CEO: Simpanan bimbangkan, KWSP fokus lanjutan perlindungan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kini memfokus kepada pendekatan “lanjutan perlindungan KWSP dan meningkatkan kecukupan simpanan persaraan ahli.

KUALA LUMPUR: Susulan bimbang dengan kadar simpanan dalam kalangan pencarum, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini memfokus kepada pendekatan “lanjutan perlindungan KWSP dan meningkatkan kecukupan simpanan persaraan ahli”

“KWSP kini tertumpu kepada lanjutan perlindungan KWSP dan meningkatkan kecukupan simpanan persaraan ahli,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan hari ini.

Menurut beliau, hanya 30 peratus ahli KWSP yang aktif setakat Mei lalu mempunyai simpanan persaraan menepati penanda aras simpanan asas mengikut umur.

Beliau berkata, penanda aras yang digunakan pengurus dana persaraan itu bagi menentukan simpanan asas dicapai mengikut umur ialah RM240,000, yang menjadi paras sasaran apabila mencapai umur 55 tahun.

Tambah beliau, jumlah paras simpanan asas itu diterjemahkan kepada RM1,000 sebulan dalam tempoh 20 tahun persaraan.

“Setakat Mei 2023, hanya 30 peratus daripada ahli rasmi kami yang aktif memenuhi simpanan asas mengikut umur, manakala hanya 18 peratus daripada jumlah ahli kami memenuhi ambang yang sama.

Amir Hamzah mengatakan demikian pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2023 di sini, hari ini.

Menurut beliau, ketidakcukupan simpanan persaraan didorong oleh pelbagai faktor termasuk struktur gaji yang rendah, ketidakselarasan antara umur pengeluaran penuh dan umur persaraan, caruman yang tidak konsisten dan kurang pekerjaan, serta kadar celik kewangan yang rendah.

Beliau berkata, bagi menghadapi cabaran secara berterusan, KWSP sedang melaksanakan langkah yang besar dengan fokus jelas untuk menjamin kesejahteraan persaraan masa depan rakyat Malaysia.

Katanya, memandangkan ahli KWSP kini mencecah 15.8 juta ahli, pengurus dana persaraan itu berusaha untuk melaksanakan strategi jangka panjang untuk mewujudkan impak positif dan memupuk kesejahteraan, terutamanya dalam kalangan warga emas.

“KWSP kini tertumpu kepada lanjutan perlindungan KWSP dan meningkatkan kecukupan simpanan persaraan ahli.

“KWSP sudah mengerahkan unit mudah alih untuk mendekati tujuh juta orang dalam sektor tidak formal dan mereka yang bekerja sendiri yang berpotensi menjadi ahli,” katanya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, pergerakan turun naik yang tidak menentu dalam tukaran asing pada masa ini dilihat tidak memberi kesan ketara kepada pelaburan KWSP memandangkan kira-kira 64 peratus pelaburannya adalah di pasaran domestik, iaitu dalam ringgit.

Sehubungan itu, beliau berkata, pengurus dana persaraan pekerja swasta itu akan kekal dengan strategi pelaburan berpandukan Penempatan Aset Strategik (SAA) yang ditetapkannya bagi menjamin pulangan mampan pada masa depan meskipun berdepan persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.

Beliau berkata, KWSP adalah pelabur jangka panjang, justeru penting untuk rancangan pelaburannya berpandu kepada SAA jangka panjang.

Katanya, pendedahan pelaburan antarabangsa KWSP terhadap pergerakan tukaran asing pula bergantung kepada keputusan pengurus dana persaraan untuk merealisasikan pelaburan luar negaranya.

“KWSP adalah pelabur institusi jangka panjang dan kami sentiasa dipandu oleh SAA,” katanya.

Amir Hamzah berkata, walaupun pasaran ekuiti tempatan mencatatkan prestasi kurang memuaskan apabila merosot sehingga tujuh hingga lapan peratus bulan lalu, namun KWSP berpotensi menjana keuntungan dengan melabur dalam saham yang betul.

Beliau berkata, pasaran global pula dilihat pulih sedikit meskipun kadar faedah terus meningkat, yang mana ia dilihat meningkat 13 peratus dan baik untuk pelaburan KWSP.

“Kami jangka keputusan kewangan suku kedua akan lebih baik,” katanya.