KUALA LUMPUR: Cadangan pengeluaran mandatori bulanan hanya akan membabitkan ahli yang lahir pada atau selepas 2010, kata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini.
KWSP menjelaskan, tiada pindaan dirancang untuk pengeluaran penuh umur 55 dan 60 untuk ahli-ahli sedia ada.
Menurut KWSP, perkhidmatan pengeluaran bulanan KWSP yang sedia ada hanya terpakai kepada ahli yang menyertainya secara sukarela.
“Cadangan pengeluaran mandatori bulanan akan hanya membabitkan ahli-ahli baharu, buat sementara ini bagi mereka yang lahir pada atau selepas 2010, serta berdaftar dengan KWSP selepas tarikh pelaksanaan kaedah baharu ini,” kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.
Ia menambah, bayaran pertama di bawah kaedah mandatori ini akan dibuat selepas persaraan ahli-ahli ini, yang dijangkakan hanya akan berlaku beberapa dekad dari sekarang.
KWSP juga berkata, cadangan pengeluaran bulanan mandatori itu masih sedang diteliti.
Namun, ia memberi jaminan bahawa sebarang keputusan berhubung pengeluaran simpanan akan dibuat dengan pertimbangan yang teliti dan selari dengan komitmen KWSP demi kepentingan masa depan ahli.
Jelas KWSP, mekanisme pengeluaran mandatori bulanan akan menyelaraskan Malaysia dengan amalan di kebanyakan negara lain, kerana negara kita adalah antara minoriti kecil yang masih membenarkan pengeluaran sekali gus dan bukan berkala.
Minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, KWSP tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan untuk menjadikan pilihan pengeluaran secara berkala atau bulanan apabila mencecah usia persaraan 55 tahun yang ketika ini adalah secara sukarela kepada mandatori bagi ahli baharu pada masa depan.
Beliau berkata, pengeluaran secara berkala itu dilihat mampu memberi peluang kepada ahlinya menguruskan wang persaraan dengan lebih baik.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis berkata kerajaan terbuka kepada cadangan tersebut.
Perdana Menteri menambah cadangan tersebut ketika ini berada di peringkat akhir.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu perlu diteliti dengan mengambil kira beberapa kekangan termasuk jumlah simpanan semasa pencarum KWSP.