MELAKA: Villa Sentosa yang mega di tengah-tengah bandar raya Melaka bersejarah dan terus menerima arus kehadiran pengunjung – termasuk pelancong dari luar negara untuk melihat khazanah budaya orang Melayu, menyambut ulang tahun ke-100 kewujudannya Selasa lepas – tanggal 3 Oktober.
Sambutan besar-besaran meraikan detik bersejarah akan diadakan pada Disember ini.
Villa Sentosa yang turut dikenali sebagai The Malay Living Museum merupakan bukti ‘segar’ akan bentuk dan ciri serta keuntukan rumah warisan orang Melayu.
Sejak 1960 lagi, Datuk Hashim Abdul Ghani, pewaris, telah menggalakkan para pengunjung, baik dalam dan luar negara, untuk melawat ke Villa Sentosa.
Villa Sentosa juga pernah dan sering dikunjungi oleh para pembesar. Ini termasuklah Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Malaysia. Antara yang pernah melawat lokasi yang kaya dengan tradisi dan budaya ialah Yang di-Pertuan Agong Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.
Rumah ini juga menyediakan buku lawatan yang membolehkan para pengunjung menurunkan tandatangan dan memberi komen mengenai kunjugan ke Villa Sentosa. Tradisi dokumen yang mencerminkan perjalanan ini telah bermula sejak tahun 1960 iaitu hanya sebuah buku sahaja disediakan. Apabila menjelang tahun 1992, Villa Sentosa ini telah dikenali ramai secara tidak langsung buku pelawat diganti setiap tahun disebabkan jumlah kehadiran selain memudahkan tarikh dan tempoh catatan kenangan mereka yang hadir.
Ramai pelancong yang melawat Kampung Morten menganggap kampung tradisional Melayu ini sebagai muzium hidup.
Ini tidak menghairankan kerana ramai penduduk kampung itu masih mengamalkan cara hidup lama, di samping mempamerkan keunikan reka bentuk rumah mereka.
Rumah Villa Sentosa dinamakan setahun selepas Kampung Mortem diwujudkan.
“Rumah ini namanya Villa Sentosa. Setahun selepas Kampung Morten dinamakan, barulah siap pembinaan.
“Jadi pada tahun 2023, insya-Allah jika tidak ada apa-apa halangan, rumah ini akan genap 100 tahun… usianya sejak dibina pada tahun 1923,” kata Ibrahim Hashim, yang kini menjaga dan menguruskan Villa Sentosa, ketika ditemui Workers Times baru-baru ini.
Nama Villa Sentosa
Mengapa rumah ini dinamakan Villa Sentosa?
Ibrahim, mantan kakitangan perkhidmatan veterinar ini, “Villa Sentosa rumah yang terbesar didapati di Kampung Morten…Sentosa bermaksud ‘peace, prosperty and harmony‘.
Tambah beliau, pada awal-awal, kampung ini datang nama Kampung Jawa dan oleh kerana sebahagian kawasan Kampung Jawa diambil alih oleh kerajaan, mereka diberikan kebenaran untuk tinggal di kawasan di sepanjang Sungai Melaka, di pusat bandar, yang kini dikenali sebagai Kampung Morten.
“Pesuruhjaya Tanah dan Hasil, Frederick Joseph Morten, dia sediakan pinjaman 10,000 dolar untuk membangunkan sebuah kawasan paya, yang kini dikenali sebagai Perkampungan Morten.
“Melalui Morten, Datuk Othman mendapat pinjaman 10,000 dolar pada tahun 1920.
“Dengan pinjaman ini, kampung ini dapat diterokai atau dibuka dengan 100 lot tapak rumah telah diagihkan kepada mereka yang berpindah dari Kampung Jawa,” kata beliau yang kini turut bertindak sebagai jurucakap kepada para pengunjung dan pelancong yang datang setiap hari.
“Pelbagai nama disyorkan untuk menamakan kampung ini. Akhirnya atas pandangan Datuk Othman, walapun Datuk Othman penjamin, pada tahun 1922, dinamakan sebagai Kampung Mortem diwujudkan oleh Datuk Othman,” kata beliau.
Mengulas lanjut, Ibrahim yang kini berusia 84 tahun berkata, ayah beliau suka mempelawa orang ramai termasuk pelancong datang dan menikmati apa-apa yang ada.
“Jadi oleh sebab beliau sudah tiada lagi, kita… anak-anak telah dibertanggungjawabkan untuk meneruskan kesukaan dan kegemaraan beliau untuk mempelawa (pengunjung dan pelancongan).”
Ibrahim menambah: “Saya adalah pesara. Jadi ada banyak masa yang dapat diluangkan untuk beri tumpuan ke atas aspek keselamatan dan pembangunan rumah dalam cara yang lama.”
“Jadi perkara ini menjadi dorongan kepada saya sendiri, anak-anak saudara dan jugak ahli-ahli keluarga.
“Jadi beri galakkan (supaya) rumah ini perlu dipertahankan daripada segi warisan,” kata beliau dan menambah, “sekiranya saya tak ada lagi, anak-anak buah, saudara akan ambil alih tugas yang saya jalankan sekarang ini. Perkara ini telah diputuskan.”
Beliau berhasrat agar Villa Sentosa kekal sebagai “rumah abu” – rumah warisan keluarga.
“… dikekalkan sebagai rumah warisan… rumah ahli-ahli keluarga boleh keluar masuk bila-bila masa… sebab ia milik setiap orang, kepunyaan semua.”
Ibrahim merupakan anak bongsu daripada 12 orang adik-beradik, tiga perempuan dan sembilan lelaki.
“Saya sudah jaga (rumah ini) lebih 35 tahun, jaga sebagai ‘living museum‘ (muzium hidup) bagi menceritakan warisan budaya kita.”
Cabaran
Disebabkan oleh modernasi, beliau melahirkan keprihatinan rumah-rumah tradisional tidak lagi menjadi “sebagai keutamaan”.
Selain itu disebabkan oleh pembangunan di kawasan sekitar ini rumah-rumah tradisional ada kemungkinan terjejas kedudukannya sebagai lokasi pelancongan.
“Itulah satu cabaran. Selain daripada itu, disebabkan oleh moderanisasi, masalah sosial juga sering berlaku,” kata Ibrahim yang tinggal daripada 12 orang adik-beradik. Abangnya Rahim yang turut mengambil tanggungjawab menjaga rumah warisan ini telah meninggal dunia.
Beliau mengharapkan bantuan agar Villa Sentosa terus dipelihara kedudukannya demi manfaat generasi akan datang.
“Itu juga harapan saya. Rumah ini perlu dijaga dengan baik, dan juga bahan-bahan di dalam rumah memerlukan sumber untuk dijaga dengan baik untuk rujukan masa depan… ini semua sejarah,” kata beliau.
Kampung Morten yang diambil sempena nama seorang Pesuruhjaya Tanah Inggeris, Frederick Joseph Morten, mempunyai 85 buah rumah termasuk 52 rumah tradisional Melaka.
Mengikut lipatan sejarah, Morten dipercayai memainkan peranan penting bagi membina kampung itu pada tahun 1920-an, sementara pengasasnya dikenali sebagai Allahyarham Othman Mohd Noh.
Kampung itu yang terletak di kawasan paya yang diliputi hutan pokok nipah di pinggir Sungai Melaka merupakan satu-satunya kampung Melayu di bandar Melaka yang masih memiliki identiti tersendiri.
Rumah tradisional Melaka dibina dengan reka bentuk warisan masyarakat Melayu bercirikan bumbung atap yang panjang dan tangga batu bersalut jubin.
Kampung Morten mendapat perhatian penuh kerajaan Melaka dan diwartakan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya pada tahun 1988 sebagai kawasan perkampungan tradisional Melayu dan pusat tarikan pelancong. Para pengunjung yang menaiki Melaka River Cruise berpeluang melihat Villa Sentosa dan rumah tradisional Melayu di sekitarnya.
Villa Sentosa memiliki reka bentuk rumah yang unik dan menghimpunkan pelbagai bahan sejarah seperti pakaian tradisional Melayu, alat muzik tradisional serta perabot antik. Di ruang utama Villa Sentosa terdapat carta salasilah keluarga sembilan generasi itu.
Selain itu, 14 tingkap di dalam villa berkenaan membolehkan udara segar sentiasa masuk sehingga kipas angin atau pendingin hawa tidak diperlukan.