Ismail Sabri jemput pemain industri, penggubal dasar teroka kerjasama strategik Malaysia perkasa industri dron

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap merasmikan Kongres Dunia Dron 2023 di Hotel Intercontinental Shenzhen China.

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kongres Dunia Dron 2023 meurpakan platform yang paling sesuai untuk terus mendorong industri dron di seluruh dunia dan untuk semua peringkat masyarakat menerima pakai transformasi digital ini.

Beliau yakin bahawa industri dron mampu memberi manfaat kepada negara dan rakyatnya.

“Jadi, saya ingin menyeru semua untuk mula membentuk rangka kerja industri dron di negara masing-masing.

“China adalah contoh yang baik kepada pembangunan industri dron. Firma China memimpin dan mengawal pasaran dron. Kerajaan dan pemain industri bekerjasama untuk memastikan teknologi ini terus berkembang dan berkembang,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Dunia Dron 2023 anjuran World UAV Federation di Intercontinental Hotel Shenzen, China, semalam.

World UAV Federation adalah sebuah organisasi yang menjadi peneraju kepada industri UAV dan turut memainkan peranan dalam mempromosikan pembangunan industri dan teknologi UAV di seluruh dunia. Kongres berlangung selama tiga hari mulai semalam.

Kongres ini melibatkan 40 buah negara sebagai ahli Persekutuan WUAVF dan delegasi-delegasi dari 90 buah negara.

Ismail Sabri berkata, Malaysia mempunyai ekosistem untuk industri dron melalui pembangunan infrastruktur dan dasar Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30)

“Saya ingin menjemput pemain industri, penggubal dasar dan wakil kerajaan untuk meneroka kerjasama strategik dengan Malaysia melalui pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan.

“Sekarang adalah masa untuk mengikuti perubahan teknologi. Ini bukan masanya untuk kita menolak perubahan kerana telah terbukti bagaimana dron boleh memberi manfaat kepada negara dan masyarakat,” kata beliau.

Ismail Sabri juga berharap agar semua perwakilan dapat memanfaatkan masa tiga hari untuk bertukar-tukar pandangan dan idea tentang masa depan dan hala tuju industri dron.

“Saya berharap semua orang mendapat sesi yang membuahkan hasil dan menyeronokkan,” kata beliau.

Majlis perasminan Kongres Dunia Dron 2023 di Hotel Intercontinental Shenzhen China disempurnakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.