KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) membidas kenyataan seorang wakil rakyat yang mendakwa jururawat wanita di fasiliti kesihatan kerajaan berpakaian ketat hingga menampakkan bentuk badan.
Presiden MMA, Dr Muruga Rajathurai berkata, pakaian seragam jururawat Kementerian Kesihatan ketika ini adalah praktikal kerana ia tidak menyekat pergerakan semasa menjalankan tugas.
“Adalah menyedihkan apabila di tengah-tengah kebimbangan seluruh negara terhadap masa depan dan kemapanan sistem penjagaan kesihatan kita, seorang ahli parlimen lebih mengambil berat tentang kod pakaian jururawat.
“Semua jururawat di sektor awam mematuhi etika berpakaian penjawat awam.
“Kami percaya pakaian seragam jururawat Kementerian Kesihatan sekarang adalah praktikal kerana ia tidak menyekat pergerakan semasa jururawat menjalankan tugas mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Menurut Dr Muruga, dalam penjagaan kesihatan, semua orang perlu cepat bergerak dan ada kalanya, mesti bersedia untuk memecut demi menyelamatkan nyawa.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor dari Perikatan Nasional yang mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan yang didakwanya terlalu ketat dan tidak mematuhi syariah.
Berucap semasa membahaskan usul Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat, semalam, katanya, ramai jururawat wanita yang berkhidmat di fasiliti kesihatan kerajaan berpakaian ketat mengikut acuan Barat hingga menampakkan bentuk badan.
Dakwaannya itu turut disokong oleh seorang lagi Ahli Parlimen PN, Salamiah Mohd Nor dari Temerloh