Pencen: Jawatankuasa khas adakan mesyuarat pertama, berhasrat temu KPPA

Presiden Pejasma, Datuk Azih Muda, yang juga bekas Presiden CUEPACS mempengerusikan Jawatankuasa khas pasukan bertindak kajian pencen sektor awam di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa khas pasukan bertindak kajian pencen sektor awam mengadakan mesyuarat pertama hari ini susulan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan pindaan Akta Pencen yang membawa kepada pemberian pelarasan dua peratus kepada para pesara setiap tahun sebagai bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Mesyuatat itu dihadiri oleh pemimpin Persatuan Bekas Penjawat Awam dan Swasta Malaysia (Pejasma) dan persatuan-persatuan pesara kerajaan.

Ia dipengerusikan oleh Presiden Pejasma, Datuk Azih Muda yang juga bekas Presiden CUEPACS.

Setiausaha jawatankuasa itu, Datuk Jaapar Mansor berkata, pihaknya membincangkan beberapa tindakan termasuk memohon untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

“Ada beberapa perkara telah disentuh, antaranya kami mahu mengadakan pertemuan dengan KPPA untuk membincangkan dengan lanjut tindakan (yang akan disyorkan),” kata beliau kepada Workers Times hari ini.

Kata beliau, sebagaimana telah dimaklumkan sebelum ini, perbincangan hari ini mahu kerajaan mengekalkan kenaikan pencen dua peratus sehingga semakin gaji dilakukan.

Jaapar berkata, pihaknya akan menulis surat kepada KPPA mengenai hasrat mereka.

Pejasma pada 4 Julai lalu telah menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengatakan keyakinan bahawa beliau akan mengatasi masalah isu pencen berikutan keputusan mahkamah.

Katanya, jawatankuasa khas pasukan bertindak akan menghantar perakuan kepada perdana menteri untuk dipertimbangkan “tanpa menyentuh keputusan mahkamah”.