amanah untuk menerajui SESB, saya yakin bahawa sidang khas pada 3 Januari 2024 ini akan memberikan sinaran kepada SESB untuk terus menyinari Sabah dengan lebih kukuh.

Saya yakin buku ini akan menjadi panduan, pedoman dan penanda aras kepada perniagaan yang lestari, berwibawa dan disegani. Malah, saya yakin kita boleh melakukannya. SESB mempunyai barisan pengurusan dan kepimpinan yang terbaik di SESB diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang mempunyai visi besar yang jelas.

Saya mengucapkan terima kasih kepada kesemua pemegang taruh, pucuk kepimpinan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sabah dan rakyat sebagai pengguna perkhidmatan SESB secara langsung selari dengan Aspirasi, Tujuan dan Nilai Teras SESB.

Nota: Sedutan ucapan Pengerusi SESB, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau pada majlis pelancaran buku The SESB Story – Kisah SESB sempena sambutan Jubli Perak Ke-25 SESB dan Majlis Sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2024 di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.