Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Bajet 2024 di Dewan Rakyat. – Foto ihsan FB Anwar Ibrahim
BAJET 2024: Kakitangan awam akan menerima Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.
Selain itu, sebanyak RM1,000 diberikan kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam membabitkan semua termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata serta seluruh anggota beruniform.
Mengumumkan perkara itu dalam ucapan Bajet 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bayaran Insentif RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.
“Bayaran ini akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari 2024 bagi meringankan beban persediaan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang bulan Ramadan dan Syawal,” kata beliau.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memberitahu, kerajaan sedang menyemak semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam yang kali terakhir dilaksanakan pada 2012.
Katanya, kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan meneliti keperluan semua skim perkhidmatan dan dijangka akan dimuktamadkan pada penghujung tahun hadapan.
Kata Anwar: “Kerajaan menyarankan majikan swasta turut sama mengkaji kesesuaian saraan serta ganjaran kepada pekerja mengambil kira cabaran kos sara hidup semasa. Tahun hadapan, kerajaan akan mula mempergiat sesi libat urus.”
“Saya juga menggesa untuk pihak swasta untuk memberi ganjaran terutamanya syarikat yang mempunyai keuntungan yang munasabah,” katanya.