Mahkamah putuskan TDC MTUC, pemilihan 2022 tidak sah

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memutuskan pemilihan pucuk kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Julai tahun lalu sebagai tidak sah.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memutuskan pemilihan pucuk kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Julai tahun lalu sebagai tidak sah.

Selain itu, mahkamah juga memutuskan bahawa Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan (TDC) kali ke-42 yang berlangsung pada 2 dan 3 Julai 2022 tidak mematuhi peruntukan-peruntukan Perlembagaan MTUC, dan “oleh itu adalah tidak sah.”

“Kesemua keputusan yang dibuat dalam TDC adalah tidak sah,” kata Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam, Dr Choong Yeow Choy dalam penghakiman yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam penghakimannya, Yeow Choy berkata, terdapat dua kes berkaitan yang didengar bersama. Yang pertama ialah No Saman Pemula BA-24NCvC-1263-08/2022 (Saman 1263) manakala yang kedua ialah No Saman Pemula BA-24NCvC-1423-08/2022 (Saman 1423).

Kata beliau, isu utama untuk dipertimbangkan dalam pertikaian ini boleh disaring kepada perkara berikut, iaitu:

  • Sama ada perkara yang diadukan terletak secara eksklusif di bawah kuasa dan bidang kuasa Pendaftar Pertubuhan untuk penentuan;
  • Jika jawapan kepada di atas adalah negatif, adakah perkara yang diadukan telah melanggar peruntukan Perlembagaan MTUC; dan
  • Jika jawapan kepada di atas adalah afirmatif, apakah perintah yang sesuai yang patut dibuat oleh mahkamah.

“Beberapa rungutan lain juga telah dibangkitkan oleh plaintif. Mahkamah ini menganggap beberapa aduan ini tidak lebih daripada pertengkaran kecil yang tidak ada kaitan dengan keputusan saman ini.

“Bagaimanapun, mengabaikan peruntukan Perlembagaan MTUC berkaitan perkara itu secara langsung menjejaskan integriti proses pemilihan pemegang jawatan utama di TDC memberi kesan kepada hak ahli untuk mengambil bahagian dalam proses pemilihan dengan cara yang bermakna.

“Mahkamah ini berpandangan bahawa peruntukan perlembagaan ini mesti dipelihara, supaya nama baik dan peranan yang dimainkan oleh badan penting seperti MTUC dalam landskap pergerakan buruh tercemar dan terjejas,” kata beliau.

Pada 6 Ogos 2022, media melaporkan bahawa sekumpulan kesatuan gabungan utama MTUC memfailkan dua saman terhadap pemegang jawatan utama yang baru dipilih kerana mendakwa mereka melanggar perlembagaan pertubuhan itu dengan mengadakan TDC dan pemilihan.

Enam belas kesatuan itu memohon pengisytiharan bahawa pemilihan pada 2 dan 3 Julai 2022 tidak sah.

Mereka juga memohon perintah supaya 19 pemegang jawatan baharu bagi penggal 2023-2025 tidak membincang atau mengubah perkara dasar, sementara menunggu pelupusan permohonan itu.

Gabungan itu diketuai bekas presidennya, Datuk Halim Mansor dan bekas Setiausaha Agungnya, J Solomon.

Antara kesatuan terlibat adalah Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank, Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu, Persatuan Pegawai Kelas 1 Maybank, Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perusahaan Alat Pengangkutan dan Sekutu, Kesatuan Kebangsaan Pekerja Telekomunikasi Semenanjung Malaysia, Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perusahaan Petroleum dan Kimia Semenanjung Malaysia serta Kesatuan Kebangsaan Pekerja Industri Minuman Semenanjung Malaysia.

Dalam saman, kumpulan itu mendakwa kepimpinan MTUC gagal mematuhi kehendak perlembagaan kongres dalam mengadakan TDC dan pencalonan untuk pemilihan. Mereka berkata, MTUC juga gagal menyediakan laporan setiausaha dan penyata kewangan sejak tiga tahun lepas.

Sehubungan itu, mereka memohon pengisytiharan bahawa pemilihan itu terbatal dan tidak sah serta mahu pemilihan baharu diadakan.

“Pimpinan MTUC gagal memanggil persidangan perwakilan sekurang-kurangnya tujuh minggu sebelum tarikh tersebut dan pencalonan sepatutnya ditutup pada 12 Mei seperti dikehendaki, tetapi ia dibuat tiga hari lebih awal. Ia juga gagal menyerahkan laporan setiausaha dan penyata kewangan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum TDC,” kata kumpulan itu dalam pernyataan tuntutan.

Di bawah perlembagaan, katanya, TDC sepatutnya diadakan bila-bila masa antara Oktober dan Disember tahun ketiga penggal, tetapi pemimpin terbabit sebaliknya mengadakan TDC pada Julai.

Dalam pada itu, seorang wakil salah satu kesatuan terbabit, A Sivananthan memaklumkan bahawa keputusan mahkanah diperoleh hari ini dan “ia merupakan satu kejayaan” bagi kesatuan-kesatuan yang membuat tuntutan.

A. Sivananthan

“Ia satu kejayaan kepada usaha kami. Kita hendak menjaga integriti MTUC sebagai sebuah badan yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan pekerja,” kata beliau yang juga ahli Majlis Am MTUC.

Kata beliau, keputusan mahkamah adalah selari dengan apa yang dituntut oleh kesatuan-kesatuan terbabit.

Mengenai tindakan susulan, kata beliau pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat.