Oleh Mohamed Shafie BP Mammal
PANDANGAN: Sambutan Hari Pekerja di Malaysia yang sudah berusia lebih lima dasawarsa kembali diraikan pada tahun ini ketika golongan pekerja lebih 15 juta orang berhadapan dengan pelbagai cabaran, ujian dan dugaan, yang tidak dapat dibayangkan sama sekali, demi memastikan kelangsungan hidup mereka.
Tahun ini merupakan persekitaran sambutan penuh yang bebas selepas satu dunia, termasuk Malaysia, dibadai oleh impak pandemik yang paling serius, COVID-19, yang masih memperlihatkan belum ada titik noktah atau pengakhiran. Malah, sambutan tahun 2023 juga merupakan yang pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 dan pemerintahan Kerajaan Perpaduan, di mana para pekerja meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk menikmati sistem, undang-undang dan dasar buruh yang lebih baik.
Sehubungan dengan itu, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mahu Majikan, kedua-dua sektor awam dan swasta, dan Kerajaan sebagai agensi kuat kuasa, memberi keutamaan kepada 12 perkara berikut demi memartabatkan pekerja-pekerja di Malaysia.
- Menggesa Kerajaan, terutama Kementerian Sumber Manusia mengadakan dialog dengan semua pemegang taruh untuk menyemak dasar dan undang-undang perburuhan agar lebih sesuai dengan keperluan semasa selepas pandemik COVID-19. Negara memerlukan satu dasar perburuhan yang dapat memenuhi keperluan dan cabaran era pasca-COVID-19.
- Menuntut Kerajaan menangani masalah kos sara hidup yang meningkat dengan ketara setiap hari ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
- Mendesak Kerajaan memastikan pekerja apabila bersara kelak mempunyai simpanan yang secukupnya, yang munasabah mengikut keadaan semasa, dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Oleh itu, Kerajaan perlu menaikkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan daripada 13% kepada 20% terutama bagi pekerja-pekerja yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.
- Mendesak Kerajaan mengkaji semula umur persaraan wajib 60 tahun. Pada masa kini apabila seseorang pekerja akan disarakan apabila mencapai umur 60 tahun. Oleh itu, dasar semasa hendaklah disemak bagi membolehkan pekerja bekerja sehingga mereka lengkap 60 tahun, dan bukannya ketika permulaan umur 60 tahun.
- Pemakaian Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) hendaklah dipanjangkan kepada pekerja-pekerja di Sabah dan Sarawak untuk menjamin hak dan kebajikan pekerja terbela sebagai sebuah negara persekutuan.
- Mendesak Kerajaan mengkaji semula bayaran pencen yang rendah kepada pesara-pesara Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) kerana mereka menerima pencen di bawah paras kemiskinan. Perkara ini telah dikemukakan kepada Kerajaan lebih 15 tahun lalu, malangnya tiada respons.
- Mendesak Kerajaan mengkaji status pencen bekas pekerja-pekerja Bank Simpanan Nasional (BSN) susulan dasar mengkorporatkan bank tersebut. Tuntutan pencen pesara-pesara BSN dari tahun 1992 yang cukup 10 tahun perkhidmatan di dalam kerajaan yang bertaraf tetap dan berpencen apabila mencapai umur 40 tahun tidak disarakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengikut Seksyen 12, Akta Pencen 1980 (Akta 227/239).
- Memberi pembelaan kepada pekerja-pekerja kru filem Malaysia. Seramai 22,500 orang pekerja yang berkhidmat sebagai kru dalam industri filem Malaysia tiada pembelaan dan masa depan atas isu-isu seperti berikut:
i. Tiada pengiktirafan daripada kerajaan dan pihak-pihak yang bertanggungjawab
ii. Tiada akta yang melindungi mereka; majoriti adalah pekerja bebas
iii. Pekerja profesional yang tidak diiktiraf kewujudan dan peranan di semua stesen TV, FINAS dan syarikat penerbit
iv. Seramai 70% bekerja tanpa pensijilan
v. Masalah Kebajikan terabai (80% tidak mampu memiliki rumah, upah kerja rendah, kecemasan dan kesihatan) - Mewujudkan lebih banyak pekerjaan bagi graduan tempatan.
- Mendesak majikan mengutamakan dan mengambil pekerja tempatan berbanding tenaga kerja warga asing. Perlu ada satu dasar baharu sesuai dengan keperluan semasa.
- Mewujudkan lebih banyak taska atau pusat penjagaan kanak-kanak di setiap tempat kerja, dan keperluan ini perlu dijadikan satu dasar mandatori, sekali gus akan membantu menangani masalah kekurangan tenaga kerja.
- Mendesak parti-parti politik supaya tidak bercakaran, sebaliknya menumpukan memberi perkhidmatan dan kesejahteraan kepada rakyat dengan mengutamakan keperluan menunaikan janji dan tawaran manifesto Pilihan Raya Umum ke-15.
UNI-MLC berharap pihak Kerajaan dan Majikan akan mengambil tindakan tegas dengan segera bagi menyelesaikan kesemua 12 perkara yang digariskan demi memartabatkan hak, kebajikan dan kepentingan pekerja di Malaysia. UNI-MLC mengharapkan satu tindakan holistik bagi menangani pelbagai isu dan masalah yang melanda pekerja-pekerja di Malaysia sejak kebelakangan ini.
Negara tiada pilihan kecuali menyelesaikan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh UNI-MLC sempena sambutan Hari Pekerja 2023 jika kita ingin melihat persekitaran kerja yang lebih harmoni, kondusif dan berkualiti. Isu-isu yang dibangkitkan ini telah lama berlarutan, dan memerlukan keutamaan tindakan efektif di pihak Kerajaan yang menjadi tempat harapan rakyat dan pekerja.
Selari dengan konsep Malaysia Madani, UNI-MLC memohon pertimbangan sewajarnya daripada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi memberi wajah baharu kepada para pekerja, di kedua-dua sektor awam dan swasta.
Datuk Mohamed Shafie BP Mammal ialah Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)