PORT DICKSON: Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, perlindungan sosial merupakan satu elemen yang penting yang perlu diberikan keutamaan bagi mengurangkan pelbagai risiko ekonomi terhadap masyarakat.
Menurut beliau, keadaan itu telah menyebabkan kerajaan di seluruh dunia perlu mengambil tindakan untuk memperkukuhkan dasar perlindungan sosial bagi membolehkan bantuan dan sokongan disalurkan kepada golongan yang teruk terjejas.
“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kos sara hidup yang semakin menekan, kadar penggangguran belia yang tinggi dan risiko hilang pendapatan atau pekerjaan yang semakin meningkat menyebabkan peranan perlindungan sosial kepada masyarakat menjadi sangat penting.
“Langkah perlu diambil untuk memperkukuh sistem perlindungan sosial di negara ini supaya ia mampu bertahan pada masa hadapan dan berupaya membantu individu untuk mendapat perlindungan yang lebih baik bagi menjamin kesejahteraan hidup mereka,” kata beliau.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam sempena Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan (TDC) NUBE kali ke-25 di Pusat Latihan NUBE di sini hari ini.
TDC kali ini bertemakan “Utamakan Perlindungan Sosial Untuk pekerja-pekerja Di Dalam Sektor Kewangan”.
Menurut Sivakumar lagi, peranan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebagai salah satu agensi yang memainkan penting dalam memberikan perlindungan sosial kepada pekerja.
“Bagi pekerja yang bermajikan, caruman yang wajib dibuat adalah bagi Skim Bencana Pekerjaan, Skim Keilatan dan Sistem Insurans Pekerjaan.
“Namun begitu, isu perlindungan sosial kini tidak tertumpu kepada pekerja sahaja malah liputannya telah diperluaskan.
“Perkeso telah meluaskan liputan perlindungan sosial merangkumi mereka yang bekerja sendiri dan termasuklah suri rumah,” kata beliau.
Tambah beliau, di samping itu, Perkeso juga telah memperkenalkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), yang diwujudkan untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri di bawah peruntukkan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.
Selain itu, kata beliau, Perkeso turut memperkenalkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang berkuat kuasa pada 1 Disember lalu, bertujuan untuk menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga.
Beliau juga mengingatkan kepada semua ahli kesatuan sekerja tentang peranan dan tanggunghawab untuk memperjuangkan isu ini bagi memastikan hak dan kebajikan pekerja senantiasa terbela.
“Sebagai wakil kepada pekerja, kesatuan lebih memahami isu dan permasalahan yang dihadapi oleh pekerja.
“Oleh itu, sewajarnya isu sebegini diketengahkan oleh kesatuan bagi membolehkan solusi yang terbaik dikenal pasti dan dilaksanakan,” kata beliau.
Tambah beliau, kesatuan sekerja pada hari ini sewajarnya bukan sahaja bertindak sebagai pembela nasib pekerja, malah perlu berperanan sebagai rakan strategik kepada majikan dan kerajaan bagi membolehkan isu-isu perburuhan negara dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik.
“Sebagai kementerian yang mendokong prinsip tripartisme, kementerian senantiasa mengalu-alukan cadangan dan pandangan daripada kesatuan bagi menambaik sistem perburuhan negara,” kata beliau.