KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Public Bank Bhd meningkat kepada RM1.38 bilion pada suku kedua berakhir pada 30 Jun 2021 berbanding RM1 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.
Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan suku pertama tahun ini, keuntungan bersih kumpulan perbankan itu merosot sebanyak 9.5 peratus, terutama disebabkan oleh peruntukan terdahulu yang diketepikan untuk pinjaman terjejas.
Bagi tempoh separuh pertama 2021, keuntungan bersih Public Bank melonjak kepada RM2.91 bilion berbanding RM2.33 bilion pada separuh pertama 2020, manakala keuntungan sebelum cukai adalah sebanyak RM3.79 bilion.
Pengerusi Emeritus, Tan Sri Teh Hong Piow berkata, keuntungan berterusan kumpulan disokong oleh perniagaan utamanya iaitu pemberian pinjaman dan pengambilan deposit serta pendapatan bukan faedahnya.
Hong Piow berkata, pemulihan ekonomi Malaysia pada 2021 membolehkan kumpulan mencatatkan prestasi lebih baik pada enam bulan pertama tahun ini berbanding 2020.
Prestasi kewangan Public Bank pada tahun lalu menerima impak disebabkan pandemik COVID-19 dan kesan limpahannya ke atas ekonomi.
Bagaimanapun, menurut beliau, peningkatan semula kes COVID-19 dan pelaksanaan langkah sekatan yang lebih ketat pada suku kedua 2021 telah memberi tekanan terhadap prestasi perniagaan kumpulan.