Menteri: Akta Kesatuan Sekerja dipinda untuk wujud kesatuan ‘lebih matang, progresif dan bersaing secara sihat’

Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja selepas dibahaskan oleh 14 Ahli Parlimen.

PARLIMEN: Bagi pihak Kementerian Sumber Manusia, saya terlebih dahulu mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023.

Kementerian menghargai semua pandangan, saranan, cadangan mahupun teguran daripada semua Ahli-ahli Yang Berhormat tersebut.

Seramai 14 orang Ahli Yang Berhormat telah membahaskan Rang Undangundang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023 iaitu: Yang Berhormat Ipoh Barat; Yang Berhormat Pendang; Yang Berhormat Seputeh; Yang Berhormat Setiu; Yang Berhormat Miri; Yang Berhormat Pasir Mas; Yang Berhormat Bayan Baru; Yang Berhormat Jerlun; Yang Berhormat Tenggara; Yang Berhormat Pasir Salak; Yang Berhormat Sungai Petani; Yang Berhormat Temerloh; Yang Berhormat Petaling
Jaya; dan Yang Berhormat Hulu Selangor.

Berhubung saranan Yang Berhormat Ipoh Barat, Yang Berhormat Pendang, Yang Berhormat Setiu, Yang Berhormat Miri, Yang Berhormat Jerlun dan Yang Berhormat Pasir Mas berkaitan dengan isu kepelbagaian kesatuan sekerja (‘multiplicity’).

Untuk makluman Dewan yang mulia, asas utama pindaan ini adalah untuk memansuhkan sekatan penubuhan kesatuan sekerja termasuklah sekatan dari hanya membenarkan satu kesatuan sekerja dalam mana-mana industri, pekerjaan atau trade. Untuk itu, ia tidak dapat lari dari isu kepelbagaian kesatuan sekerja.

Kepelbagaian kesatuan sekerja dijangka akan memberi impak yang baik terutamanya kepada pekerja dan memberikan kebebasan kepada pekerja untuk menyertai atau menubuhkan kesatuan mengikut pilihan mereka sendiri.

Bagi memastikan keharmonian perusahaan dapat dikekalkan, sesuatu kesatuan dibenarkan untuk mengehadkan keanggotaannya di mana seseorang pekerja yang telah menganggotai kesatuannya, tidak dibenarkan untuk menganggotai kesatuan sekerja yang lain. Adalah menjadi harapan kerajaan dengan pindaan Akta 262, ia akan mewujudkan kesatuan sekerja yang lebih matang, progresif dan bersaing secara sihat bagi memastikan faedah-faedah pekerja dapat ditingkatkan.

Kesatuan dibenarkan untuk mengehadkan keanggotaannya di mana seseorang pekerja yang telah menganggotai sesuatu kesatuan, tidak dibenarkan untuk menganggotai kesatuan sekerja yang lain. Sekiranya, terdapat sekatan ini dalam perlembagaan kesatuan, beliau tidak boleh menganggotai atau memegang jawatan dalam kesatuan yang lain.

Jika tiada sekatan dalam perlembagaan kesatuan, maka pekerja tersebut boleh menganggotai dan seterusnya memegang jawatan dalam kesatuan-kesatuan yang dianggotainya.

Perkara ini adalah tertakluk kepada perlembagaan kesatuan sekerja masing-masing. Yang Berhormat Ipoh Barat membangkitkan berkaitan permohonan pendaftaran kesatuan yang dikatakan mengambil masa yang lama. Piagam pelanggan jabatan telah menetapkan bahawa permohonan pendaftaran hendaklah diproses dalam tempoh sebulan selepas permohonan diterima.

Berdasarkan rekod jabatan, sesuatu permohonan yang lengkap akan didaftarkan dengan segera dalam tempoh tujuh hari dari tarikh permohonan lengkap diterima di ibu pejabat. Yang Berhormat Ipoh Barat dan Yang Berhormat Seputeh mengutarakan pandangan berkenaan dakwaan bahawa pindaan rang undang-undang ini memberi kuasa penuh kepada ketua pengarah.

Untuk makluman Dewan yang mulia, pindaan akta ini tidak sama sekali memberi kuasa penuh kepada Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja, sebaliknya melalui pindaan ini, kuasa sedia ada Ketua Pengarah telah dihadkan khususnya dalam hal pendaftaran kesatuan sekerja, pembatalan kesatuan sekerja dan penggantungan
cawangan kesatuan sekerja. Walau bagaimanapun, terdapat peruntukan yang ditambah baik bagi memastikan akta ini dapat dikuatkuasakan dengan berkesan, contohnya peruntukan berhubungan kuasa siasatan dan pendakwaan ke atas kesatuan sekerja yang melakukan kesalahan.

Yang Berhormat Ipoh Barat dan Yang Berhormat Setiu turut membangkitkan sama ada pindaan Akta Kesatuan Sekerja ini akan dapat meningkatkan keanggotaan
kesatuan sekerja. Untuk makluman Dewan yang mulia, kementerian menjangkakan pindaan akta ini akan dapat meningkatkan keanggotaan kesatuan sekerja dengan anggaran peningkatan keanggotaan adalah sebanyak lebih kurang 50,000 sehingga 100,000 anggota manakala bilangan kesatuan dijangka akan meningkat dari 756 kepada 800 kesatuan sekerja pada tahun ini. Kementerian yakin pindaan akta ini akan dapat meningkatkan keanggotaan kesatuan sekerja.

Kementerian telah pun merancang dan melaksana beberapa inisiatif dalam merealisasikan perkara ini.

Kementerian juga ada memperuntukkan dana kepada kesatuan-kesatuan sekerja untuk menjalankan program-program kesatuan sekerja. Kementerian berharap pindaan ini akan mewujudkan kesatuan sekerja yang lebih matang, progresif dan bersaing secara sihat bagi memastikan faedah-faedah pekerja dapat dipertingkatkan.

Di samping itu, kementerian juga akan menggariskan sasaran jangka masa sederhana dan jangka masa panjang berhubung perkara ini. Yang Berhormat Ipoh Barat turut membangkitkan pertanyaan mengapa kesatuan dalam.

Berhormat Ipoh Barat turut membangkitkan pertanyaan mengapa kesatuan dalam sektor kerajaan lebih banyak berbanding dengan kesatuan sekerja di sektor swasta.

Berdasarkan statistik jabatan sehingga Jun 2023, bilangan kesatuan di sektor kerajaan berjumlah 163 dengan keanggotaan berjumlah 531,436 orang. Manakala,
bilangan kesatuan sektor swasta berjumlah 466 dengan keanggotaan seramai 340,948 orang.

Adalah menjadi harapan kerajaan melalui pindaan ini untuk menggalakkan pekerja-pekerja di sektor swasta untuk menubuhkan dan menganggotai kesatuan sekerja mereka memandangkan pindaan ini akan memberikan kebebasan kepada pekerja untuk memilih atau menubuhkan kesatuan sekerja mereka sendiri. Jabatan mempunyai rancangan bagi jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang untuk meningkatkan keanggotaan kesatuan sekerja bukan sahaja di sektor swasta tetapi juga dalam sektor kerajaan.

Yang Berhormat Pendang dan Yang Berhormat Pasir Mas turut bertanya sama ada pekerja sektor e-hailing boleh membentuk kesatuan sekerja dalam menjaga hal-hal kebajikan mereka. Untuk makluman Dewan yang mulia, pekerja-pekerja boleh menubuhkan kesatuan sekerja sekiranya mereka digajikan di bawah suatu kontrak perkhidmatan, dengan izin contract of service dengan pihak majikan.

Namun demikian, bagi pekerja-pekerja sektor e-hailing yang berada di bawah kontrak untuk perkhidmatan, contract for service, mereka bukanlah seorang pekerja menurut definisi Akta Kesatuan Sekerja 1959. Sehubungan itu, mereka tidak boleh menubuhkan dan menganggotai kesatuan sekerja. Isu ini boleh diselesaikan sekiranya takrif pekerja dipinda di bawah Akta Sekerja 1955. Walau bagaimanapun, perkara ini perlu dikaji dengan teliti dan menyeluruh untuk memastikan ia boleh memberi manfaat kepada pekerja secara keseluruhannya.

Pada masa yang sama, kerajaan hari ini sedang meneliti dan mengkaji kebolehlaksanaan undang-undang dan dasar baharu yang bersesuaian bagi mengawal selia sektor ekonomi gig yang turut merangkumi pekerja sektor e-hailing yang semakin membangun dan berkembang di dalam negara.

Pada masa ini, Kerajaan telah memperkenalkan Akta Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [Akta 789] untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri.

Pada mulanya, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Akta 789 ini diwajibkan kepada Sektor Pengangkutan Penumpangan iaitu pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas yang berkuat kuasa mulai 1 Jun 2017.

Mulai 1 Januari 2020, perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri telah diperluaskan kepada 19 sektor pekerjaan sendiri yang lain seperti pengangkutan barangan atau makanan, pertanian, penjaja dan lain.

Yang Berhormat Pendang dan Yang Berhormat Miri juga membangkitkan isu berkenaan langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam mempromosikan kesatuan sekerja kepada golongan pekerja muda. Ia adalah untuk meningkatkan penyertaan golongan muda dalam kegiatan kesatuan sekerja.

Kementerian mempunyai beberapa inisiatif dalam mempromosikan faedah dan fungsi kesatuan sekerja kepada pekerja-pekerja terutamanya kepada pekerja muda melalui program-program pendidikan secara berterusan, sebagai contoh:

(i) program kesedaran berkesatuan bersama graduan dan pelajar; dan
(ii) program outreach bersama pekerja, kesatuan sekerja, pelajar, pelatih dan mahasiswa.

Selain itu, Kementerian juga akan terus memberi pendidikan melalui sesi libat urus mengenai faedah kesatuan sekiranya mereka mempunyai kesatuan sekerja.

Isu berkaitan definisi pekerja parti politik yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pendang. Untuk makluman Dewan yang mulia, pekerja parti politik sememangnya dibenarkan menganggotai kesatuan sekerja tanpa perlu mengisytiharkan jawatan mereka sebelum menganggotai kesatuan tersebut.

Walau bagaimanapun, untuk menjadi pegawai kesatuan, pekerja tersebut perlu menyatakan jenis pekerjaan dan jawatan dalam parti politik jika ada, dalam notis yang dikemukakan kepada Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja. Ini adalah kerana pemegang jawatan dalam parti politik tidak dibenarkan untuk menjadi pegawai kesatuan sekerja.

Pekerja parti politik adalah merujuk kepada pekerja yang digajikan oleh mana-mana parti politik contohnya pemandu, kerani kewangan, kerani pentadbiran dan sebagainya.

YB Pendang juga membangkitkan pertanyaan sama ada pindaan undang-undang ini hanya untuk diselaraskan dengan negara-negara lain. Pindaan ke atas akta ini perlu dibuat memandangkan peruntukan sedia ada dalam akta ini tidak mengambil kira prinsip kebebasan berkesatuan.

Memandangkan kerajaan telah meratifikasi, dengan izin, Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP) pada 30 September 2022 dan mula berkuat kuasa pada 29 November 2022, pindaan kepada akta ini sememangnya adalah satu keperluan.

Sekiranya Malaysia tidak mematuhi peruntukan-peruntukan, Bab Buruh yang dinyatakan dalam CPTPP, negara ahli CPTPP yang lain boleh membuat tuntutan terhadap Malaysia supaya Malaysia mematuhi peruntukan-peruntukan di bawah Bab Buruh CPTPP dan selanjutnya melalui mekanisme penyelesaian pertikaian CPTPP yang boleh menyebabkan Malaysia terpaksa membayar pampasan atau kehilangan faedah-faedah di bawah CPTPP sehingga peruntukan tersebut dipatuhi sepenuhnya.

YB Ipoh Barat dan YB Seputeh telah membangkitkan situasi sekiranya lebih dari satu kesatuan wujud di tempat kerja, kesatuan mana yang mempunyai kuasa untuk berunding?

Bagi memastikan keharmonian perusahaan dapat dikekalkan, kementerian telah mewujudkan mekanisme berhubung proses pengiktirafan sekiranya terdapat dua atau lebih kesatuan di tempat pekerjaan tersebut melalui pindaan Akta 177. Dengan pindaan Akta 177 yang telah diluluskan oleh Parlimen pada 19 Disember 2019, hanya satu kesatuan sekerja yang dibenarkan berunding dengan majikan bagi memeterai perjanjian bersama, sole bargaining rights.

Untuk makluman Dewan yang mulia, Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan boleh mengambil langkah-langkah untuk menentukan permohonan tersebut atau menjalankan undi sulit bagi membolehkan pekerja-pekerja yang terlibat memilih sebuah kesatuan sekerja untuk mewakili mereka dalam perundingan kolektif. Kesatuan sekerja yang mendapat undi tertinggi, dengan izin, highest vote akan mempunyai hak berunding tunggal sehingga kesatuan sekerja lain mendapat hak tersebut.

YB Seputeh, dan YB Setiu telah membangkitkan usaha kementerian dalam mendidik majikan mengenai hak berkesatuan serta medium komunikasi yang boleh dilakukan oleh kementerian supaya kebajikan pekerja dapat disuarakan dengan lebih berkesan.

Kementerian ini akan terus mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk kesatuan sekerja untuk membincangkan mengenai isu-isu perburuhan seperti isu kebajikan pekerja. Selain itu, kerajaan juga menyediakan pelbagai platform latihan dan dana untuk kesatuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ahli-ahlinya. Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah:

(i) program kesedaran berkesatuan bersama graduan dan pelajar;

(ii) program outreach bersama pekerja, kesatuan sekerja, pelajar, pelatih dan mahasiswa;

(iii) kursus pengurusan kesatuan sekerja;dan

(iv) penganugerahan Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja (GPKS).

YB Setiu dan YB Pasir Mas juga bertanyakan tentang syarat-syarat kepada pegawai kesatuan sekerja yang dipilih untuk benar-benar mewakili suara pekerja dan bukan bertujuan bersaing dengan kesatuan lain. Syarat-syarat untuk menjadi pegawai kesatuan sekerja diperuntukkan di bawah seksyen 28, Akta Kesatuan Sekerja 1959. Walau bagaimanapun, adalah menjadi tanggungjawab ahli kesatuan untuk memilih pegawai yang berkaliber dan bertanggungjawab untuk memastikan kesatuan boleh menyuarakan isu-isu yang melibatkan pekerja dan mampu bersaing dengan kesatuan yang lain.

Rang undang-undang ini perlu disegerakan pindaannya kerana ia akan mewujudkan kesatuan sekerja yang lebih matang, progresif dan bersaing secara sihat bagi memastikan faedah-faedah pekerja dapat ditingkatkan.

Berkaitan dengan isu yang dibangkitkan oleh YB Jerlun iaitu berkaitan dengan hukuman pemenjaraan.

Di bawah cadangan pindaan akta ini, hukuman pemenjaraan dimansuhkan sepenuhnya. Bagaimanapun, kadar denda sedia ada dinaikkan sedikit bagi memastikan kesatuan sentiasa berada di landasan yang betul, sejajar dengan objektif penubuhannya. Akhir kata, sekali lagi bagi pihak kementerian, saya
mengucapkan terima kasih kepada semua Yang Berhormat atas pandangan, saranan dan teguran Ahli-ahli Yang Berhormat akan diberikan perhatian dalam
merangka dasar dan program-program kementerian dengan lebih cekap dan berkesan.

Nota: Sebahagian daripada ucapan penggulungan perbahasan RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023 oleh Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar di Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2023