KPT perkenal pengajian hibrid, libatkan 95 program universiti awam

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada majlis penutup program Jom Masuk U 2023 dan pelancaran Program Asasi TVET di Universiti Malaya hari ini. – Foto ihsan Khaled Nordin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperkenalkan sistem pembelajaran hibrid dan fleksibel di universiti.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, menerusi sistem pembelajaran hibrid dan fleksibel, pelajar universiti akan menghadiri kuliah universiti hanya pada tahun pertama dan tahun akhir.

“Sementara itu, pelajar akan diberi pilihan dan kelonggaran untuk belajar dari rumah, tanpa perlu hadir secara fizikal di dalam kelas…di mana mereka boleh menghadiri kuliah dalam talian.

“Melalui inisiatif ini, pelajar dapat mengatur aktiviti mereka dengan lebih fleksibel,” kata beliau.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis penutup program Jom Masuk U 2023 dan pelancaran Program Asasi TVET di Universiti Malaya di sini, hari ini.

Menurut beliau, langkah itu mempunyai beberapa kelebihan seperti mengurangkan pinjaman dan kos pendidikan serta membolehkan pelajar bekerja atau melakukan perkara yang memerlukan mereka tidak berada di kampus.

Beliau berkata, sebanyak 95 program ijazah pertama daripada 19 universiti awam sedia menawarkan sistem pembelajaran fleksibel bagi sesi akademik 2023/2024.

Dalam ucapannya, Khaled turut mengumumkan bahawa tempoh pengajian bagi beberapa program akan dipendekkan daripada empat kepada tiga tahun.

“Kementerian sentiasa mengemaskini program dan kursus yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi seluruh negara.

“Kami mahu program dan kursus diatur dengan cara terbaik dan memberi manfaat kepada semua pihak.”

Beliau berkata atas dasar itu, sebanyak 44 program di sembilan institusi pengajian tinggi telah dikenal pasti bagi memendekkan tempoh pengajian.

Tambah Khaled, selain mengurangkan jumlah pinjaman atau kos pengajian, ia juga akan membuka peluang kepada graduan memasuki pasaran kerja setahun lebih awal.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin melancarkan Program Asasi TVET.