PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bahawa pelatih-pelatih di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pejabat-pejabat kerajaan akan menerima elaun sekurang-kurangnya RM800 sebulan.
Kata Anwar, Kementerian Kewangan telah mengarahkan semua GLC yang mengambil pelajar untuk latihan praktikal atau latihan amali untuk membayar mereka sekurang-kurangnya RM800 sebulan.
“Walaupun pelatih berada di sana untuk menjalani latihan dan mendapat pendedahan, ada yang kurang bernasib baik dan perlu menyara diri dan keluarga,” kata beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada program Perundingan Bajet 2024 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah memperkenalkan elaun susulan cadangan pelajar Tingkatan Enam semasa sesi dialog.
“Pelajar juga boleh memberikan cadangan yang baik kepada kami. Walaupun kami mendengar nasihat pakar, input daripada pelajar juga berharga,” katanya.
Tambah beliau, kira-kira 35,000 pekerjaan akan disediakan oleh GLC, termasuk untuk graduan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional.
Anwar juga mengumumkan tambahan RM600 dalam bantuan Sumbangan Asas Rahmah untuk kira-kira 200,000 penerima miskin tegar untuk membantu mereka membeli keperluan makanan.
Katanya, peruntukan itu akan dibayar mulai Isnin ini.
Pada Februari lalu, Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, cadangan untuk mewajibkan pembayaran elaun kepada pelajar yang menjalani latihan industri di sektor swasta akan membuatkan majikan dalam sektor ini merasa keberatan untuk menawarkan latihan kepada mereka.
Menurut beliau, daripada mewajibkan majikan membayar elaun latihan amali, kerajaan sebaliknya harus memberi pertimbangan untuk memberi lebih banyak insentif kepada majikan bagi mengambil lebih ramai pelatih, dan kemudiannya boleh mewajibkan semua pelajar menjalani latihan amali (internship) berkenaan.
Beliau berkata latihan amali ialah peluang untuk pelajar atau graduan baharu memperoleh pengalaman industri berharga yang akan membantu dalam memudahkan mereka mendapat pekerjaan.
“MEF berpandangan bahawa majikan harus membayar elaun latihan mengikut budi bicara mereka. Majikan yang mengambil pelatih dinasihatkan untuk membayar sedikit elaun kepada pelatih berkenaan, dan bayaran itu perlu mengambil kira peningkatan kos sara hidup yang dihadapi mereka.
“Kenyataan secara umum bahawa pihak industri tidak memberi elaun kepada pelatih, adalah tidak adil kepada majikan,” katanya.
Ketika ini syarikat-syarikat swasta yang mengambil pelatih untuk menjalani latihan industri membayar elaun mengikut budi bicara mereka, dengan purata elaun di bandar-bandar besar untuk pelatih adalah kira-kira RM1,200, tetapi ada juga pelatih yang diberi elaun kurang daripada RM1,000 sebulan.
Pada masa yang sama, ada juga beberapa syarikat besar membayar lebih tinggi daripada RM1,200 sebulan.
Syed Hussain berkata sebenarnya majikan perlu melaksanakan begitu banyak perancangan bagi memastikan pengetahuan dan kemahiran dapat dipindahkan kepada pelatih.
“Apa yang industri lakukan untuk pelatih seharusnya dihargai, dan pihak berkepentingan perlu berterima kasih kepada usaha yang dilakukan oleh industri ini,” katanya.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum ini dilaporkan berkata cadangan untuk mewajibkan pembayaran elaun kepada pelajar yang menjalani latihan industri di sektor swasta seperti yang dilakukan di sektor awam, akan dibawa ke Kabinet untuk diberi pertimbangan.
Beliau berkata Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia perlu membincangkan kebaikan dan keburukan melaksanakan cadangan itu.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan melahirkan harapan agar semua GLC melaksanakan dasar ini berkuat kuasa serta-merta.
“Ini paksa rela, bila kerajaan dah umumkan, GLC di bawah kerajaan, dianggap satu perkara yang patut dilaksanakan GLC.
Untuk lain, syarikat swatsta tunggu pengumuman budget nanti,” kata beliau.
Ditanya jika ini akan memberi kesan kepada GLC dengan pengumuman mengejut itu, Ahmad berkata ia tidak akan memberi banyak kesan kerana tidak ramai pelatih yang diambil bekerja oleh mereka.