Kerajaan perlu proaktif bela pekerja

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) berpandangan kerajaan perlu lebih proaktif mempertahankan nasib pekerja Malaysia. Sumber The Edge Markets

KESATUAN Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) melahirkan penghargaan atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan mengambil tindakan ke atas surat NUBE, yang dihantar pada Disember 2020 lalu berkaitan isu-isu yang menimpa pekerja-pekerja bank Kumpulan B40.

Bagaimanapun, Kementerian Sumber Manusia nampaknya mengambil sikap bertentangan, termasuk tidak memandang kisah meskipun PM Muhyiddin, menerusi surat balas, telah meminta perhatian dan tindakan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Saravanan Murugan ke atas perkara-perkara yang dibangkitkan oleh NUBE.

NUBE juga ada membangkitkan perkara yang sama dalam surat yang dihantar kepada YB Saravanan pada November 2020.

Segala kebimbangan yang telah dibangkitkan oleh NUBE selama ini termasuk dalam surat-surat yang dihantar kepada YAB PM Muhyiddin dan YB Saravanan berlaku hari ini.

Kes yang paling jelas adalah pelaksanaan VSS dan MSS oleh HSBC Bank Malaysia Berhad (HSBC) yang dipercayai merupakan kali ketiga dalam enam tahun.

Skim itu telah diumumkan kepada pekerja-pekerja Bank tersebut pada 3 Jun, 2021 lalu, iaitu ketika rakyat dan negara berhadapan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

NUBE dari awal lagi sudah mengesan taktik-taktik yang digunakan oleh HSBC Bank Malaysia untuk membuang dan menghentikan pekerja, terutama mereka dari Kumpulan B40 dan M40 atas alasan penyusunan semula operasi dan memperkenalkan sumber keluar perkhidmatan-perkhidmatan tertentu.

Kali ini, tujuh buah cawangan konvensional di Semenanjung Malaysia akan ditutup.

Meskipun NUBE telah menulis surat dan membawa perkara yang sama kepada perhatian Kementerian Sumber Manusia dan jabatan-jabatan di bawahnya beberapa kali sejak tahun lalu, tetapi tidak ada tindakan penyelesaian daripada Kementerian itu bagi mengelakkan tindakan menganiayai pekerja terutama dengan pelaksanaan VSS dan MSS, serta pelaksanaan strategi sumber keluar perkhidmatan tertentu, yang menghilangkan peluang pekerjaan kepada pekerja-pekerja tetap rakyat tempatan. Fungsi pekerja-pekerja tetap pula diberikan kepada pekerja-pekerja informal dan luar negara.

Pihak berkuasa seperti Kementerian Sumber Manusia seharusnya bertindak menjaga kepentingan dan kebajikan pekerja, bukannya memberi kelulusan ke atas permintaan dan permohonan daripada pihak syarikat, pelabur dan kapitalis secara sembarangan atas kos kehidupan rakyat.


VSS dan MSS HSBC Bank Malaysia pada kali ini, yang diumumkan kepada pekerja-pekerja Bank pada 3 Jun 2021 lalu, turut telah mendapat kebenaran Jabatan Tenaga Buruh, Kementerian Sumber Manusia.

Sebagai agensi yang bertanggungjawab dan prihatin ke atas kebajikan pekerja, Jabatan Tenaga Buruh dan Kementerian Sumber Manusia sewajarnya patut maklum kepada NUBE dan minta pandangan NUBE, bukan membuat keputusan bagi pihak NUBE dan memberi kelulusan untuk pemberhentian pekerja.

Adakah ini cara untuk menjaga kepentingan pekerja dan mewujudkan situasi harmoni dalam perhubungan perusahaan?

Untuk rekod, NUBE telah membantah tindakan seperti ini dalam dua pelaksanaan oleh pihak HSBC sebelum ini. Langkah yang sama diambil pada kali ini, dan pengumuman dibuat ketika seluruh negara berada dalam ‘lockdown’ total sejak 1 Jun 2021.

Pada hari ketiga ‘lockdown’ total, pengurusan HSBC telah mengadakan taklimat pelaksanaan VSS dan MSS meskipun NUBE, dalam tiga perbincangan yang diadakan pada 25 Mei, 28 Mei dan 2 Jun 2021 lalu, telah meminta HSBC supaya menangguhkan pengumuman pelaksanaan VSS dan MSS sementara perbincangan lanjut diadakan antara kesatuan dan pengurusan HSBC.

Bagaimanapun pengurusan HSBC terus bersikap degil untuk meneruskan pengumuman mereka.

Kementerian Sumber Manusia boleh membantu menyelamatkan setiap pekerja dalam keadaan seperti yang diperlakukan oleh HSBC Bank Malaysia.
Kementerian Sumber Manusia sepatutnya bertindak tegas agar tidak ada majikan yang sanggup melakukan perkara yang sama ke atas para pekerja di negara ini.

Kementerian Sumber Manusia tidak wajar memberi kelulusan kepada HSBC Bank Malaysia untuk menghentikan pekerja, sebaliknya harus mengarahkan mereka menyediakan latihan semula dan peningkatan kemahiran ketika pihak Bank terus membuat keuntungan.

NUBE berharap pihak Kerajaan akan terus memperlihatkan pendirian proaktif dalam menjaga kepentingan dan kebajikan pekerja di negara.
Kami juga mengalu-alukan kedatangan pelabur dan pelaburan, tetapi kita tidak wajar menggadai nasib pekerja tempatan ketika pihak korporat membuat keuntungan besar.

Ketegasan Kerajaan adalah amat penting ketika kita sama-sama berhadapan dengan impak pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP 3.0.

Sekali lagi kami memohon jasa baik YAB PM Muhyiddin dalam perkara ini supaya semua Kementerian dalam Kabinet Malaysia tidak mengabai dan menggadaikan tanggungjawab mereka ke atas kepentingan rakyat, terutama golongan pekerja dalam kes yang NUBE lalui sekarang, dan membenarkan majikan yang mengutamakan kepentingan sendiri.

HSBC Bank Malaysia Berhad dalam satu kenyataan, baru-baru ini turut menjelaskan skim pemberhentian yang ditawarkan kepada pekerja adalah bersifat sukarela dan hanya terpakai kepada mereka yang memilih untuk menerimanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, jurucakap HSBC, berkata skim pemisahan sukarela berkenaan ditawarkan kepada segmen tertentu pekerja selaras transformasi teknologi dilaksanakan oleh bank berkenaan.

J. Solomon merupakan Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE)

Nota: Rencana ini pertama kali diterbitkan pada Jun 2021.