Oleh Datuk Mohamed Shafie BP Mammal
PANDANGAN: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) merayu kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar membantu menyelesaikan isu kadar pencen sangat rendah yang diterima oleh pesara-pesara GLC yang telah diswastakan pada tahun 1980-an.
UNI-MLC telah mengetengahkan isu ini kepada Kerajaan sejak dua dekad yang lalu, tetapi sehingga kini tidak ada penyelesaian positif bagi menanganinya.
Setakat ini, UNI-MLC telah membawa perkara ini untuk perhatian lima orang Perdana Menteri tetapi masih belum ada jalan penyelesaian. Walaupun memorandum demi memorandum telah dihantar kepada Kerajaan, namun tiada respons daripada Kerajaan mahupun Kementerian Kewangan.
UNI-MLC memohon dan berharap Kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan kami untuk mencari jalan penyelesaian. Tiada perbincangan langsung meskipun sudah banyak kali perkara ini telah dibawa kepada pihak Kerajaan, dan justeru itu, menjadi harapan agar Perdana Menteri yang memimpin Kerajaan Perpaduan akan membantu dalam menyelesaikan perkara ini dengan segera. Kami tidak tahu sehingga bila kami perlu menanti untuk melihat jalan sinaran dalam isu kadar pencen rendah ini.
UNI-MLC agak kecewa kerana perkara ini tidak menemui jalan penyelesaian meskipun pelbagai usaha telah dilakukan termasuk membawa ke perhatian ramai Perdana Menteri dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Dalam usaha terkini, UNI-MLC telah menulis surat untuk perhatian Anwar beberapa bulan yang lalu.
Mengharap PMX
Sehubungan dengan itu, UNI-MLC meletakkan harapan agar Perdana Menteri ke-10 akan mengambil satu pendekatan positif dan konkrit bagi menyelesaikan isu kadar pencen rendah yang kini diterima oleh pesara-pesara agensi kerajaan yang diswastakan.
Jika Kerajaan sendiri tidak dapat menerima masalah yang dihadapi oleh para pesara, kepada siapa lagi yang kami boleh merayu akan perkara seperti ini?
UNI-MLC berpandangan pesara-pesara GLC seolah-olah sedang dianaktirikan dan tidak diberikan perhatian yang sewajarnya dalam menjaga kebajikan sedangkan mereka juga telah banyak menyumbang kepada negara selaku modal insan yang penting dan bernilai dalam proses pembinaan dan pembangunan negara.
Untuk rekod, UNI-MLC sendiri telah menghantar sebanyak 10 memorandum dalam tempoh 20 tahun lalu, dengan harapan tuntutan ini akan dipenuhi dan diambil kira termasuk ketika pembentangan belanjawan. Malangnya tiada penyelesaian yang diharapkan.
Pesara-pesara yang menerima pencen rendah dengan kadar kenaikan dua peratus setiap tahun kini hidup jauh di bawah paras kemiskinan. Bayaran pencen rendah yang diterima adalah satu daripada masalah sosial dan ekonomi. Rata-rata pesara perkhidmatan GLC menerima pencen serendah RM180 sebulan.
UNI-MLC, khususnya telah banyak kali mengemukakan permintaan dan rayuan agar Kerajaan mengkaji semula kadar bayaran pencen yang diterima oleh pesara-pesara GLC yang terbabit. UNI-MLC telah meminta Kerajaan memikirkan cara terbaik bagi membantu mereka yang merupakan bekas kakitangan Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Keretapi Tanah Melayu, Pos Malaysia Berhad, North Port, PLUS, Malaysia Airport dan beberapa agensi lain yang diswastakan pada awal 1980-an dan 1990-an.
UNI-MLC meletakkan harapan agar Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar pada hari ini akan mengambil peduli tuntutan ini. Kami berharap golongan pesara terbabit akan diberi perhatian demi menjaga kebajikan mereka.
Harap suara pesara didengar
UNI-MLC mahu dan berharap suara pesara-pesara GLC didengar oleh Kerajaan dan diberikan satu penyelesaian demi menaikkan taraf hidup mereka.
Keadaan amatlah merunsingkan dan menjadi lebih parah dan teruk dengan kenaikan dan peningkatan kos sara hidup sejak kebelakangan ini. Pesara-pesara terbabit kini tergolong dalam kategori B40. Kami merayu Kerajaan semasa pimpinan Anwar akan melihat dan meneliti perkara ini, sekaligus membawa penyelesaian positif selaras dengan dasar Malaysia Madani.
Datuk Mohamed Shafie BP Mammal ialah Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)