Mahkamah benar tangguh laksana perintah TDC, pemilihan tidak sah dan terbatal dengan 3 syarat

Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memperoleh penangguhan sementara perintah yang mengisytiharkan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) dan pemilihan pemegang jawatan utama badan itu tahun lepas sebagai terbatal dan tidak sah.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memperoleh penangguhan sementara perintah yang mengisytiharkan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) dan pemilihan pemegang jawatan utama badan itu tahun lepas sebagai terbatal dan tidak sah.

Kebenaran itu diberikan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Chong Yeow Choy, semalam.

Bagaimanapun beliau meletakkan beberapa syarat sementara menunggu permohonan penangguhan yang akan didengar pada 27 September ini.

Dalam surat edaran yang dikeluarkan oleh pihak peguam yang mewakili plaintif, tiha syarat dikenakan. iaitu pemegang jawatan semasa dibenarkan menjalankan urusan pentadbiran harian kesatuan, tiada keputusan dasar kesatuan diambil buat sementara waktu, dan tiada pemilihan baharu diadakan untuk sementara waktu.

Pemimpin salah satu kesatuan yang memfailkan kes tahun lalu, A Sivananthan ketika dihubungi mengesahkan penangguhan keputusan mahkamah.

“Mahkamah membenarkan pengguhan, tetapi dikenakan beberapa syarat. Permohonan penangguhan akan didengar pada 27 September ini,” kata beliau.

Firma Tetuan Francis Pereira & Shan, yang mewakili kesatuan itu, memohon penangguhan sementara, berkata terdapat keadaan istimewa kerana MTUC sebaliknya akan dibiarkan tanpa sebarang kepimpinan berdasarkan perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 11 Ogos.

Peguam Ravi Nekoo yang mewakili 11 plaintif bagaimanapun membantah permintaan itu.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa pemegang jawatan yang dipilih pada TDC yang dibatalkan telah mengingkari perintah mahkamah yang mengisytiharkan pemilihan mereka terbatal dan tidak sah dengan terus mengeluarkan surat rasmi pada 21 Ogos dan 22 Ogos.

“Mereka tidak mengendahkan keputusan mahkamah dan terus beroperasi seperti biasa. Ini boleh menyebabkan MTUC dibatalkan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan,” kata Ravi dalam surat edaran kepada pihak yang memfailkan kes itu.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa surat-surat yang diadukan adalah semata-mata bermaklumat dan tidak melibatkan sebarang perkara dasar.

Pada 6 Ogos 2022, media melaporkan bahawa sekumpulan kesatuan gabungan utama MTUC memfailkan dua saman terhadap pemegang jawatan utama yang baru dipilih kerana mendakwa mereka melanggar perlembagaan pertubuhan itu dengan mengadakan TDC dan pemilihan.

Enam belas kesatuan itu memohon pengisytiharan bahawa pemilihan pada 2 dan 3 Julai 2022 tidak sah.

Mereka juga memohon perintah supaya 19 pemegang jawatan baharu bagi penggal 2023-2025 tidak membincang atau mengubah perkara dasar, sementara menunggu pelupusan permohonan itu.

Gabungan itu diketuai bekas presidennya, Datuk Halim Mansor dan bekas Setiausaha Agungnya, J Solomon.

Antara kesatuan terlibat adalah Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank, Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu, Persatuan Pegawai Kelas 1 Maybank, Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perusahaan Alat Pengangkutan dan Sekutu, Kesatuan Kebangsaan Pekerja Telekomunikasi Semenanjung Malaysia, Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perusahaan Petroleum dan Kimia Semenanjung Malaysia serta Kesatuan Kebangsaan Pekerja Industri Minuman Semenanjung Malaysia.

Dalam saman, kumpulan itu mendakwa kepimpinan MTUC gagal mematuhi kehendak perlembagaan kongres dalam mengadakan TDC dan pencalonan untuk pemilihan. Mereka berkata, MTUC juga gagal menyediakan laporan setiausaha dan penyata kewangan sejak tiga tahun lepas.

Sehubungan itu, mereka memohon pengisytiharan bahawa pemilihan itu terbatal dan tidak sah serta mahu pemilihan baharu diadakan