KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menegaskan cadangan kenaikan gaji tahunan mandatori oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sangat mengejutkan.
Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, MEF terkejut apabila Menteri Ekonomi bercakap dan bertindak mengikut gaji, yang sepatutnya berada di bawah bidang kuasa Menteri Sumber Manusia.
“Menteri Ekonomi sepatutnya berkongsi rancangan untuk meningkatkan ekonomi dengan perniagaan dan rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Rafizi berkata, kerajaan merancang untuk mendedahkan model gaji progresif yang mungkin memerlukan kenaikan gaji tahunan wajib, menyifatkannya sebagai salah satu pembaharuan paling ‘tidak popular’ yang akan dilaksanakannya sebagai pembuat dasar.
Kata Rafizi,Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia sedang merangka beberapa dasar pilihan bagi membincangkan strategi terbaik untuk meningkatkan gaji rakyat.
Kata beliau, perkara itu akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam tempoh terdekat.
Selain itu, kata Rafizi, pihaknya juga akan mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh utama iaitu kerajaan, majikan, dan pekerja untuk mendapatkan pandangan semua pihak.
“Menteri Ekonomi menyebut bahawa pasukannya sedang mengkaji cadangan kepada Kabinet.
“MEF tertanya-tanya apakah rancangan ini apabila industri tidak terlibat dalam perbincangan terperinci mengenai rancangan ini,” kata Presiden MEF.
“Kita mempunyai Menteri Sumber Manusia yang berkebolehan yang memahami keperluan industri dan telah melakukan banyak perkara untuk melibatkan perniagaan, kesatuan sekerja dan pekerja untuk menghasilkan dasar mengenai apa yang terbaik untuk pasaran buruh,” kata Syed Hussain.
Beliau berkata, Rafizi harus mengambil kira bahawa dalam mana-mana ekonomi, kuasa pasaran menentukan harga buruh yang sesuai kerana industri di seluruh dunia sentiasa bergantung kepada data sedemikian untuk menentukan pampasan dan faedah.
“Malaysia adalah ekonomi terbuka dan bukan milik negara yang merupakan faktor penting untuk difahami oleh Menteri Ekonomi dan beliau tidak sepatutnya mewajibkan kenaikan gaji di bawah Model Gaji Progresif (PWM),” katanya.
Beliau menambah bahawa MEF berpandangan bahawa sebelum membuat PWM, kerajaan perlu meletakkan asas yang betul dan mencukupi untuk ia dilaksanakan.
Syed Hussain berkata, untuk PWM dapat dilaksanakan dengan jayanya adalah penting untuk mendapat persetujuan daripada semua pihak berkepentingan dan ia perlu berdasarkan parameter serta terma dan syarat yang jelas untuk pelaksanaannya.
“Pembayaran gaji yang lebih tinggi di bawah PMW dikaitkan dengan prestasi dan produktiviti dan peningkatan kos yang dikaitkan dengan pembayaran gaji yang lebih tinggi datang daripada peningkatan hasil dan keuntungan daripada peningkatan produktiviti dan prestasi,” tambah beliau.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata, walaupun isu dan dasar berkenaan gaji berada di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia, Rafizi berhak untuk menyatakan pandangan beliau, berkenaan apa yang baik untuk negara.
Katanya, kerajaan sememangnya sedang meneliti kewajaran untuk melaksanakan model gaji progresif, di mana kementeriannya bakal membentangkan isu itu kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), pada bulan depan.
Ogos.
“Memang isu gaji merupakan di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia, pada masa yang sama, Rafizi sebagai Menteri Ekonomi juga berhak menyatakan apa yang baik untuk negara kita.
“Tambahan pula, kami bersama-sama ahli MTEN. Kami berdua akan berbincang apa mekanisme yang terbaik untuk negara kita,” katanya di Pulau Pinang.
Sivakumar berkata pihak kerajaan sedang mengkaji model gaji yang lain, selain dasar gaji minumum yang dilaksanakan sekarang.
“Selepas pembentangan tersebut, mungkin kita akan buat keputusan yang selanjutnya. Kami sedang melihatnya, tetapi belum membuat keputusan. Gaji progresif satu model yang bagus, namun kita perlu melihatnya secara holistik,” katanya.