DUN Negeri Sembilan bubar esok

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Negeri Sembilan di Istana Hinggap, Seremban, semalam dengan diperhatikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. – Foto ihsan Datuk Seri Aminuddin Harun

SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan dibubar esok bagi memberi laluan kepada penganjuran Pilihan Raya Negeri (PRN).

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir semalam.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PH mengambil alih pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan daripada Barisan Nasional (BN) selepas memenangi 20 daripada 36 kerusi DUN, manakala BN hanya memperoleh 16 kerusi.

Tempoh mandat bagi DUN Negeri Sembilan akan berakhir 30 Jun ini.

Negeri Sembilan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN pada tahun ini selain Selangor, Terengganu, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berkata, hanya tiga peratus janji yang dikemukakan dalam Manifesto PRU14 oleh Kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini tidak dapat dilaksanakan.

Kata beliau, ini kerana ia melibatkan perundangan di peringkat Persekutuan, manakala manifesto yang membabitkan negeri telah dilaksanakan sepenuhnya.

“Tempoh lima tahun memang kita telah gunakan bagi memastikan bahawa pembangunan negeri dilakukan bersungguh bagi memastikan apa yang kita katakan dapat kita kotakan dan 97 peratus manifesto telah laksanakan.

“Hanya tiga peratus melibatkan perundangan di peringkat Persekutuan yang tak dapat kita ubah iaitu Cuti Bersalin yang tak dapat kita laksanakan kerana ia melibatkan JPA dan ini merupakan satu perkara baik, dan hasil negeri terus meningkat,” kata beliau.