KUALA LUMPUR: Bagi menjamin keselamatan sosial kepada golongan pekerja ekonomi gig membabitkan pekerja e-hailing kerajaan mahu menggubal satu undang-undang khusus untuk mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar bagi memperhalusi keperluan para pemegang taruh terutama majikan serta pekerja.
Zahid berkata, perkara itu akan mengambil masa agak panjang kerana ia melibatkan Jabatan Peguam Negara, input daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan yang terlibat dengan industri e-hailing.
Bercakap selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) 2023 Negeri Perak di Hutan Melintang, Bagan Datuk baru-baru ini, beliau berkata, perlindungan juga harus diberikan kepada pekerja e-hailing bukan sahaja dari segi insurans, tetapi melibatkan faedah dan manfaat untuk mereka.
Ogos tahun lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, jaringan keselamatan sosial bagi pekerja sektor p-hailing dan e-hailing akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.
Untuk tujuan itu, beliau berkata, pihaknya akan bertemu dengan wakil kumpulan terbabit bagi mendapatkan input sewajarnya.
“Kementerian Sumber Manusia sedang mengkaji bentuk jaringan keselamatan sosial. Jika nak tunggu akta dan sebagainya, ia akan ambil masa lama.
“Saya juga sudah bincang dengan pemangku Ketua Setiausaha kementerian berhubung perkara ini.
“Dalam seminggu dua ini, kita akan buat pengumuman bagaimana dapat gunakan kuasa menteri untuk memberikan jaringan keselamatan sosial kepada kumpulan ini,” kata beliau.
Beliau berkata demikian susulan tindakan sekumpulan pekerja e-hailing dan p-hailing melakukan mogok kerana tidak berpuas hati dengan caj penghantaran yang dipotong oleh syarikat penyedia perkhidmatan.