Anwar: Media perlu bebas sepenuhnya, usah lakukan tapisan kendiri

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Menter Besar Perak, Dato Seri Saarani Mohamad pada majlis perasmian sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 di Ipoh, hari ini. – Foto ihsan FB Perdana Menteri Anwar Ibrahim

IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, media di negara ini perlu bebas sepenuhnya dan tidak harus melakukan penapisan kendiri dalam mengkritik kerajaan.

Kata Anwar, beliau juga tidak mahu pengamal media meneruskan amalan di masa lalu apabila kerajaan disanjung dan dipuji manakala pembangkang dinafikan hak bersuara.

“Kritikan-kritikan terhadap perdana menteri atau pimpinan itu diharuskan dan tak harus timbulkan rasa cemas dan takut dalam kalangan pimpinan.

“Saya lontarkan idea ini kerana saya yakin apa kita lakukan, dan saya bersedia bertempur dengan hujah dan kalau benar ada kelemahan, kita bersedia mohon maaf dan melakukan perubahan yang wajar.

“Jadi sebab itu, rakan-rakan para wartawan yang beri sambutan yang luar biasa pada hari ini, harus menerima kenyataan.

“Jangan terasa mesti ada tapisan kendiri kerana kalau kita mahu semarakkan suasana kebebasan dan demokrasi ini, kita harus hormati (prinsip kebebasan media),” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 di sini, hari ini.

Tambah beliau, media harus mempertahankan nilai dan prinsip yang baik dalam pelaporan mereka.

Ini katanya termasuk memberi peluang yang adil kepada pihak yang menentang kerajaan dalam menyuarakan pandangan mereka.

Bagaimanapun kata Anwar, ia bukan bermakna media harus mempertahankan golongan perasuah.

“Untuk memberi ruang kepada perasuah mempertahankan pandangan mereka seandainya mereka itu bersih, itu boleh.

“Tapi untuk pertahankan perasuah atau penindas atau penjenayah… itu tentunya tak wajar dalam satu negara sekiranya kita mahu angkat darjat dan martabat bangsa dan negara.

“Ini tak bermakna kita teruskan beberapa aspek budaya lampau, di mana siapa yang memerintah itu mendapat sanjungan dan pujian dan yang membangkang atau tak bersama pemerintah itu akan dicaci dan dihina. Saya tak mahu (amalan) ini diteruskan,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan.

Perdana Menteri menegaskan pengamal media perlu merakam peristiwa dan mempertahankan prinsip berasaskan nilai dan akhlak.

“Maknanya di kalangan rakan-rakan kita yang tak bersama, atau memilih untuk menentang, itu harus diberikan hak menyuarakan tanpa merasa mereka itu terus dicela, dihina seperti mana yang kami alami dulu.

“Inilah perubahan dalam erti kata politik yang berdasarkan nilai,” katanya.

Sebaliknya, Anwar juga mengingatkan media tentang bahaya menyebarkan sentimen agama dan perkauman sempit, yang menurutnya boleh mengancam keselamatan negara.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, Malaysia bukan sahaja memerlukan media yang benar-benar bebas, tapi juga yang cukup berani untuk melaporkan sebarang berita tanpa rasa bimbang atau berat sebelah.

Beliau berkata, media sedemikian diperlukan bukan semata-mata untuk mewujudkan semak dan imbang, malah juga bertujuan memastikan suara semua pihak dapat didengar dan diberi perhatian.

“Malaysia ditempatkan di kedudukan ke-73 dalam indeks World Press Freedom 2023 yang dikeluarkan pertubuhan Reporters Without Borders, kedudukan tertinggi yang belum pernah dicapai Malaysia pada tahun-tahun sebelum ini.

“Ia tidak seharusnya dipandang enteng, kerana masih ada banyak usaha yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Fahmi berkata, beliau berharap rakan-rakan media dapat duduk berbincang, mencambah buah fikiran, yang bukan sahaja akan dapat meluaskan pandangan kita, tetapi juga akan mencari ikhtiar mengenai apa yang perlu kita lakukan demi masa depan industri ini.

Terdahulu beliau menyampaikan ucapan perasmian Forum Media Hawana 2023, bertemakan “Masa Depan Media” anjuran bersama BERNAMA dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) bersempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023.

Fahmi berkata, selaras dengan pertumbuhan pesat penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) termasuk dalam industri media, pengamal media digesa membantu kerajaan memahami beberapa cabaran kawal selia yang perlu dikaji.

“Hari ini beberapa cabaran yang kita hadapi kini termasuk pertumbuhan pesat penggunaan AI, dan kita telah lihat bagaimana banyak negara sedang bergelut dengan persoalan mengenai AI, sama ada dalam media mahupun di peringkat kerajaan.

“Namun bagi banyak pihak, banyak negara, persoalan ini tidak ditangani, jadi saya harap rakan-rakan media yang berada di sini hari ini juga akan membantu dalam memahami beberapa cabaran kawal selia yang perlu kita kaji, sama-sama memikirkan dan menerima pakai, dalam memastikan etika semasa AI ditangani secara menyeluruh oleh kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap merasmikan sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 di Ipoh, hari ini. – Foto ihsan FB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim