KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) telah berjaya memuktamadkan perjanjian kolektif (CA) ke-19 semalam, sekali gus menamatkan teka-teki mengenai hasil proses perundingan yang berlarutan lebih setahun.
Dalam hantaran di FB NUBE pada Selasa, Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, “sukacita dimaklumkan bahawa pertemuan kami hari ini (Selasa) dengan Presiden MCBA, Datuk Nora Manaf dan Pengarah Eksekutif MCBA, Chua Kim Lin telah membuahkan hasil yang disasarkan.”
“Kami akan memaklumkan mengenai Jerayawara selepas pertemuan kami dengan MCBA untuk memuktamadkan CA dan mesyuarat EXCO NUBE pada sebelah petang esok (semalam).
“Kami merakamkan ucapan terima kasih kepada (Presiden Persatuan Bank-bank Malaysia), Datuk Khairussaleh Ramli dan semua CEO Bank kerana memberikan mandat untuk memuktamadkan CA,” kata beliau.
Solomon juga berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Nora atas campur tangan dan penyelesaian CA.
“Kami menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua Pemimpin dan ahli NUBE atas kepercayaan, keyakinan dan keazaman saudara/i yang berdiri teguh bersama kami sepanjang perjalanan ini,” kata beliau.
Bagaimanapun beliau tidak memberikan butiran mengenai perkara-perkara yang diputuskan dalam CA yang dimuktamadkan.
Sementara itu dalam hantaran hari ini, Solomon berkata, sesi Jerayawara akan diadakan pada Sabtu itu di kesemua lima cawangan NUBE.
“Dengan sukacita dimaklumkan bahawa kita telah memuktamadkan penyelesaian Perjanjian Kolektif (CA) dengan MCBA, diikuti dengan Mesyuarat EXCO NUBE malam tadi,” kata beliau lagi.
Keputusan itu memperlihatkan perkembangan menarik di pihak NUBE yang dalam mesej Suara NUBE bertarikg 31 Mac lalu berkata, pada pukul 3 petang 27 Mac “kami telah mengadakan pertemuan dengan MCBA. Bagaimanapun tetapi MCBA mengemukakan cadangan yang tidak menunjukkan rasa hormat.”
“Perkara ini telah berlarutan selama lebih dua bulan.
“Exco NUBE telah bermesyuarat dengan segera pada pukul 8 pagi, hari Rabu 29 Mac 2023 untuk membincangkan perkara di atas dan membantah sekeras-kerasnya respons MCBA yang menjelikkan.
“Exco memutuskan untuk meminta terus Datuk Khairussaleh Ramli, merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Presiden Maybank supaya diadakan mesyuarat tergempar pada 31 Mac 2023.
“Pada 29 Mac 2023, pukul 5 petang, Pengarah Eksekutif ABM menulis surat kepada NUBE, bagi pihak Datuk Khairussaleh, menyatakan bahawa MCBA telah diberi mandat untuk mengadakan perbincangan dengan NUBE berkaitan dengan CA,” kata beliau.