KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyerahkan memorandum dan kertas penyelidikan mengenai keperluan skim warga emas yang tidak mempunyai pencen kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Dalam kenyataan dikeluarkan, bertemakan “Dasar Perlindungan Sosial Untuk Warga Emas”, PSM mencadangkan agar golongan yang berumur 65 tahun ke atas, yang tidak menerima pencen, dibayar RM500 sebulan.
Menurut kenyataan itu, PSM juga mencadangkan belanjawan Kementerian Kesihatan dinaikkan daripada 2.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada lima peratus dalam tempoh lima tahun akan datang supaya kemudahan dapat disediakan kepada rakyat Malaysia termasuk warga emas.
Selain itu, kata kenyataan tersebut, PSM mencadangkan agar Pelan Tindakan Kebangsaan Warga Emas turut diperkasakan melalui sesi dialog bersama kumpulan NGO dan orang ramai.
“Nisbah rakyat Malaysia berumur 65 tahun ke atas ialah 2.4 juta atau 7.3 peratus orang sekarang. Nisbah ini dijangka meningkat kepada 11 peratus menjelang 2030 dan 14.5 peratus pada 2040,” katanya.
Ia menambah, ramai rakyat Malaysia berdepan pelbagai isu termasuk daripada segi kewangan, ketiadaan sumber pendapatan atau simpanan mencukupi untuk membiayai kos sara hidup mereka selepas mencapai umur 65 tahun.
“Mereka juga menghadapi cabaran dalam sektor kesihatan di mana mereka terpaksa berhadapan dengan kelewatan mendapatkan rawatan di hospital awam akibat kesesakan dan peningkatan kes, kekurangan doktor pakar dan peralatan perubatan,” tambah kenyataan itu.
Oleh itu, PSM telah menyeru Nancy untuk membentangkan cadangan itu pada mesyuarat Kabinet untuk dimasukkan ke dalam Belanjawan 2024.
Memorandum diserahkan kepada Nancy oleh Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar.
Ia turut diperakui oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan, antaranya Aliran, Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Pengguna ERA, Family Frontiers Malaysia, Gabungan Marhaen, Gabungan Peneroka Bandar, Insiatif Ekuiti Kesihatan, Pemuda Sosialis, Saya Anak Bangsa Malaysia, Seniors Aloud, dan Sisters in Islam.