NFCC, Cybersecurity Malaysia meterai MoC kerjasama banteras jenayah kewangan

Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional dan Cybersecurity Malaysia menandatangani Memorandum Kerjasama (MOC) mengenai kerjasama membanteras jenayah kewangan semalam.

KUALA LUMPUR: Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan Cybersecurity Malaysia menandatangani Memorandum Kerjasama (MOC) mengenai komitmen kerjasama untuk membanteras jenayah kewangan dengan mengembleng pengetahuan, kepakaran dan perkongsian pengalaman kedua pihak.

Majlis menandatangani MOC telah berlangsung secara maya pada semalam, 27 Ogos, dengan penyampaian ucapan perasmian Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Al.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Penasihat NFCC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Cybersecurity Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Azumi Mohamed; Ketua Pengarah NFCC, Datuk Seri Mustafar Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Cybersecurity Malaysia, Dato’ Ts. Dr. Amirudin Abdul Wahab.

Kenyataan dikeluarkan, NFCC berkata, perbincangan untuk mengadakan kerjasama antara NFCC dan CSM telah bermula semenjak tahun 2020 dengan persetujuan dan hasrat untuk membentuk inisiatif mendokong dan menggembleng agenda memerangi jenayah kewangan dan mengekang ketirisan, khususnya dalam aspek keselamatan siber.

Ketua Setiausaha Negara dalam ucapannya berkata, ledakan teknologi maklumat dalam dunia digital dan siber dengan kehidupan seharian memang tidak dapat dielakkan.

“Keupayaan pembangunan dan kemajuan sesebuah negara amat bergantung kepada keupayaan negara membangunkan prasarana dan mengaplikasikan digital dan siber secara dinamik dan holistik.

“Namun, dalam keadaan ini, ada pula sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan keupayaan teknologi maklumat dan siber secara salah dan bercanggah dengan undang-undang,” kata beliau.

Kata beliau, mengambil kira betapa seriusnya perkara ini, negara tidak boleh membenarkan sebarang ketirisan akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tidak dingini.

“Jenayah melibatkan penggunaan teknologi menunjukkan trend semakin membimbangkan,” kata beliau.

Katanya, kajian MyCERT tahu lalu menunjukkan jenayah penipuan seperti phishing dan skim pelaburan haram yang telah meningkat.

“PDRM juga telah mengenal pasti sebanyak 80,000 ‘mule account’ yang telah digunakan oleh sindiket penipuan dalam talian sepanjang tahun 2019 dan 2020 dan antara Januari hingga Julai 2020, sebanyak 672 laporan polis dibuat berkaitan dengan sindiket penipuan pelaburan dengan jumlah kerugian dianggarkan hamper RM100 juta.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM52 juta kerugian dikaitkan dengan pelaburan atas talian di mana mangsa-mangsa biasanya terperdaya oleh pelaburan ‘cryptocurrency’, forex dan sebagainya melalui platform dalam talian,” kata beliau.

Menurut Ketua Setiausaha Negara, kerjasama yang dilakukan oleh NFCC dan CSM ini merupakan sebahagian daripada ‘pendekatan whole of government atau whole of nation approach’ untuk membanteras jenayah kewangan.

“Pendekatan ini amat perlu bagi negara melaksanakan agenda besar termasuklah dalam menghadapi ancaman-ancaman kegiatan jenayah kewangan yang makin berleluasa,” katanya.