KUALA LUMPUR: Persatuan Bekas Penjawat Awam dan Swasta Malaysia (PEJASMA) dan Persatuan Bekas Kastam Malaysia (PERBEKAS) mahu kerajaan mengadakan pelarasan gaji sektor awam setiap lima tahun susulan keputusan Mahkamah Persekutuan Isnin lalu, yang menolak rayuan mengekalkan bayaran kenaikan pencen pesara dua peratus, yang dilaksanakan sejak tahun 2013.
Presiden Perbekas Malaysia, Datuk Abd Rahman Manan berkata, bayaran kenaikan pencen dua peratus yang telah dibayar bagi tahun 2013 tidak perlu diambil balik oleh kerajaan.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Pejasma berkata, kerajaan perlu mengkaji Akta Pencen 1980 bagi membolehkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuat penambahbaikan yang bersesuaian.
Isnin lalu, Mahkamah Persekutuan telah menolak rayuan JPA untuk mengekalkan bayaran kenaikan pencen pesara kerajaan dua peratus setahun yang dilaksanakan semenjak tahun 2013.
Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak bayaran kenaikan pencen pada kadar tersebut yang dilaksanakan oleh kerajaan pada tahun 2013.
Kata beliau, dengan keputusan itu bermakna pesara kerajaan tidak lagi menikmati kenaikan pencen dua peratus setahun.
“Pesara kerajaan kena menunggu apabila terdapat kenaikan gaji melalui pelarasan gaji perkhidmatan awam yang sepatutnya diadakan setiap lima tahun sekali.
“Tetapi sudah lebih 10 tahun tidak ada pelarasan gaji dibuat oleh kerajaan.
“Jika ini terus berlaku, pesara kerajaan tidak akan menikmati sebarang kenaikan pencen sehingga pelarasan gaji dilaksanakan,” kata beliau kepada Workers Times hari ini.
Abd Rahman yang juga bekas Setiausaha Agung CUEPACS berkata, Pejasma akan mengadakan mesyuarat khas pada 4 Julai ini bagi membincangkan isu tersebut untuk dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam keputusannya Isnin lalu. Mahkamah Persekutuan memutuskan pindaan terhadap Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 kurang memberi manfaat kepada pesara perkhidmatan awam, justeru mengisytiharkannya sebagai terbatal dan tidak sah.
Panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara turut memutuskan bahawa peruntukan berkenaan yang membenarkan kenaikan kadar rata sebanyak dua peratus setiap tahun, bercanggah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan (perlindungan hak pencen) berbanding Akta Pelarasan Pencen 1980 sebelum ini.
Sehubungan itu, panel yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim menolak rayuan kerajaan dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pindaan terbabit sebagai terbatal dan tidak sah.
Turut bersidang, Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Rhodzhariah Bujang.
Mohamad Zabidin yang membacakan penghakiman panel itu berkata, Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang betul dalam mengekalkan status quo Seksyen 3 dan 6 iaitu sebelum pindaan 2013.
Katanya, pindaan yang dibuat pada Seksyen 3 dan 7 akta itu menyebabkan Aminah Ahmad selaku responden yang juga seorang pesara penjawat awam di Kementerian Luar mengalami situasi yang kurang memberi manfaat terhadapnya.
“Kami mendapati tiada sebab untuk menyimpang daripada penghakiman Mahkamah Rayuan, oleh itu kami mendapati tiada merit dalam rayuan kerajaan dan Ketua Pengarah JPA dan dengan ini rayuan ditolak.
“Mahkamah tidak membuat perintah mengenai kos kerana ini adalah litigasi kepentingan awam,” katanya.
Aminah memfailkan saman terhadap kerajaan pada 2017 di atas kapasiti peribadinya dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam, mendakwa pindaan kepada Akta Penyelarasan Pencen menyebabkan keadaan yang agak merugikan kepada beliau berbanding skim pelarasan persaraan sebelum ini mengikut Akta Pelarasan Pencen 1980.
Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred berkenaan, bagaimanapun pindaan 2013 yang diperkenalkan adalah berdasarkan kadar rata dua peratus kenaikan tahunan.
Pada 13 Januari 2022, Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang memihak kepada Aminah dan mengisytiharkan pindaan Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 yang berkuat kuasa mulai Januari 2013 adalah terbatal dan tidak sah kerana melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah Rayuan memutuskan dengan pengisytiharan itu, keadaan semasa sebelum pindaan Seksyen 3 Akta Pelarasan Pencen 1980 akan terus diguna pakai.