PANDANGAN: Bagi menjawab artikel bertajuk ‘SKMM Harus Berhenti Daripada Bertindak Sebagai Big Brother’ oleh wartawan-wartawan kanan yang telah disiarkan oleh beberapa media, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menekankan bahawa MCMC memainkan peranan yang amat penting sebagai badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.
MCMC berpandukan peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) yang membolehkan MCMC menjalankan fungsi-fungsinya.
Salah satu tanggungjawab perundangan utama MCMC adalah memastikan platform dalam talian tidak diguna pakai untuk sebarang pelakuan atau percubaan melakukan pelanggaran di bawah undangundang bertulis Malaysia, ini termasuklah tindakan menyebarkan berita palsu, kandungan yang jelik dan berunsur fitnah.
Sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan yang membimbangkan dalam penerbitan berita yang kurang bertanggungjawab, kurang peka dan kurang tepat. Terdapat organisasi media yang telah menerbitkan kandungan yang tidak tepat dan mengelirukan.
Beberapa organisasi media didapati tidak bertanggungjawab menyebarkan berita yang mengelirukan atau dengan sengaja menyiarkan kandungan kurang tepat.
Apabila tumpuan diberi kepada kandungan media yang dijana sendiri pengguna menarik perhatian, etika kewartawanan kini seolah-olah dipandang enteng dan adalah amat mencabar untuk membezakan kandungan yang berlandaskan fakta atau sebaliknya. Senario ini memberi ancaman kepada keharmonian masyarakat memandangkan maklumat yang mengelirukan disebar dengan mudah dan menimbulkan naratif yang kurang tepat.
MCMC telah mengambil inisiatif untuk mengadakan beberapa sesi dialog dan mesyuarat bersama organisasi media bagi membincangkan isu berbangkit.
Bagi memerangi isu ini, MCMC kekal berpendirian teguh dalam melaksanakan tugas dan fungsi penguatkuasaannya bagi menjaga integriti maklumat dan keharmonian masyarakat.