KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan menyambut baik keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), semalam.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan, MoF juga yakin ekonomi Malaysia akan terus berkembang pada tahun 2023, disokong dengan tahap pengangguran yang semakin menurun serta peningkatan aktiviti ekonomi, khususnya pelancongan.
Menurut MoF, keputusan mengekalkan OPR adalah selaras dengan perkembangan ekonomi global serta kadar inflasi di Malaysia yang menunjukkan trend penurunan dan kekal stabil.
“Tinjauan ekonomi global dipengaruhi risiko pertumbuhan global menjadi lebih perlahan berikutan dasar monetari kebanyakan bank pusat yang kekal ketat dan pemulihan ekonomi China yang lebih perlahan daripada yang dijangkakan,” kata MoF dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, pelaksanaan projek kerajaan akan terus disegerakan untuk memacu kegiatan ekonomi, dengan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.
Ia turut memetik saranan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar pihak bank menyediakan penjadualan semula pinjaman mereka yang menghadapi masalah kewangan.
“Pihak bank hendaklah sentiasa peka akan kesusahan yang dihadapi peminjam individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan segera menyediakan kemudahan penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman mereka yang menghadapi masalah kewangan”.
Peminjam dalam pada itu juga boleh mendapatkan khidmat nasihat secara percuma dan bantuan bayaran balik pinjaman melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Semalam, Jawatankuasa Dasar Monetari BNM memutuskan untuk mengekalkan OPR pada tiga peratus.
BNM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.
“MPC terus menilai bahawa risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan adalah terhad.
“MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa dan akan terus memantau data baharu bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” kata bank pusat itu dalam kenyataan tersebut.
Pada 3 Mei lalu, MPC BNM mengumumkan OPR dinaikkan sebanyak 25 mata kepada tiga peratus, kenaikan pertama bagi 2023 selepas penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu dikekalkan pada Januari dan Mac lalu pada paras 2.75 peratus.
Mengulas lanjut, BNM berkata pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat, dengan prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan.
Ini terutamanya disebabkan momentum ekonomi utama yang lebih perlahan, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing serta keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara mendadak.
“Susulan pertumbuhan yang kukuh pada suku pertama tahun 2023, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada bulan-bulan kebelakangan ini.
“Keadaan ini berikutan eksport yang terjejas disebabkan oleh permintaan luaran yang lebih perlahan, seperti yang dijangka.
“Pertumbuhan bagi bulan-bulan seterusnya pada tahun 2023 akan terus didorong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.
“Perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, terutamanya dalam sektor berorientasikan dalam negeri,” tambah BNM.
Dalam pada itu, bank pusat itu berkata ekonomi global terus berkembang, didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh.
Walau bagaimanapun, ujarnya pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi teras yang berlarutan dan kadar faedah yang lebih tinggi.
“Meskipun pembukaan semula China terus menyokong ekonomi global, kadar pemulihannya menjadi perlahan pada bulan-bulan kebelakangan ini.
“Pada peringkat global, inflasi keseluruhan terus menurun, namun inflasi teras masih melebihi purata yang dicatatkan sebelum ini,” jelas BNM.
Selain itu, BNM berkata ketibaan pelancong bertambah dengan stabil dan dijangka terus meningkat lantas menggiatkan aktiviti berkaitan pelancongan.