Anwar mahu bank terus sedia bantuan bayaran balik pinjaman kepada kumpulan sasaran

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak bank terus menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman kepada individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang memerlukan, termasuk bantuan penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman mereka.

Kata beliau, peminjam yang bermasalah boleh mendapatkan khidmat nasihat secara percuma dan bantuan bayaran balik pinjaman melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

“Saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh institusi perbankan yang bersedia untuk membantu rakyat dan PKS,” kata Anwar dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengingatkan industri perbankan bahawa mereka memainkan peranan yang penting dalam mendorong pertumbuhan ekonomi pascapandemik, terutamanya dalam membantu peminjam yang masih terkesan dan menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan mereka.

Beliau mengadakan sesi dialog bersama-sama wakil sektor perbankan kelmarin sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mendapatkan buah fikir serta pandangan berkaitan ekonomi negara daripada segenap lapisan masyarakat.

Sesi dialog itu dihadiri oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Jessica Chew serta pemimpin bank seperti AMMB Holdings Bhd, Al-Rahji Bank, Bank Islam Malaysia, CIMB Group Holdings Bhd, HSBC Bank, Maybank, Public Bank, RHB Bank dan Standard Chartered Bank.

Menurut Anwar, industri perbankan perlu terus menyokong pembangunan usahawan mikro terutama golongan rentan melalui inisiatif seperti i-Tekad yang menawarkan modal permulaan dan pembiayaan mikro dengan menggunakan sumber gabungan dana daripada institusi kewangan dan dana kewangan sosial seperti zakat.

Wakil industri perbankan yang hadir turut bersetuju bahawa tumpuan kini terarah kepada usaha untuk memacu peralihan ke arah negara karbon sifar bersih serta agenda pendigitalan yang lebih meluas.

Perbincangan berkenaan turut menyentuh bidang-bidang pertumbuhan baharu yang boleh memperkukuh saranan nilai Malaysia dalam kalangan pelabur serantau dan global.

Kata beliau, ketika kerajaan sedang merumus Naratif Ekonomi Madani, termasuk mengenal pasti sektor keutamaan bagi pertumbuhan dan pelaburan masa hadapan negara, industri kewangan dan pasaran modal berinovasi perlu selari dengan perubahan landskap global.

“Saya turut menyeru supaya industri kewangan membawa wadah segar dalam mengekalkan Malaysia sebagai peneraju global bagi kewangan Islam serta membina kekuatan sektor elektrik dan elektronik (E&E),” kata Anwar lagi.