CAMU serah memorandum minta campur tangan PM semak semula pindaan Akta Kesatuan Sekerja

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai menerima memorandum daripada Pengerusi CAMU, Rudy Rusly (kiri) di pekarangan Kompleks Jabatan Perdana Menteri,Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA: Gabungan Membantah Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) hari ini menyerahkan memorandum meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan menyemak semula pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang akan dibawa semula ke Parlimen.

Undang-undang itu telah diluluskan oleh Dewan Rakyat tahun lalu, tetapi disebabkan pembubaran Parlimen ia perlu dibawa semula ke Parlimen.

Memorandum diserahkan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Chan Ming Kai di sini, pagi tadi oleh Pengerusi CAMU, Rudy Rusly.

Turut hadir sekitar 1,000 ahli kesatuan gabungan CAMU dari seluruh negara.

Pada sidang media selepas penyerahan memorandum, Rudy berkata, CAMU telah pun menghantar dua surat kepada Perdana Menteri iaitu pada 1 Disember dan 2 Mac lalu untuk mengadakan pertemuan bersama beliau.

Malangnya kata beliau, pertemuan ini belum menjadi kenyataan kemungkinan kepadatan jadual dan urusan Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Menurut Rudy, sekitar bulan Mac 2022, sewaktu Anwar masih berada di pihak oposisi sebagai Ketua Pembangkang, delegasi CAMU telah mengadakan pertemuan bagi menjelaskan implikasi dan kesan negatif kepada gerakan kesatuan sekerja di Malaysia sekiranya RUU ini dilaksanakan.

Antara kain rentang dibawa oleh peserta sesi penyerahan memorandum.

“Ketika itu, beliau telah memberikan komitmen yang padu dalam berusaha untuk menangguhkan bacaan kali kedua RUU ini. Usaha ini telah berjaya ketika itu dan kami amat berterima kasih atas usaha keprihatinan beliau yang mendengar keluhan dan keresahan warga pekerja,” kata beliau.

Rudy menambah, delegasi CAMU dengan harapan yang tinggi, berharap Perdana Menteri akan memberikan penyelesaian dan sekali gus dapat menyokong agar Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja 1959 (Pindaan) 2022 dapat dirujuk dan dikaji semula di Dewan Rakyat yang barisan anggota baharunya telah dipilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November lalu.

Katanya, CAMU yang terdiri 39 kesatuan sekerja dan gabungan kesatuan sekerja berpendirian bahawa RUU ini perlu ditangguhkan daripada dibahaskan kerana pindaan dimaksudkan akan memperkenalkan peruntukan berkaitan “kepelbagaian Kesatuan Sekerja”.

“RUU ini mencadangkan untuk meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan membenarkan lebih daripada satu Kesatuan Sekerja wujud bersama dalam pertubuhan, perdagangan, pekerjaan atau industri yang sama atau serupa,” katanya.

CAMU kata Rudy, berpendirian bahawa apabila RUU ini dibawa ke Parlimen oleh pihak pemerintah sebelum ini tahun lalu kerajaan telah gagal untuk mempertimbangkan kesan negatif-kesan negatif ekoran wujudnya kepelbagaian kesatuan sekerja dalam pertubuhan, perdagangan, pekerjaan atau industri yang sama.

“Pindaan yang disyorkan akan mengakibatkan ketidakharmonian industri di tempat kerja yang akan memberi kesan negatif ke atas produktiviti, yang akan membawa impak buruk terhadap pertumbuhan ekonomi negara,” kata beliau sambil menambah, “percubaan untuk memperkenalkan kepelbagaian kesatuan sekerja dengan mengetepikan secara terang-terangan kebimbangan yang disuarakan oleh Mahkamah Persekutuan pada tahun 2018, yang mengatakan bahawa “kepelbagaian Kesatuan Sekerja berkenaan dengan pekerjaan yang sama bukan sesuatu yang baik (dari sudut) keharmonian industri.”

Oleh itu, kata beliau, CAMU mahu Perdana Menteri campur tangan untuk memastikan RUU ini ditangguhkan kerana langkah kerajaan meminda Akta Kesatuan Sekerja ini melanggar Analisis Kesan Peraturan (RIA) yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia pada 15 Julai 2013, dan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 144 mengenai Perundingan Tiga Pihak yang memerlukan perundingan dengan pihak-pihak berkepentingan utama mengenai dasar buruh.

Sekitar 1,000 orang mengambil bahagian dalam majlis penyerahan memorandum di Putrajaya.