KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menggubal undang-undang untuk menamatkan amalan perniagaan ‘Ali Baba’.
Menurut beliau, amalan itu memberi kesan negatif kepada ekonomi, menyebabkan kira-kira satu peratus kerugian kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
“Secara prinsip bahawa budaya Ali Baba memberi dampak negatif kepada ekonomi dan Kerajaan serius untuk menangani dan membasmi aktiviti ini,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Kata beliua, anggaran kerugian mencecah sekitar satu peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan melibatkan aspek perolehan, perlesenan, pemberian permit dan kuota, serta pemberian subsidi dan geran.
“Oleh yang demikian, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara, dengan penglibatan Kementerian dan Agensi Kerajaan akan mengkaji dan merangka dasar dan strategi perundangan yang bersesuaian untuk membanteras aktiviti rent-seeking dan membentangkan cadangan kepada Jemaah Menteri,” kata beliau.
Kata beliau, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semalam telah membincangkan dua perkara utama yakni merangka perundangan berhubung budaya Ali Baba (rent-seeking) , dan inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR).