PARLIMEN: Akta Kesatuan Sekerja 1959 – selepas ini disebut sebagai “Akta 262”, merupakan undang-undang buruh utama yang mengawal pergerakan kesatuan-kesatuan sekerja di Malaysia yang secara amnya memperuntukkan tatacara dan proses dari segi pendaftaran, pembatalan dan urus tadbir kesatuan sekerja.
Akta 262 dikuatkuasakan oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS).
Akta 262 dikuatkuasakan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Sebanyak 10 kali pindaan telah dilakukan dan kali yang terakhir ialah pada
tahun 2007 selaras dengan perubahan sosioekonomi dan keperluan semasa. Kerajaan sentiasa mengambil inisiatif dalam memperbaharui undang-undang
perburuhan bagi menjamin kesejahteraan pekerja dan keharmonian dalam perusahaan.
Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023 ini merupakan antara usaha dalam merealisasikan Pelan Pelaksanaan Dasar Rancangan Malaysia Kedua Belas untuk melaksanakan inisiatif bagi meningkatkan keahlian dalam kesatuan sekerja ke arah pengukuhan sistem yang menyokong pasaran buruh dan meningkatkan pampasan pekerja.
Baru-baru ini, kerajaan telah mengikhtiarkan gagasan Malaysia MADANI dan menyusul dengan kerangka ekonomi MADANI.
Melalui dasar ini, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2023 (NIMP) bagi memacu pertumbuhan sosioekonomi Malaysia dalam tempoh 10 tahun telah dirangka untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif. Iltizam ini diteruskan dengan memberi perhatian kepada usaha memantapkan lagi pergerakan kesatuan sekerja di negara ini.
Dalam menggubal pindaan kepada Akta 262, Kementerian Sumber Manusia telah mengadakan sesi libat urus yang menyeluruh dengan pihak berkepentingan khususnya majikan, pekerja, kesatuan sekerja, pertubuhan majikan, pertubuhan pekerja dan agensi kerajaan sejak tahun 2014. Berdasarkan libat urus tersebut, Kementerian Sumber Manusia telah mengambil kira pandangan-pandangan yang telah dikemukakan oleh pihak yang berkepentingan dalam menggubal rang undang-undang ini.
Pada sesi sebelum ini, RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023 telah dibentangkan di Dewan yang mulia ini untuk bacaan kali pertama.
Cadangan pindaan ini melibatkan 36 fasal yang merangkumi 30 fasal pindaan, lima fasal baharu dan satu fasal yang dimansuhkan. RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022 yang mengandungi cadangan pindaan yang sama telah dibaca dan diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2022. Walau bagaimanapun, ia tidak diteruskan ke Dewan Negara kerana Parlimen telah dibubarkan pada 10 Oktober 2022.
RUU ini bertujuan untuk meminda Akta 262 dengan objektif utama untuk meniadakan sekatan ke atas pembentukan kesatuan sekerja berdasarkan penubuhan tertentu atau persamaan dalam tred, pekerjaan atau industri dan untuk membenarkan kepelbagaian dengan izin, ‘multiplicity’ kesatuan sekerja dalam mana-mana penubuhan, tred, pekerjaan atau industri.
Ini adalah selaras dengan prinsip kebebasan berpersatuan di mana pekerja dan majikan adalah bebas untuk menubuhkan atau menyertai mana-mana kesatuan
sekerja pilihan mereka sendiri.
Pindaan Akta 262 ini juga adalah bagi mewujudkan kerangka perundangan yang menyokong penubuhan dan pentadbiran kesatuan sekerja yang matang, progresif dan relevan selain memastikan kualiti perlindungan hak pekerja di Malaysia dengan mengambil kira prinsip-prinsip yang digariskan di bawah standard perburuhan antarabangsa.
Di samping itu, RUU ini juga bertujuan untuk memudah cara Malaysia dalam merundingkan perjanjian-perjanjian perdagangan, yang pada ketika ini telah memasukkan artikel berhubung obligasi kepada standard perburuhan antarabangsa sebagai salah satu daripada terma perjanjian.
Sebagai contoh, Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) memperuntukkan supaya setiap negara anggota menerima
pakai dan menambah baik undang-undang, peraturan-peraturan dan amalan masing-masing berhubung dengan hak-hak yang terkandung dalam Deklarasi ILO
1998 berkaitan dengan izin, Fundamental Principles and Rights at Work. Malaysia telah pun meratifikasi perjanjian CPTPP pada 30 September 2022 dan telah mula menguatkuasakan perjanjian ini pada 29 November 2022.
Selain itu, pindaan yang dicadangkan turut mengambil kira prinsip-prinsip utama dalam Konvensyen ILO No. 87 (Freedom of Association and Protection of the Right to Organise). Pindaan yang dicadangkan dalam RUU Kesatuan Sekerja ini akan menggalakkan penubuhan dan keanggotaan kesatuan sekerja serta dijangka akan meningkatkan liputan perjanjian kolektif dalam kalangan pekerja sektor swasta di Malaysia.
Ini secara langsung akan meningkatkan perlindungan dan kebajikan para pekerja khususnya melalui peranan kesatuan sekerja dalam menambah baik terma-terma dan syarat-syarat pekerjaan melalui rundingan kolektif.
Pindaan
Sebagaimana yang telah dimaklumkan, RUU ini merangkumi pindaan kepada peruntukan sedia ada, memasukkan peruntukan baharu dan memansuhkan peruntukan sedia ada Akta 262.
Pertama, pindaan kepada peruntukan sedia ada. Antara peruntukan-peruntukan sedia ada Akta 262 yang dipinda melibatkan fasal-fasal yang berikut:
Fasal 1 – Tajuk Ringkas dan Permulaan Kuat Kuasa. Fasal 1 memperuntukkan tajuk ringkas RUU ini dan permulaan tarikh kuat kuasa. Menteri Sumber Manusia diberi kuasa untuk menetapkan tarikh yang berbeza bagi permulaan kuat kuasa peruntukan yang berbeza bagi akta yang dicadangkan. Hal ini bertujuan untuk memberi flexibility kepada kerajaan untuk menguat kuasa cadangan pindaan mengikut keperluan.
Fasal 2 – Takrif “Kesatuan Sekerja”. Fasal 2 RUU meminda seksyen 2 yang berkaitan dengan takrif “kesatuan sekerja” atau “kesatuan” untuk membenarkan kesatuan sekerja ditubuhkan tanpa sekatan mengikut tred, pekerjaan atau industri. Berbangkit daripada ini, pindaan dibuat kepada peruntukan lain Akta 262 iaitu dalam fasal 5, fasal 15 dan 16 dan perenggan 30(a). Pindaan ini akan membolehkan kesatuan sekerja ditubuhkan secara bebas. Dalam hal ini subseksyen 2(2) mengikut kuasa Ketua Pengarah dalam menentukan soal keserupaan dari segi tred, pekerjaan atau industri juga digugurkan.
Fasal 3 – Daftar Kesatuan Sekerja. Fasal 3 RUU bertujuan untuk meminda seksyen 7 dan memasukkan peruntukan baharu subseksyen (1A) untuk memberi kuasa kepada Ketua Pengarah untuk mengehendaki maklumat atau dokumen berkenaan dengan kesatuan sekerja berdaftar dengan pegawai kesatuan sekerja berdaftar itu bagi maksud menyelenggara daftar kesatuan sekerja.
Fasal 4 – Had Masa Bagi Pendaftaran Kesatuan Sekerja. Fasal 4 RUU bertujuan untuk meminda seksyen 8 untuk melanjutkan tempoh masa permohonan pendaftaran sesuatu kesatuan sekerja dari satu bulan kepada enam bulan. Selain itu, pindaan turut dibuat bagi memperuntukkan lanjutan tempoh masa tambahan kepada 12 bulan secara agregat. Ini bertujuan memberi masa yang mencukupi kepada kesatuan mengemukakan permohonan pendaftaran.
Fasal 5 – Tarikh Penubuhan Kesatuan Sekerja. Fasal 5 RUU adalah untuk meminda subseksyen 9(1) berbangkit daripada pindaan kepada takrif “kesatuan sekerja” atau “kesatuan” yang membenarkan kesatuan sekerja ditubuhkan tanpa mengikut dengan izin, establishment atau prinsipal keserupaan sesuatu tred pekerjaan atau industri.
Fasal 6 – Pendaftaran Kesatuan Sekerja. Fasal 6 RUU bertujuan untuk memotong subseksyen 12(2) berbangkit daripada pindaan yang dicadangkan kepada takrif “kesatuan sekerja” atau “kesatuan” dan selaras dengan objektif utama pindaan akta yang dicadangkan untuk membenarkan kepelbagaian pembentukan kesatuan sekerja. Pindaan ini juga memotong perenggan 12(3)(a),(b) dan (c) dan meminda sub perenggan 12(3)(e)(ii) berkenaan dengan kuasa Ketua Pengarah untuk menolak pendaftaran suatu kesatuan sekerja.
Dengan pindaan yang dicadangkan kuasa Ketua Pengarah untuk menolak untuk mendaftarkan suatu kesatuan sekerja hanya terhad kepada alasan yang diperuntukkan di bawah perenggan 12(3)(d) dan (e). Selain itu, pindaan ini juga bertujuan untuk memasukkan subseksyen baharu 12(4) yang mengehendaki Ketua Pengarah untuk memaklumkan kesatuan sekerja secara bertulis tentang penolakan pendaftarannya serta alasan ke atas penolakan tersebut.
Fasal 7 – Pembatalan Kesatuan Sekerja. Fasal 7 RUU bertujuan untuk meminda subseksyen 15(1) bagi mengehadkan kuasa budi bicara Ketua Pengarah dalam hal pembatalan pendaftaran sesuatu kesatuan sekerja. Pindaan ini juga memasukkan perenggan baharu 15(1)(d) untuk memperuntukkan bahawa perakuan pendaftaran kesatuan sekerja boleh dibatalkan atau ditarik balik jika kesatuan sekerja telah disabitkan dengan apa-apa kesalahan sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual baharu Keempat.
Pindaan kepada subseksyen 15(1) ini akan menyebabkan pembatalan kesatuan sekerja hanya boleh dibuat sekiranya kesatuan sekerja tersebut terlibat dalam perlanggaran peruntukan undang-undang yang telah dinyatakan secara spesifik dalam Akta 262 termasuklah melibatkan perlanggaran undang-undang
serius yang mengancam keselamatan negara seperti yang dinyatakan dalam Jadual baharu Keempat. Ini adalah bertujuan untuk melindungi hak pekerja dan
berkesatuan.
Pindaan fasal 7 ini juga memasukkan subseksyen (1A) ke dalam seksyen 15 bagi memperuntukkan kuasa kepada Menteri Sumber Manusia untuk menambah, memotong daripada ataupun meminda Jadual baharu Keempat melalui perintah.
Fasal ini juga bertujuan untuk memotong subseksyen 15(2) untuk membenarkan kepelbagaian kesatuan sekerja dalam apa-apa dengan izin, establishment, tred, industri atau pekerjaan bagi memberi kebebasan kepada pekerja-pekerja untuk menganggotai mana-mana kesatuan sekerja pilihannya.
Fasal 9, 20, 21, 22, 23, 24 dan 25 – Meniadakan Hukuman Pemenjaraan dan Menaikkan Kadar Denda. Fasal 9, 20, 21, 22, 23, 24 dan 25 RUU bertujuan untuk meminda subseksyen 18(8), 49(3), 54(3), 56(5), 57(4), 61 dan 62(2) Akta 262 masing-masing dengan meniadakan dengan izin, remove hukuman pemenjaraan
dan menaikkan kadar denda sedia ada.
Selain itu fasal 10 dan fasal 13 juga memperuntukkan berkenaan dengan meniadakan hukuman pemenjaraan dan menaikkan kadar denda sedia ada di samping pindaan-pindaan yang lain. Pemansuhan hukuman pemenjaraan dicadangkan dengan mengambil kira prinsip-prinsip dalam, dengan izin, Freedom of Association and Protection of The Right of Organize Convention 1948 (No. 87) susulan itu kadar denda sedia ada dinaikkan kerana tidak lagi setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Fasal 10 – Mogok dan Sekat Masuk Kerja. Fasal 10 bertujuan untuk meminda subseksyen 25A(1) bagi melonggarkan syarat untuk melaksanakan mogok dan sekat masuk kerja. Dengan pindaan ini, kesatuan hanya perlu mendapatkan sekurangkurangnya 60 peratus undi daripada anggotanya yang berhak membuang undi yang mana lebih daripada setengah jumlah undi tersebut bersetuju dengan cadangan untuk melaksanakan mogok atau sekat masuk kerja itu.
Fasal ini juga bertujuan untuk meminda perenggan 25A(1)(b) dengan menggantikan perkataan “tujuh hari” dengan perkataan “tujuh hari bekerja”. Ia bertujuan memberikan masa yang mencukupi kepada Ketua Pengarah untuk menjalankan siasatan dan bagi pegawai kesatuan untuk menyediakan dokumen berkaitan. Takrif istilah dengan izin, “working days” diperuntukkan dalam subseksyen baharu 25A(8).
Fasal 11 – Keanggotaan Kesatuan Sekerja. Fasal 11 bertujuan untuk menggantikan nota bahu seksyen 26 untuk menjelaskan bahawa seksyen 26 mengadakan peruntukan bagi keanggotaan kesatuan sekerja secara am dan bukan sahaja berhubung dengan orang yang belum dewasa. Ia juga bertujuan untuk
meminda subseksyen 26(1) untuk membenarkan seseorang yang mencapai umur 15 tahun menjadi anggota kesatuan sekerja berdaftar selaras dengan umur minimum pekerjaan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 (Akta 350).
Fasal ini juga bertujuan untuk meminda subseksyen 26(1A) berbangkit daripada pindaan kepada takrif “kesatuan sekerja” atau “kesatuan” di fasal 2. Secara amnya, fasal ini bertujuan untuk menjelaskan bahawa tiada orang boleh menyertai, menjadi anggota, diterima atau dikekalkan sebagai anggota Kesatuan Sekerja jika dia bukan seorang pekerja atau majikan. Subseksyen 26(1B) edia ada digantikan dengan subseksyen 26(1B) yang baharu bagi memperuntukkan bahawa walau apa pun yang dinyatakan dalam subseksyen 26(1A) Akta 262 “Tiada mana-mana pekerja atau majikan boleh diterima atau dikekalkan sebagai anggota Kesatuan Sekerja kecuali mengikut Peraturan-peraturan Kesatuan Sekerja.”
Pekerja yang telah dipecat, ditamatkan perkhidmatan, dibuang kerja atau bersara boleh dikekalkan keanggotaannya tertakluk kepada peraturan-peraturan
Kesatuan Sekerja itu. Selanjutnya, subseksyen baharu 26(1C) dimasukkan ke dalam seksyen 26 bertujuan untuk menetapkan bahawa keanggotaan sesuatu Kesatuan Sekerja tidak boleh dihadkan kepada ras, agama atau kerakyatan tertentu.
Fasal ini juga bertujuan memasukkan subseksyen baharu 26(2A) bagi menjelaskan bahawa anggota Kesatuan Sekerja dalam kalangan pekerja yang telah dipecat atau ditamatkan perkhidmatan atau dibuang kerja atau bersara tidak berhak untuk mengundi dalam perkara mogok dan semua perkara yang erhubungan dengannya. Dengan pindaan ini, hanya anggota yang masih merupakan seorang pekerja mempunyai hak untuk mengundi dalam perkara mogok dan semua perkara yang berhubungan dengannya bagi memelihara keharmonian perusahaan.
Fasal 12, Pegawai Kesatuan Sekerja. Fasal 12 bertujuan untuk menggantikan perenggan 28(1)(c1) bagi membenarkan seseorang pekerja parti politik menjadi pegawai Kesatuan Sekerja berdaftar. Fasal ini juga bertujuan untuk meminda Perenggan 28(1)(d) untuk mengadakan alasan bagi kehilangan kelayakan seseorang untuk menjadi Pegawai Kesatuan Sekerja berdaftar apabila dia disabitkan dengan mana-mana kesalahan yang pada pendapat Ketua Pengarah menjadikan dia tidak layak untuk menjadi Pegawai Kesatuan Sekerja berdaftar.
Dengan pindaan yang dicadangkan, seseorang yang hanya akan hilang kelayakan jika dia disabitkan dengan mana-mana kesalahan pecah amanah, jenayah pemerasan atau ugutan atau kesalahan di bawah seksyen 49, seksyen 50 dan seksyen 50A.
Fasal 13, Pekerja-pekerja satu Kesatuan Sekerja. Fasal 13 bertujuan untuk meminda subseksyen 29(1) bagi membenarkan mana-mana orang diambil bekerja sebagai pekerja suatu Kesatuan Sekerja berdaftar atau Persekutuan Kesatuan Sekerja berdaftar.
Fasal 14, Pertukaran nama Kesatuan Sekerja. Fasal 14 bertujuan untuk meminda seksyen 31 untuk menjelaskan bahawa pertukaran nama Kesatuan Sekerja boleh dibuat dengan persetujuan lebih daripada separuh anggota atau wakil-wakilnya. Persetujuan ini diperolehi melalui undi pada Mesyuarat Agong Kesatuan Sekerja atau persidangan perwakilan melalui pungutan suara atau undi sulit.
Fasal 15 dan 16, Penyatuan Kesatuan Sekerja dan Pemindahan Perjanjianperjanjian. Fasal 15 dan 16 bertujuan untuk meminda seksyen 32 dan seksyen 33 masing-masing berbangkit daripada pindaan yang dicadangkan kepada takrif “kesatuan sekerja” atau “kesatuan” dan membenarkan dua atau lebih kesatuan sekerja menyatu tanpa tertakluk kepada prinsip keserupaan trade pekerjaan atau industri.
Fasal 17, Notis pertukaran nama atau penyatuan. Fasal 17 bertujuan untuk meminda subseksyen 34(2) untuk memperuntukkan bahawa Ketua Pengarah hanya boleh menolak untuk mendaftarkan pertukaran nama sesuatu Kesatuan Sekerja jika pada pendapat Ketua Pengarah nama yang dicadangkan itu akan menggalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara ras atau agama atau kerakyatan yang berlainan.
Fasal 18, Peraturan-peraturan Kesatuan Sekerja. Fasal 18 bertujuan untuk meminda proviso kepada subseksyen 38(3) untuk menjelaskan cara bagaimana peraturan-peraturan Kesatuan Sekerja yang menyebabkan peningkatan tanggungan caruman anggota selain pengenaan levi dan pengurangan kelayakan anggota terhadap faedah boleh dibuat iaitu dengan cara undi dikembalikan oleh anggota yang berhak mengundi.
Fasal 19, Undi sulit. Fasal 19 bertujuan untuk meminda subseksyen 40(6) bagi memperuntukkan bahawa kuasa Ketua Pengarah untuk mengarahkan Kesatuan Sekerja supaya tidak memulakan mogok atau sekat masuk yang dicadangkan oleh Kesatuan Sekerja hendaklah hanya dijalankan jika Ketua Pengarah berpuas hati bahawa mogok atau sekat masuk yang dicadangkan melanggar seksyen 40 atau seksyen 25(A), Akta 262 atau mana-mana peruntukan Bahagian IX Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177].
Fasal 28, Kuasa untuk memanggil saksi. Fasal 28 bertujuan untuk meminda Subseksyen 71(4) untuk mengadakan peruntukan berkenaan penangkapan dan penahanan mana-mana orang yang enggan mematuhi Perintah Ketua Pengarah di bawah seksyen 71. Pindaan ini juga bertujuan untuk menaikkan denda daripada RM500 kepada RM5,000 bagi kesalahan di bawah subseksyen ini.
Fasal 29, Rayuan kepada Menteri Sumber Manusia. Fasal 29 bertujuan untuk meminda seksyen 71A untuk memperuntukkan mengenai pergantungan pelaksanaan keputusan Ketua Pengarah secara automatik, dengan izin, automatic stay of execution dalam perkara berhubung pembatalan atau penarikan balik perakuan pendaftaran Kesatuan Sekerja apabila rayuan dibuat kepada Menteri Sumber Manusia.
Fasal 31, Pembentukan Persekutuan Kesatuan Sekerja. Fasal 31 bertujuan untuk meminda seksyen 72 untuk mengadakan peruntukan bagi penyertaan perwakilan untuk memutuskan tentang pembentukan suatu persekutuan kesatuan sekerja.
Fasal 32, Gabungan dengan Persekutuan Kesatuan Sekerja. Fasal 32 bertujuan untuk menggantikan seksyen 74 dengan seksyen baharu berkenaan dengan penggabungan Kesatuan Sekerja Berdaftar dengan memudahkan prosedur penggabungan Kesatuan Sekerja itu dengan Persekutuan Kesatuan Sekerja Berdaftar.
Fasal 33, Larangan Terhadap Pembentukan atau Gabungan dengan Badan Perunding atau Badan seumpamanya. Fasal 33 bertujuan untuk meminda perenggan 76A(2)(a) untuk mengadakan peruntukan mengenai penyertaan perwakilan dalam memutuskan perkara mengenai pembentukan atau penggabungan sesuatu kesatuan sekerja dengan, atau keanggotaan kesatuan sekerja dalam mana-mana badan perundingan atau badan yang serupa dengannya.
Fasal 34, Kuasa Untuk Menarik Balik Kebenaran atau Mengisytiharkan Gabungan Tidak Sah. Fasal 34 bertujuan untuk meminda seksyen 76C untuk memperuntukkan bahawa Ketua Pengarah hendaklah hanya menggunakan kuasanya untuk menarik balik kebenaran gabungan kesatuan sekerja atau untuk
mengisytiharkan gabungan tidak sah dalam kes yang Kesatuan Sekerja atau badan perundingan atau seumpamanya telah disabitkan dengan apa-apa kesalahan yang dinyatakan dalam Jadual baharu Keempat.
Peruntukan baharu
Peruntukan-peruntukan baharu yang dicadangkan untuk dimasukkan ke dalam Akta 262 boleh dilihat dalam fasal-fasal yang berikut.
Fasal 26 – Kuasa Untuk Menjalankan Siasatan dan Menguatkuasakan Akta. Fasal 26 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 63A, 63B, 63C, 63D dan 63E.
Seksyen 63A dan 63B memperuntukkan kuasa kepada Ketua Pengarah untuk menjalankan siasatan dan menguatkuasakan akta serta melantik pegawai penguat kuasa dalam kalangan pegawai yang dilantik di bawah seksyen 4.
Seksyen baharu 63C yang dicadangkan mengadakan peruntukan bagi kuasa Ketua Pengarah untuk menghendaki kehadiran saksi untuk pemeriksaan yang pada pendapat Ketua Pengarah akan membantu dalam penyiasatan apa-apa kesalahan di bawah Akta 262 atau mana-mana peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta 262.
Seksyen baharu 63D yang dicadangkan mengadakan peruntukan bagi kuasa Ketua Pengarah semasa penyiasatan atau pemeriksaan di bawah Bahagian X, Akta 262 untuk menghendaki mana-mana orang mengemukakan kepadanya artikel atau dokumen untuk pemeriksaan atau bagi maksud lain yang perlu bagi penyiasatan atau pemeriksaan.
Seksyen baru 63E yang dicadangkan mengadakan peruntukan bagi kuasa ketua pengarah untuk menyita apa-apa artikel atau dokumen dalam menjalankan penyiasatan di bawah Bahagian X, Akta 262.
Fasal 27, Kesalahan oleh kesatuan sekerja dan pegawai kesatuan. Fasal 27 bertujuan untuk memansuhkan seksyen baharu 65A mengenai liabiliti pegawai kesatuan atau mana-mana orang yang bertindak atas arahan pegawai kesatuan tersebut apabila sesuatu kesalahan dilakukan oleh kesatuan sekerja di bawah Akta 262 atau peraturan-peraturan di bawah Akta 262.
Fasal 30, Kebolehterimaan rekod elektronik. Fasal 30 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 71B yang memperuntukkan mengenai kebolehterimaan rekod elektronik dalam prosiding di bawah Akta 262.
Fasal 35, Senarai Jadual Keempat. Fasal 35 bertujuan untuk memasukkan jadual baru keempat ke dalam Akta 262.
Fasal 36, Kekecualian. Fasal 36 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi peruntukan kekecualian dan seterusnya ialah peruntukan yang dimansuhkan. Terdapat satu peruntukan yang dicadangkan untuk dimansuhkan iaitu fasal 8, Penggantungan suatu cawangan kesatuan sekerja. Fasal 8 bertujuan untuk
memotong seksyen 17 untuk meniadakan kuasa ketua pengarah untuk menggantung sesuatu cawangan kesatuan sekerja kerana perkara itu sepatutnya diuruskan oleh kesatuan sekerja itu sendiri memandangkan kuasa untuk menubuh dan membubarkan suatu cawangan kesatuan sekerja terletak kepada ibu pejabat kesatuan mengikut peraturan-peraturan kesatuan sekerja itu sendiri.
Kementerian Sumber Manusia turut mencadangkan pindaan-pindaan lain dalam RUU ini yang tidak diperkatakan secara khusus kerana ia merupakan pindaan berbentuk editorial.
RUU ini digubal selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan merupakan satu langkah pembaharuan undang-undang yang sangat signifikan dalam pembaharuan landskap kesatuan sekerja di Malaysia.
Pindaan ini secara keseluruhannya menunjukkan usaha dan komitmen kerajaan dalam memastikan Undang-undang Buruh negara ditambah baik dengan mengambil kira prinsip-prinsip standard perburuhan antarabangsa dan instrumen sejagat.
Inisiatif ini seterusnya meningkatkan imej dan memudah cara penyertaan Malaysia dalam apa jua perdagangan antarabangsa. Kerajaan berharap rang undang-undang ini akan meningkatkan pelindungan dan kebajikan serta produktiviti golongan pekerja dan majikan melalui mekanisme tawar menawar, dengan izin,bargaining power antara kedua-dua pihak selain memantapkan sistem pengurusan perburuhan negara.
Nota: Sebahagian daripada ucapan pembentangan RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023 oleh Menteri Sumber Manusia di Dewan Rakyat pada 10 Oktober 2023