KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju cuti tanpa rekod (CTR) sempena perayaan Deepavali yang jatuh pada 13 November akan dibawa ke hari Selasa bagi pegawai perkhidmatan awam yang menganut agama Hindu di negeri-negeri yang hari kelepasan mingguannya adalah Ahad.
Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed, perkara itu tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing.
Kata beliau, peruntukan CTR adalah terikat kepada hari yang dibenarkan sahaja dan tidak boleh dibawa ke hari berikutnya sekiranya ia jatuh pada hari kelepasan am atau hari kelepasan am mingguan.
“Namun begitu, kerajaan pada 3 November telah bersetuju untuk memberi pengecualian bagi tahun 2023,” kata beliau.
Menurut Zulkapli, perkara itu dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.
Untuk rekod, mulai 2018, kerajaan telah memperuntukkkan cuti tanpa rekod sempena perayaan Deepavali selama sehari iaitu pada hari berikutnya (hari kedua) kepada pegawai perkhidmatan awam yang menganut agama Hindu sebagai tambahan kepada cuti umum Deepavali bagi memberi lebih ruang kepada mereka untuk menyambut perayaan itu bersama keluarga.
Kata beliau, peraturan itu telah dinyatakan di dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian SR 5.3.6 dan cuti tanpa rekod itu terpakai kepada semua negeri di Malaysia kecuali Sarawak mengambil kira Deepavali bukan hari kelepasan am di negeri berkenaan.